AHLI psikologi menyatakan, antara faktor seseorang itu boleh jatuh cinta atau bertemu jodoh dengan pasangannya adalah kerana unsur berdekatan dan sering berada serta banyak menghabiskan masa bersama di tempat yang mereka kerap bersua muka.
Berdasarkan teori itu, tidak hairanlah jika ramai pasangan yang boleh jatuh cinta atau bertemu jodoh di tempat kerja sehingga sepakat mendirikan rumah tangga. Bermula usik mengusik, keluar makan dan kerap membuat aktiviti bersama serta bertentang mata setiap hari, tidak mustahil hati mula terpaut. Menamatkan percintaan di pejabat, pasangan akhirnya melangkah ke gerbang perkahwinan.
Kata orang, suasana ketika dilamun cinta tidak sama berbanding selepas berkahwin. Oleh kerana itulah selepas berkahwin, ramai juga yang kurang senang bekerja di bawah satu bumbung. Alasannya, kerap berjumpa di rumah dan kemudian di tempat kerja boleh menyebabkan timbul rasa bosan,meskipun ketika dilamun cinta itulah yang dirindui serta diharapkan selalu berlaku. Lalu, ada yang mengambil keputusan seorang perlu mencari peluang pekerjaan di tempat lain.
Ada juga berpendapat, apabila bekerja di tempat yang sama sudah tentu langkah dan gerak-geri tidak sebebas dulu. Bagi si isteri, ada yang berasa serba salah hendak berbual berlebih-lebih dan keluar makan bersama rakan sekerja lelaki. Walaupun tidak melakukan kesilapan, si isteri berasa perlu menghormati orang dikasihi dan turut bimbang soal cemburu akan timbul apabila melihatnya berjalan beriringan, seolah-olah tampak mesra dengan lelaki lain sedangkan suami sendiri ada di depan mata.
Si suami pula, perangai dan tingkah laku perlu dikawal, tidak boleh hendak `nakal-nakal' lagi kerana bimbang tindak-tanduknya lebih cepat dihidu pasangan yang bekerja di tempat sama.
Justeru, jalan terbaik ialah memilih untuk tidak bekerja di tempat sama. Isteri tidak nampak kelibat suami dan begitulah sebaliknya.
Tetapi, tidak kurang juga ada pasangan yang berasa selesa untuk terus bekerja di tempat sama. Pasangan muda, Fairus Ahamed Mohd Noordin, 24, dan Siti Zulaikhah Ahmad Azmi, 24, misalnya, selesa dan langsung tiada masalah untuk bekerja di pejabat dan jabatan yang sama.
Fairus dan Siti Zulaikhah mengenali antara satu sama lain ketika mereka belajar sama di sebuah kolej swasta. Ketika memburu impian mendapatkan segulung ijazah, mereka tidak lebih daripada sekadar kawan biasa. Apabila tamat pengajian, Siti Zulaikhah memulakan alam pekerjaan di syarikat pembekal dan pengedar buku, Jras Corporation Sdn Bhd, manakala Fairus bekerja membantu bapa saudaranya yang membuka perniagaan kedai runcit.
Bagaimanapun, dua bulan kemudian Fairus diterima bekerja di tempat Siti Zulaikha. Mungkin sudah ditakdirkan mereka akan hidup bersama, bunga cinta yang dulunya tidak sempat bersemi di kolej, akhirnya mekar ketika mereka sama-sama bekerja di tempat sama. Selepas beberapa bulan mengenali hati budi masing-masing, mereka sepakat mengikat tali pertunangan dan seterusnya membina mahligai bahagia.
Kini, pasangan suami isteri yang sudah hampir dua tahun berkahwin itu masih bekerja di bawah satu bumbung, malah perlu bekerja sama setiap hari di pejabat kerana kedua-duanya berada di jabatan sama iaitu dalam bidang pemasaran.
Kata Fairus, beliau dan isteri sedikit pun tiada masalah untuk bekerja dengan isterinya, apatah lagi sejak berkahwin rutin hariannya menjadi semakin mudah dan semangatnya semakin tinggi berbanding sebelum itu.
"Kalau dulu ketika bujang, saya naik motosikal untuk ke tempat kerja, manakala isteri menaiki kereta, tetapi kini satu kereta saja dan kebetulan bidang kerja yang dilakukan memerlukan kami banyak menghabiskan masa bersama. Ini termasuk, keluar masuk pejabat untuk berjumpa rakan perniagaan dan ada kala terpaksa ke luar daerah bersama," katanya.
Zulaikhah yang duduk di sisi pula berkata, mereka sepatutnya berkahwin pada 2009, tetapi bagi mengelakkan fitnah kerana sering bekerja di luar daerah, Fairus mencadangkan supaya tarikh perkahwinan mereka dipercepatkan setahun.
Katanya, pada awal memang keluarga terkejut dengan keputusan itu, tetapi akhirnya merestui dan memahami situasi dihadapi pasangan muda berkenaan.
