PENGHUJUNG tahun biasanya menjadi fasa yang dinanti-nantikan kebanyakan orang. Waktu beginilah seseorang yang bekerja mengharapkan adanya imbuhan berbentuk bonus daripada majikan.
Kebanyakan majikan menjanjikan bonus tahunan untuk kakitangan mereka jika syarikat mencapai peningkatan dalam prestasi atau keuntungan. Imbuhan bonus yang diberikan mungkin sebanyak sebulan gaji atau lebih, mengikut berapa banyak keuntungan yang diperoleh syarikat.
Inilah antara faktor yang menjadi motivasi kepada seseorang pekerja untuk melaksanakan tugas mereka dengan baik dan setia kepada majikan dan syarikat.
Menunggu `munculnya' wang lebihan yang anda tunggu-tunggu selama ini memang membuat seseorang tidak sabar dan asyik memikirkannya.
Sebelum menerima bonus lagi, ramai individu sudah sibuk berencana dan berfikir bagaimana untuk membelanjakannya. Mereka yang `gila' membeli-belah tentunya sudah tidak sabar-sabar untuk membeli barangan yang diidam-idamkan, lebih-lebih lagi bila berlangsungnya pula karnival beli-belah yang menawarkan potongan diskaun yang cukup mengujakan.
Tidak dinafikan, sebagai manusia, ramai antara kita yang lebih tertarik dengan kualiti hidup jangka pendek berbanding kualiti hidup jangka panjang. Oleh itu, kita cenderung melakukan tindakan yang kurang bijak dan akhirnya memberi kesan negatif kepada diri sendiri.
Walaupun bonus boleh dianggap sebagai rezeki tambahan atau ganjaran kepada penat lelah bekerja selama ini, tidak bererti ia boleh digunakan sewenangwenangnya tanpa sebarang pertimbangan yang wajar.
Lebih menguntungkan jika seseorang itu tidak `rambang mata', sebaliknya berfikir dengan baik dan membuat keputusan yang dapat memberikan manfaat jangka masa panjang.
Jika anda tidak terikat dengan mana-mana tanggungan atau komitmen penting serta sudah mengetepikan dana yang sepatutnya menjadi simpanan, tidak salah jika anda bercita-cita untuk menggunakan bonus yang ada untuk memanjakan diri atau menikmati hiburan.
Berikut dikongsi beberapa tips dan idea menggunakan ganjaran bonus yang mungkin boleh dijadikan panduan.
1) Selesaikan hutang
Percutian atau membeli-belah sememangnya suatu idea yang menyeronokkan. Namun, jika wang yang diperoleh digunakan untuk menyelesaikan hutang-piutang yang ada, ia lebih `mendamaikan' jiwa dan fikiran. Sebelum tarikh yang anda jangka akan menerima ganjaran bonus itu, periksa dulu hutang-piutang yang ada. Tunggakan bil, kad kredit, pinjaman bank, hutang dengan mana-mana individu atau hutang pinjaman pelajaran barangkali? Jika hutang yang ditanggung lebih daripada satu, selesaikan mana yang terpenting dulu atau mana yang kadar bunganya lebih tinggi.
2) Pelaburan
Jika anda bebas daripada sebarang bebanan hutang, ia suatu perkara yang baik. Mungkin anda boleh salurkan ia ke skim pelaburan yang dapat memberikan pulangan menguntungkan dalam jangka masa panjang.
3) Keperluan
Buat satu senarai keperluan. Adakah anda memerlukan mesin basuh baru, adakah mana-mana bahagian dalam kediaman yang rosak dan perlu dibaiki atau adakah anak anda memerlukan pakaian seragam sekolah yang baru?.
4) Kehendak
Semak pula mana-mana perkara yang anda ingin lakukan namun belum berkesempatan. Contohnya, bercuti ke destinasi pelancongan popular atau memiliki komputer bimbit yang baru dan canggih. Jika tiada tanggungan lain, wang bonus yang diperoleh nanti bolehlah digunakan untuk mana-mana kehendak yang sekian lama dipendam ini.
5) Simpan
Alangkah baiknya jika anda dapat mendisiplinkan diri dengan menyimpan jumlah ganjaran bonus yang diperoleh itu setiap tahun. Kepuasan menyimpannya akan anda peroleh selepas sesuatu tempoh dan ia sudah pasti berbaloi. Wang berkenaan dapat digunakan untuk banyak perkara yang anda boleh fikirkan nanti atau boleh juga digunakan di saat kecemasan. Apapun, pastikan anda memilih institusi kewangan yang memberi keuntungan kepada simpanan anda itu.
6) Anak
Pada yang sudah berkeluarga, masa depan anak seharusnya menjadi keutamaan anda sebagai ibu atau bapa. Kini, terdapat pelbagai skim pelaburan yang disediakan khusus untuk menjamin masa depan dan pelajaran anak-anak. Siapa tahu, wang yang dilaburkan sekarang ini dapat meringankan beban anda masa akan datang.
7) Gembira
Apa pun keputusan yang anda lakukan, pastikan anda gembira melaksanakannya kerana nyata, apa yang digunakan itu adalah hasil titik-peluh anda selama ini.
3 comments:
kuii.kuii cam tahu2 jer akak baru jer tekan duit bonus tadi..tq INTEL..yaeehhh dpt bonus.
chik na pun tengah berkira-kira duit bonus dari ASB nih ...
JELESNYER PADA YANG DPT BONUS...UWAAAAAAAAAA NAK BONUS GAK UWAAAAAAAAAA
Post a Comment