Friday, February 5, 2010

Adakah permainan anak anda selamat?

AWAS kepada ibu bapa. Anda perlu sentiasa berhati-hati ketika membelikan barangan mainan untuk anak anda. Mungkin keceriaan pada wajahnya selepas mendapat apa yang dihajati itu akan bertukar menjadi berita sedih yang membuatkan anda sesal seumur hidup.

Lambakan barangan mainan di pasaran sama ada buatan tempatan mahupun luar negara baik yang murah mahupun yang mahal, menyukarkan ibu bapa memilih apakah barangan mainan yang benarbenar selamat kepada anak mereka.

Ini kerana ada syarikat pengeluar yang kurang prihatin dengan aspek keselamatan kanak-kanak, mencampurkan bahan merbahaya seperti plumbum, bromin, cadmium, chlorine dan arsenik ke dalam adunan barangan mainan kanak-kanak keluaran syarikat mereka supaya ia kelihatan lebih cantik dan menarik kepada kanak-kanak.

Akibatnya, kanak-kanak yang terdedah kepada kandungan merbahaya ini boleh terencat perkembangan otaknya, menyebabkan IQ mereka rendah dan lembam, kurang memberi perhatian kepada pelajaran, manakala pendedahan yang sangat berlebihan boleh mengakibatkan otot menjadi lemah, anemia dan kerosakan fungsi buah pinggang.

Kandungan raksa boleh menyerap masuk ke dalam tubuh kanak-kanak dengan mudah dan memberi kesan sampingan toksik kepada tubuh hingga boleh merosakkan buah pinggan dan sistem saraf mereka.

Memanglah kita akan berkata, setakat ini belum ada lagi kes yang melaporkan kejadian yang tidak diingini berlaku kepada kanak-kanak disebabkan barangan permainan yang dibeli dari dulu hinggalah sekarang.

Tetapi bukanlah mencegah itu lebih baik daripada mengubat dan ambillah sikap berwaspada sebelum kemalangan berlaku itu mampu menyelamatkan nyawa anak yang kita sayangi.

Mengikut laporan Pusat Ekologi di Ann Arbor Mich di luar negara, setiap satu daripada tiga jenis mainan di pasaran mengandungi paras sederhana hingga tinggi bahan kimia berbahaya iaitu plumbum, cadmium, arsenik dan PVC.

Badan itu juga melaporkan kandungan plumbum dikesan pada purata 20 peratus mainan yang diuji dengan sebahagiannya mencapai piawaian yang diperlukan dalam kandungan cat plumbum.
Sebagai ibu bapa, apakah harapan kita? Semestinya kita mahukan persatuan pengguna lebih memberi fokus kepada mainan kanak-kanak yang membahayakan ini dan supaya kerajaan memperketat syarat import dan jualan barangan kanak-kanak yang kandungan bahan kimia berlebihan ini.

Kita mahukan keselamatan kanak-kanak sentiasa diberi perhatian utama sama ada dari aspek makanan, kesihatan, pakaian, pelajaran dan juga mainan mereka.

Pendedahan berlebihan bagi tempoh jangka panjang boleh mengakibatkan mereka mengalami masalah reproduktif apabila mereka dewasa, sukar belajar, berdepan dengan masalah hormon dan kanser.

Pada 2008 saja, sebanyak 21 peratus barangan mainan daripada China dikesan mengandungi bahan kimia bertoksik manakala 16 peratus daripada negara pengeluar barangan mainan dikesan mengandungi paras kandungan plumbum yang berlebihan.

3 comments:

Anonymous said...

salam hanah .tulisan2 hanah selalunya berilmiah dan berilmu. terima kasih for sharing. susah juga nak memilih permainan kanak2 ni. zaman auntie dulu semua permainan dibuat sendiri dari barang2 terbuang spt tin susu perca kain dibuat anak patung. dll.

sharhanah said...

cik yam, sebenarnya artikel yang dibuat entry adalah diambil daripada nstp publications. Saya suka membaca dan kebetulan pula, sy bekerja di Resource Centre Department. Sesambil wat keje, saya membaca... dan kadang2 ia kena mengena dengan situasi yg saya alami,,,dan kadang2 juga sebagai info untuk saya...maka, sy jadikan sebagai koleksi utk rujukan. Rasanya, benda yang baik dan berilmu, elok dikongsikan :)
Terima kasih cik yam kerana sudi meninggalkan komen kat blog sy nie.

dkama said...

patut la dkama lembab... banyak sangat permainan masa kecik dulu... hahaha PEACE...