"Sekarang ini lebih senang, kalau pergi ke luar daerah tidak perlu lagi hendak menempah bilik berasingan dan sekurang-kurangnya, syarikat juga boleh berjimat terutama dari segi kos penginapan apabila menghantar kami berdua. Selain itu sebagai isteri tentulah saya rasa senang hati dapat mendampingi suami walaupun atas urusan kerja.
"Kata orang, jika suami dan isteri kerja satu tempat sukar sedikit, tetapi bagi saya lebih mudah kerana boleh tahu apa dan ke mana suami pergi. Tetapi ini bukanlah bermakna saya cemburu, sebaliknya tanda sayang dan sentiasa hendak tahu dan ambil berat terhadap suami," katanya.
Berkongsi pandangan, baik buruk suami dan isteri bekerja di tempat yang sama, Fairus berkata, semuanya terpulang kepada pasangan itu. Jika memilih untuk bekerja di tempat sama, yang penting pasangan perlu mempunyai sikap profesional. Ini bermakna, ketika berada di pejabat atau tempat kerja, segala masalah atau soal rumah tangga mesti diketepikan dan tidak perlulah dibincangkan, begitulah sebaliknya.
Fairus berkata, ketika seumpama itu perlu disematkan demi menjaga keharmonian suasana di rumah dan bagi mengelakkan prestasi di tempat kerja tidak terjejas hanya disebabkan krisis yang timbul.
"Memandangkan kami bekerja satu pejabat dan sering perlu bersama, seorang hendak merajuk atau bermasam muka sehari pun susah kerana malulah nanti ada yang tahu kami ada masalah rumah tangga. Lagipun, kalau seorang sudah merajuk susah juga sebab hendak jumpa pelanggan pun tiada mood," katanya lagi.
Namun, kata Zulaikha, bukanlah setiap detik mereka sentiasa berdua saja. Misalnya, waktu makan tengah hari ada ketika mereka berdua akan menyertai rakan sepejabat yang yang lain untuk makan bersama-sama.
Fairus berkata, mungkin ada yang melihat sungguh membosankan apabila suami dan isteri bekerja di tempat yang sama, di rumah lihat muka isteri dan sampai di pejabat pun muka isteri yang ditatap.
Tegasnya, sehingga kini perasaan itu tidak sekelumit pun ada dalam jiwanya, malah sentiasa seronok dan bersemangat bekerja apabila Zulaikha berada di sisi. Kebetulan, mereka berdua mempunyai minat yang sama dan sering bertukar-tukar fikiran serta pandangan bagi meningkatkan prestasi kerja.
"Pernah dua minggu, Zulaikha tidak datang pejabat kerana cuti sakit. Sepanjang tempoh itu, saya memang tidak ada mood hendak bekerja, jumpa client pun rasa malas, tetapi mahu tidak mahu kerja mesti juga dibuat. Ketika itu, keluar makan tengah hari pun malas dan boleh dikatakan dalam sehari tiga kali juga saya menelefon Zulaikha. Tidak bergayut lama pun tetapi dapat dengar suaranya pun sudah cukup," kata Fairus tersenyum mengingati kisah lalu.
Ditanya lagi, tidakkah seorang daripada ada merancang untuk bertukar tempat kerja atau mencuba peluang lain. Keduadua pasangan itu berkata, buat masa ini belum tergerak hati dan ada perancangan untuk berbuat demikian, sebaliknya lebih senang masa dan keadaan yang menentukan perubahan pada masa depan.
Profesional di pejabat
TIDAK semua organisasi atau majikan membenarkan pasangan suami dan isteri bekerja di bawah satu bumbung. Ada sesetengahnya meletakkan peraturan, kakitangan tidak boleh berkahwin sesama rakan sepejabat. Jika ingin berkahwin, seorang daripadanya perlu melepaskan jawatan dan berhenti bekerja di organisasi atau firma berkenaan.
Pakar motivasi, Prof Izzudin Ali, berkata organisasi yang meletakkan syarat dan peraturan demikian mungkin mempunyai alasan tersendiri, namun peraturan ditetapkan itu dilihat ada kekurangan kerana seandainya individu itu benar-benar berkelayakan dan menunjukkan prestasi yang baik mengapa tidak membenarkan pasangan suami dan isteri terbabit terus berada dalam organisasi itu.
"Pasangan yang isteri bekerja di tempat sama bukanlah isu besar mahupun perkara yang banyak membawa keburukan. Selain dilihat ada membawa beberapa kebaikan, pada akhirnya harus ingat semua itu dinilai dengan sejauh mana keikhlasan mahupun kejujuran seseorang itu kepada pasangan dan organisasi.
"Seperkara lagi, apabila bekerja di tempat sama atau tidak, sebagai pekerja kita perlu bersikap profesional dan harus ingat bahawa ada tanggungjawab yang mesti dilunaskan dengan ketua atau majikan," katanya.
