Psttt ... artikel ni khas buat yang masih bujang2 yer ... yang dah berkahwin, amik tau jer lah... Jom layanssss!
SITUASI yang ingin dikupas ini sudah menjadi sesuatu yang dianggap lumrah dalam masyarakat sekarang. Hidup berseorangan dan bersendirian seolah-olah menjadi sebahagian daripada ciri-ciri kehidupan warga kota.
Berkeperibadian menarik, menduduki jawatan profesional malah harta rumah dan kereta kini bukanlah prasyarat atau jaminan memiliki teman hidup. Akhirnya, umur makin meningkat dan `saham' merudum gara-gara tidak berteman.
Namun, tidak semua orang inginkan situasi begitu. Sudah menjadi impian setiap insan untuk disayangi pasangan masing-masing. Lumrah alam menyebut lelaki diciptakan untuk wanita, begitulah sebaliknya.
Kebahagiaan yang tercipta itu bagai kisah agung Romeo dan Juliet dalam meniti kemuncak kebahagiaan. Namun, secara realitinya masih ramai insan di luar sana yang tidak mengecapi nikmat kebahagiaan, walaupun hidup bersama pasangan yang diimpikan.
Meskipun ramai lelaki dan wanita solo, belum tentu semuanya serasi dijadikan pasangan hidup. Faktor usia, perbezaan profesion, latar belakang pendidikan hingga keserasian menjadi antara penghalang mendekati kenalan baru.
Ditambah pula dengan bebanan kerja serta komitmen lain yang menghalang usaha bertemu pasangan sesuai, apatah lagi menyemai bibit cinta. Akibatnya angan-angan memiliki pasangan yang boleh menyayangi dan meniti detik susah senang hanya tinggal kenangan.
Jika sepanjang hari masa dihabiskan di tempat kerja hingga membawa ke petang, sebelah malam pula menjadi begitu sunyi dan terasing. Hari-hari begitu tentunya berasa bosan. Adakah ini yang dicari selama ini?
Bagi seorang wanita, ungkapan anak dara tua atau lebih manis dipanggil andartu bagaikan halilintar dan cukup ditakuti. Apatah lagi apabila saban tahun usia meningkat dan terus meningkat. Apakah tidak ada lelaki yang ingin mendampingi?
Terfikir juga, apalah yang dicari seorang lelaki di dalam hati kecil seorang wanita. Terkenang juga nasib seorang teman yang berusia awal 30-an. Kulit wajahnya cantik, berpotongan badan menarik dan cukup peramah tetapi sehingga kini tiada teman lelaki.
Mengenangkan masalah kenalan tadi, terbayang nasib wanita yang mungkin masih tercari-cari teman hidup. Pada usia sebegitu, hati kecil mereka inginkan kebahagiaan hidup berumahtangga, memiliki insan bergelar suami serta dikurnia cahaya mata.
Mungkin ada wanita yang mengandaikan lelaki mudah didekati. Lelaki digambarkan cukup mudah digoda dengan keperibadian dan kecantikan. Ternyata, fakta itu mungkin ada benarnya. Tetapi perlu diingat, tidak semua lelaki begitu. Lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan ego dan prinsip diri.
Kata orang, bertepuk sebelah tangan tidak berbunyi. Begitu jugalah halnya apabila memiliki pasangan hidup. Meskipun seorang wanita hadir dengan pakej lengkap yang membolehkan dirinya mendekati hati lelaki pujaannya, harus diingat tidak semua lelaki mempunyai cita rasa yang sama.
Faktor cita rasa dan keserasian itulah jugalah yang mungkin kenalan wanita tadi tidak berpeluang menemui jejaka idamannya.
XY - Ikon minggu ini cuba menyelami masalah wanita solo seterusnya melerai kesukaran mendekati Mr Bachelor. Bersama tips ringkas, mungkin sedikit sebanyak membantu ramai wanita kembali yakin untuk bertemu sang arjuna hati.
Paling utama, pastikan anda berkeyakinan dan jangan berputus asa memikat lelaki pada zaman siber ini. Manalah tahu, kali ini mungkin berjaya bertemu kekasih pujaan. Ayuh pelajari 20 ciri-ciri wanita kesukaan lelaki dan sebaliknya...
Lelaki suka...
