Saturday, January 30, 2010

Kekal daya tahan anak


APABILA sesi persekolahan dibuka, maka bermulalah kehidupan yang sibuk, terutama pada murid sekolah rendah yang turut dihantar ke sekolah agama. Itu tidak termasuk kelas mengaji pada waktu malam, walaupun ia diadakan di rumah jiran.

Walaupun baru minggu pertama tetapi murid sekolah sudah dibekalkan dengan banyak kerja rumah sehingga ada kanak-kanak yang sanggup bersengkang mata menyiapkannya bagi mengelakkan didenda di bilik darjah.

Kesibukan ini ditambah dengan keadaan cuaca yang tidak menentu biasanya membuatkan kanak-kanak tidak cukup rehat dan mudah mengalami jangkitan seperti selesema, batuk atau demam akibat sistem imun badan yang lemah.

Malah, perubahan jadual harian seperti terpaksa bangun seawal jam 6 pagi atau 5.30 pagi (jika kanak-kanak mempunyai beberapa adik-beradik yang bersekolah pada sesi sama) dan tekanan ketika berada di dalam kelas juga boleh mempengaruhi kesihatan mereka.

Pernahkah anda membuat catatan dalam setahun berapa kali anak anda mengalami jangkitan? Setiap kali anak demam, adakah ubat yang diberikan doktor dimakan hingga habis? Berapa banyak yang anda belanjakan untuk ubat demam, batuk dan selesema?

Tahun ini lakukan sedikit perubahan untuk meningkatkan tahap imun anda sekeluarga, terutama anak-anak. Antara strategi mudah yang boleh membantu usaha ini ialah:

* Masak lebih sayur-sayuran seperti brokoli, bunga kubis dan kubis yang kaya dengan isotiosinat dan vitamin C untuk merangsang sistem imun. Sayur-sayuran berakar contohnya lobak merah, keladi dan keledek pula mengandungi karotenoid iaitu bahan yang memberi warna merah atau kuning adalah sumber vitamin A dan antioksidan yang penting.

* Hidangkan buah-buahan sebagai sajian pembuka selera atau pencuci mulut. Ketika kecil inilah tabiat pemakanan sihat anak perlu dipupuk dan ibu bapa seharusnya menjadi teladan untuk dicontohi.

Beri syarat kepada anak mereka tidak boleh meninggalkan meja makan kecuali selepas makan satu atau dua hiris buah-buahan. Cara lain untuk menggalakkan anak makan buah ialah menghidangkan jus buah-buahan (dengan sedikit gula) selepas makan. Sesekali pada hujung minggu, anda boleh memberikan anak hidangan istimewa iaitu campuran buah dengan ais krim.

* Kurangkan pengambilan gula. Gula proses dan bertapis ada dalam kebanyakan makanan dan minuman ringan yang boleh menjejaskan prestasi sistem pencernaan. Hadkan kuantiti minuman ringan kerana satu tin minuman berkarbonat mengandungi kira-kira 10 camca teh gula. Bekalkan anak dengan air masak dan beritahu mereka air berkenaan perlu dihabiskan.

Ketika makan malam, hidangkan air suam dan bukannya air manis (kopi atau teh). Ia juga adalah antara langkah untuk mengelakkan pelbagai masalah yang kerap dialami kanak-kanak seperti sembelit, cepat mengantuk di dalam kelas, rasa tidak selesa dan bibir kering akibat tidak cukup air. Masalah sembelit juga boleh diatasi dengan memberikan anak makan keledek rebus kerana ia dapat membantu melawaskan pembuangan air besar.

* Pastikan anak memberus dan flos gigi sebelum tidur. Kajian membuktikan kesihatan mulut memberi sumbangan yang besar kepada peningkatan sistem imun selain dapat memelihara gigi anak daripada reput dan tanggal sebelum waktunya.

* Ajar anak kaedah mencuci tangan yang betul. Ingatkan mereka untuk mencuci tangan setiap kali selepas keluar tandas dan sebelum menyentuh makanan. Ini adalah kaedah pencegahan jangkitan yang paling berkesan, mudah dan murah untuk dilaksanakan.

* Pastikan anak tidur awal iaitu selewat-lewatnya jam 10 malam. Jangan benarkan mereka menonton televisyen hingga lewat malam kerana boleh menyebabkan mereka kurang tidur dan mengantuk di kelas. Tidur adalah cara terbaik untuk merehatkan badan dan otak. Ketika tidur badan akan memperbaiki kerosakan tisu. Ini adalah cara semula jadi badan meningkatkan sistem imun.

* Beri peluang anak anda bermain di luar rumah atau melakukan aktiviti cergas pada waktu petang sekurang-kurangnya 30 minit sehari. Bermain adalah senaman yang menyeronokkan dan ia terbukti dapat meningkatkan kesihatan secara keseluruhan dan menghilangkan tekanan.

Namun, pastikan mereka ditemani ahli keluarga yang lebih dewasa bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini. Anda juga boleh merancang aktiviti cergas untuk dilakukan bersama anak seperti bermain badminton atau berbasikal.

Kajian juga menunjukkan kanak-kanak yang bermain di luar rumah mempunyai penglihatan lebih baik dan kurang menghadapi masalah rabun jauh berbanding rakan sebaya mereka yang menghabiskan banyak masa di depan televisyen atau komputer.

3 comments:

Anonymous said...

salam hanah. betul seperti kata2 hanah tu. cucu sulung auntie pukul 5 hingga 7 pergi kelas fardu ain dan quran, balik main sekejab sementara tunggu maghrib.
hari jumaat/sabtu auntie bawa kebeach/playground agar mereka rasa gembira dan dapat berkawan dengan rakan2 sebaya.

KASIHARTQUILT said...

bagus info yang di beri ni...

edrina said...

thx for sharing the info