Izzudin berkata, kesan positif untuk pasangan, khususnya yang boleh dilihat antaranya ialah sudah tentu pasangan berkenaan lebih senang untuk pergi dan balik kerja bersama terutama bagi mereka yang mempunyai waktu kerja tiada perbezaan.
Malah, katanya, jika pasangan itu menaiki kenderaan sendiri keadaan itu sudah tentu lebih menjimatkan kos perjalanan dari rumah ke tempat ke kerja. Selain itu, masing-masing dapat `mengawasi' antara satu sama lain dan sudah kenal rakan lain serta tahu ke mana pasangannya pergi sama ada ketika keluar rumah atau pun selepas habis waktu kerja.
Izzudin menambah, suami dan isteri bekerja di tempat kerja sama, zahirnya memang tiada salah dan tidak boleh hanya dilihat negatif sematamata seperti beranggapan pasangan itu mempunyai perasaan cemburu yang menebal, tidak percaya antara satu sama lain dan sebagainya. Malah, persepsi sama juga tidak boleh dibuat kesimpulan terhadap suami dan isteri yang tidak mahu bekerja di tempat sama.
Misalnya, sanggup berhenti kerana bimbang `rahsia kenakalan' di tempat kerja mudah dihidu pasangan. Kononnya dengan memilih bekerja di tempat berasingan, sekurangkurangnya lebih mudah untuk menyembunyikan aktiviti `nakal' yang dilakukan di luar rumah.
"Tidak dinafikan ada pasangan perlu membuat keputusan bertukar tempat kerja selepas berkahwin. Mungkin ada yang berasa lebih selesa berbuat demikian atas sebab-sebab tertentu, tetapi ada kala isu penilaian terpaksa dibuat demi mengelakkan perkara lain berbangkit," katanya.
Memberi pandangan kebaikan lain suami dan isteri bekerja di tempat sama, Izzudin berkata, suasana seperti itu boleh jadi juga sesuatu yang menyeronokkan kerana pasangan dapat berkongsi cerita dan pandangan kerana masing-masing tahu apa diperkatakan serta dibincangkan.
Namun, katanya, pasangan yang bekerja di tempat sama juga perlu berhati- hati terutama apabila mendengar cerita atau umpatan yang tidak menyenangkan mengenai pasangan melalui rakan lain.
"Tidak dinafikan, di tempat kerja memang ada berlaku seperti kata mengata dan sebagainya. Jika ia berlaku kepada pasangan kita, lebih baik perkara itu disiasat terlebih dulu dan adakan perbincangan secara rasional, jangan melulu dengar kata orang. Kita juga kena faham, kadangkala ada juga pihak ketiga yang mungkin hendak melagalagakan suami dan isteri. Jadi, cubalah bertentang mata dengan orang yang membawa dan menyebarkan cerita itu serta selesaikan dengan baik," katanya.
Bertanyakan pandangan jika sekiranya isteri berpangkat lebih tinggi dan kebetulan suami terpaksa bekerja di bawah arahannya, apakah cara terbaik untuk menegur serta membetulkan pasangan apabila berlaku sebarang kelemahan dan kesilapan.
Izzudin berkata, cara terbaik ialah memanggil dan menegur pasangan secara berhemah dan jika boleh tidak secara terbuka di hadapan rakan sekerja yang lain.
"Apabila terlalu beremosi, ego suami mungkin boleh tercalar. Bagi suami pula perlu bersikap profesional dan menerima teguran jika perkara itu benar-benar berpunca daripada kesilapan sendiri. Perbetulkan perkara yang silap. Balik di rumah, jangan pula membincangkan perkara itu kerana ia mungkin membawa kekusutan lagi," katanya.
Info
Panduan bagi suami dan isteri yang bekerja satu pejabat:
* Jika ada masalah di rumah selesaikan di rumah dan jika ada masalah di pejabat jangan bawa balik ke rumah. Pasangan suami dan isteri perlu profesional menangani antara masalah di pejabat dan di rumah.
* Suami dan isteri perlu bijak merancang kerja di pejabat dan jangan gunakan waktu kerja untuk membincang hal keluarga.
* Apabila bekerja satu pejabat, suami dan isteri perlu juga bersosial dengan rakan sekerja yang lain dan jangan sepanjang masa menghabiskan masa berdua saja.
* Apabila berlaku perkara yang kurang disenangi khususnya membabitkan pasangan dengan rakan sekerja lain, jangan bertindak melulu sebaik-baiknya siasat terlebih dulu dan bersemuka dengan pihak berkenaan
3 comments:
salam hanah. bekerja setempat ni ada baik dan buruknya. jadi suami/isteri kena pandai membawa diri agar tidak menyingung perasaan isteri/suami.mak cik ingat kalau guru tidak digalakkan mereka mengajar disekolah yg sama.
Salam cikyam... Ouchhh, susah juga kan... bagi sy lah, lebih baik keje berlainan tempat keje ☺
kalau suami isteri mengusahakan suatu perniagaan pulak... kena ada satu tauke jer... tak boleh dua2 jadi bos nanti pekerja bawahan susah... PEACE...
Post a Comment