Thursday, December 24, 2009

Rahsia aroma lelaki

BAU peluh lelaki mampu melegakan tekanan. Kedengaran agak pelik, tetapi begitulah keputusan ujian Bahagian Biologi Manusia di Universiti Pensylvania, Amerika Syarikat (AS) beberapa tahun lalu. Kajian yang dijalankan membabitkan ramai responden wanita mendapati peluh lelaki membantu mengurangkan tekanan dialami wanita.

Malah, kajian itu juga membuktikan perjalanan haid wanita lebih lancar gara-gara menghidu bau lelaki. Ternyata, sampai begitu sekali aura kromosom XY yang dirembeskan lelaki sehing gakan mampu menawan kelembutan naluri wanita melalui bau badan secara semula jadi.

Bercerita mengenai perihal bau peluh, ternyata lelaki tidak terkecuali daripada mengalami permasalahan bau badan disebabkan gen aktif semula jadi mereka. Apatah lagi, permasalahan itu lebih ketara dialami mereka yang aktif bersukan, bertubuh gempal dan menjalankan aktiviti lasak.

Pada ketika itu, bukan lagi wanita ingin menghidu bau peluh, sebaliknya naik loya kerana tidak tahan dengan aroma memualkan tekak!

Sebagai seorang lelaki neo maskulin, seharusnya perlu disisip rutin penjagaan diri yang sempurna tidak kira masa, keadaan dan suasana dalam memastikan penampilan diri terus terjaga. Bagi lelaki neo maskulin, penjagaan diri adalah wajib diamalkan sehari-hari termasuk jugalah perihal arjuna diri.

Penjagaan diri dititik beratkan dari hujung rambut hinggalah ke hujung kaki termasuklah perihal bau badan. Bukan cerewet, jauh sekali dikaitkan dengan spesies lelaki lembut dan homoseksual, penjagaan diri tidak seharusnya `dilacurkan' kerana amalan itu menjadi penanda aras kebersihan diri seorang lelaki.

Menyentuh mengenai bau badan, penting untuk seseorang lelaki mengenakan wangian yang terbaik dan bersesuaian dengan karektor peribadi diri. Mungkin sesetengah lelaki tidak berapa ambil peduli soal pewangi yang diambil dan sekadar menyemburkan saja pada badan.

Sedangkan, setiap pewangi mewakili karektor dan seksual haruman berbeza yang mampu mengkelaskan peribadi diri mu. Bauan berteraskan cengkeh, akar kayu, lemon dan cili umpamanya meletakkan sensasi bau yang agak seksi khusus untuk jejaka berketerampilan berani.

Hugo Boss menterjemahkan wangian sensasi Hugo XY untuk sasaran lelaki matang bercita rasa tinggi. Haruman segar diterjemahkan melalui gabungan unsur tradisional dan sensasi wangian terbaru untuk mencetuskan bauan maskulin tahan lebih lama.

Haruman Diesel mengetengahkan elemen klasik melalui campuran pati lavender, coumarine untuk cetusan bau lebih segar menggambarkan ciri sebenar lelaki. Sensasi haruman yang seakan white musk itu menterjemahkan haruman kayu penuh sensual semula jadi.

Amor Pour Homme Tentation dari Cacharel pula meletakkan cita rasa jejaka pada haruman seksi dan pedas. Gabungan unsur alam diterjemahkan menerusi bahan utama seperti anggur hitam dan bunga jasmin. Hasilnya, sensasi haruman yang dicetuskan mampu memikat hati siapa saja.

Seperti juga wangian Elizabeth Arden yang kali ini mengeluarkan koleksi Hummer untuk lelaki dengan adunan biji lada, buah pelaga, thyme dan dedaun hijau dan kayu cendana. Keseimbangan haruman itu mencetuskan kembara haruman yang tiada bandingan.

Terdapat banyak lagi jenama wangian terhangat di pasaran seperti Hugo Boss Purem Calvin Klein, Dunhill London, Ralph Lauren, Polo Explorer, Giorgio Armani hinggalah kepada jenama Armani untuk memastikan jejaka tidak terlepas pandang daripada sentiasa harum semerbak sepanjang hari.

Keghairahan memburu cinta kekasih pujaan seharusnya dimulakan dengan haruman sejati. Bersedia untuk wangi?

INFO

Pewangi

* Cecair pewangi bertindak menyerap lebih cepat ke atas kulit kering. Justeru, cara terbaik memastikan haruman kekal lama ialah dengan memastikan kulit lembap dan kering.

* Terdapat beberapa bahagian utama pada nadi yang mampu merembeskan haruman tahan lebih lama. Bahagian-bahagian itu ialah:

- pergelangan tangan

- pangkal leher

- pelipat siku

- tengah dada

- sekitar kerongkong

* Salah satu tips berguna untuk wangian lebih lama ialah dengan menyemburkan haruman pada kapas yang kemudiannya disapukan di sekitar nadi.

* Elakkan menyembur haruman pada pakaian dan rambut.