Sunday, December 27, 2009

Punca lelaki tertekan ...

USAH dinafikan ego seorang lelaki. Tidak lengkap ciri neo maskulin seorang lelaki tanpa sifat ego. Dominasi seorang lelaki terserlah melalui sifat ingin menguasai serta pantang mengalah - semata-mata untuk membuktikan diri mereka berkuasa dan hebat.

Keegoan yang lahir dalam naluri semulajadi itu menyebabkan kadang-kala lelaki seolah-olah terperangkap dalam peraturan diciptanya sendiri. Tidak hairan jika kemahuan seorang lelaki mampu mencetuskan perbalahan yang memakan diri.

Jika faktor emosi sering dikaitkan antara penyebab mengapa wanita tertekan, lain pula halnya bagi lelaki. Antara penyebab utama seseorang lelaki tertekan berpunca dengan kehidupan seharian, masalah si dia atau keluarga serta konflik di tempat kerja.

Selain itu, masalah kewangan yang membelenggu diri dan kepuasan seksual bersama pasangan boleh juga menjadi pencetus konflik lelaki menjadi tertekan.

"Sifat dominan seseorang lelaki mempengaruhi faktor tekanan mereka sendiri. Permasalahan lazim yang mencetuskan tekanan boleh berlaku umpama di tempat kerja, kedudukan kewangan yang goyah hinggalah kepada permasalahan di rumah.

"Jika tekanan ini tidak dapat diuruskan dengan baik, ia boleh mencetuskan suasana yang tidak elok kepada persekitaran dan khususnya kepada orang sekeliling," kata Pakar Motivasi, Prof Madya Md Izuddin Ali mengulas mengenai isu berkaitan dengan tekanan dialami seseorang lelaki.

Prof Md Izuddin yang juga penceramah terkenal berkata, sukar menyelami isi hati seorang lelaki yang bersifat lebih kompleks. Sambil menambah, jika sesuatu tekanan tidak dapat diuruskan dengan baik boleh mengakibatkan tercetusnya gejala yang lebih teruk.

Ditanya adakah merbahaya jika sesuatu tekanan itu tidak dibendung lebih awal, Prof Md Izuddin berkata, semestinya akan berlaku kesan sampingan kepada orang di sekeliling khususnya pasangan rapat. Sambil memberi contoh, masalah hubungan suami isteri akan dingin dan mengakibatkan risiko perceraian dan pergaduhan dalam rumah tangga andai sesuatu tekanan tidak dapat mencari jalan penyelesaian.

Pada masa yang sama, beliau berkata, produktiviti dan semangat bekerja akan pudar sekiranya terbawa-bawa permasalahan yang menimpa di tempat kerja serta dalam kehidupan seharian.

"Justeru, penting untuk seseorang lelaki mengkaji apakah jalan terbaik untuk mereka keluar daripada permasalahan yang menyebabkan berlaku tekanan itu. Pastikan juga jalan penyelesaian yang diambil tidak akan memakan diri sendiri serta menyusahkan orang lain.

"Seperti contoh, jangan pula kita memilih meminjam along dan membuat pinjaman bank semata-mata untuk mendapatkan sumber kewangan pada jalan singkat, walhal ia akan menambahkan lagi tekanan di kemudian hari.

"Langkah terbaik adalah untuk menyelesaikan sesuatu tekanan ialah mendapatkan pandangan individu yang selayaknya dalam bidang tertentu seperti yang dialami lelaki," katanya yang menggalakkan lelaki berfikiran positif dalam segala aspek.

Kesan negatif dari aspek kesihatan yang boleh berlaku jika masalah tekanan tidak dapat dibendung menurut Prof Md Izuddin, merangkumi pelbagai segi. Antaranya termasuklah tekanan darah tinggi, kemurungan berpanjangan dan mengasingkan diri. Pada sesetengah keadaan, penghidapnya sanggup mengambil jalan mudah sehingga membunuh diri!

Sambil menambah, Prof Md Izuddin berkata, faktor tekanan yang dialami antara lelaki dan wanita juga berbeza berdasarkan ciri fizikal dan personaliti diri mereka. Bagi seorang wanita, tekanan yang dialami mereka disebabkan pengaruh emosi yang banyak mencetuskan konflik.

Berbanding lelaki katanya, seseorang wanita itu mudah menjadi tertekan gara-gara terlalu mengambil berat dalam segala hal yang tidak mungkin difikirkan oleh seorang lelaki.

"Manakala, lelaki tidak pula membabitkan soal remeh temeh, tetapi lebih menjurus kepada soal ego dan ciri-ciri lelaki yang ada dalam diri mereka sendiri.

"Justeru itu, langkah terbaik yang harus diteladani ialah mengamalkan ciri positif dalam menjalani kehidupan," kata Prof Md Izuddin ringkas.

Ditanya apakah tips mudah untuk meleraikan sesuatu tekanan daripada terus berlarutan, Md Izuddin berkata caranya tidaklah sesukar mana. Bagi beliau, cara-caranya ialah:

* Berfikiran positif.

* Menilai kembali diri sendiri.

* Usah mengambil terlalu serius masalah remeh.

* Jangan anggap orang lain mempunyai pemikiran yang sama dengan kita.

* Amalkan pengurusan kawal kemarahan.

INFO

Lelaki mudah tertekan andai...

* Dipaksa melakukan sesuatu yang bukan kehendaknya

* Menjadi sesuatu yang bukan karektor sebenarnya

* Kemampuan dirinya dicabar

* Mengalami masalah kewangan

* Tuntutan dan kemahuannya tidak dipenuhi pasangan

* Mempunyai pesaing dalam merebut cinta

* Kelelakiannya dipertikaikan pasangan

* Dirinya dipermainkan pasangan

* Pasangannya mempertikaikan kedudukannya sebagai ketua

* Dirinya dimalukan di khalayak umum

* Minat dan hobinya dihalang

1 comment:

Airil Haimi Adnan a.k.a. Teech said...

Salam hormat, maaf saya tumpang lalu di weblog ini...

"Tidak lengkap ciri neomaskulin seorang lelaki tanpa sifat ego."

Apa lagi agaknya kupasan anda tentang lelaki neomaskulin pada masa depan?

Selamat menulis!

-airil-