* Wanita bersifat keibuan
Gaya lemah lembut dan berperawakan sederhana mudah meruntun jiwa lelaki. Mustahil seorang wanita sebegini terus membujang!
* Wanita matang
Lelaki teruja apabila berdepan wanita yang matang. Bijak, pandai membuat keputusan dan tidak merimaskan adalah kunci kejayaan menjadi kekasih pujaan seorang lelaki.
* Wanita yang menjadi dirinya sendiri
Jangan menjadi `plastik' semata-mata untuk memenangi hati dan perasaan seorang lelaki. Lelaki lebih gemar dan selesa berbual dengan wanita yang tidak kekok bila berbicara.
* Wanita berpotongan badan menarik
Jangan pula terasa hati andai tidak memiliki bentuk badan idaman. Sebaliknya, yakin pada diri sendiri dan penting sekali mengambil pemakanan sihat.
* Wanita berterus terang
Pantang bagi seorang lelaki apabila seorang wanita cuba menyembunyikan rahsia dirinya. Lelaki suka apabila wanita berterus terang dan terbuka.
* Wanita yang sederhana
Usah pula menunjukkan `saham' anda yang kononnya tinggi dengan meminta itu dan ini. Lelaki tidak sukakan cabaran dan situasi yang sukar kerana mereka gemar sesuatu lebih bersifat sederhana.
* Wanita pandai memasak
Jangan merasakan kecantikan sudah cukup membeli jiwa seorang lelaki. Sebenarnya faktor memasak juga menjadi kunci kejayaan dalam menawan hati seorang lelaki. Rajin-rajinlah ke dapur!
* Wanita pandai menjaga hati
Keperibadian wanita yang lemah lembut mudah untuk didekati dan disayangi lelaki. Jangan sesekali membangkitkan perkara yang membuatkan dirinya cemburu dan menyakitkan hati.
* Wanita yang manja
Manja bukan bererti mengada-ngada. Manja yang disenangi seorang lelaki adalah milik mutlak dirinya semata-mata. Jangan pula menunjukkan sikap sama dengan lelaki lain sehingga membangkitkan rasa cemburu. Awas!
* Wanita yang menghormati dirinya
Sudah menjadi resam lelaki untuk menguasai dan seorang wanita itu perlulah menghormati dirinya sebagai ketua.
Lelaki benci...
* Wanita jual mahal
Lelaki mempunyai ego yang tinggi. Jangan sesekali meletakkan diri anda umpama seorang ratu. Akibatnya sukar untuk memujuk kembali hati seorang lelaki.
* Wanita ego
Ego seorang wanita tidak boleh mengatasi sifat semula jadi lelaki. Jika kedua-dua ego bertemu, alamatnya memang tidak ke mana perhubungan itu.
* Wanita mengongkong
Mungkin seorang wanita berasa sikap mengambil tahu sebagai bukti cintanya, tidak pula bagi lelaki. Lelaki hanya menganggap dirinya dikongkong apabila semua perkara dilakukannya ingin diketahui pasangannya.
* Wanita seksi
Jangan sesekali merasakan imej seksi boleh membeli jiwa seorang lelaki. Tanggapan itu salah, sebaliknya seksi di mata lelaki lebih kepada perawakan semula jadi dan kelembutan peribadi seorang wanita.
* Wanita mengada-ngada
Terdapat dua faktor berbeza antara wanita manja dan mengada-ngada. Lelaki cukup mual bila berdepan dengan wanita mengada-ngada hingga merimaskan mereka.
* Wanita terlalu mendesak
Pantang seorang lelaki apabila didesak untuk melakukan perkara yang dia tidak senangi. Jangan memaksa sebaliknya berbincang dengan cara baik sebelum membuat keputusan.
* Wanita yang terlalu memuji dirinya
Tidak perlu terdesak untuk menonjolkan kehebatan diri sendiri sehingga boleh menjejaskan keselesaan seorang lelaki. Biarlah pujian itu datang dari mulut seorang lelaki.
* Wanita yang mata duitan
Jangan pula menonjolkan sikap `pisau cukur' dengan meminta itu dan ini sehingga sukar untuk diberi seorang lelaki.
* Wanita yang hipokrit
Lelaki boleh memaafkan kesalahan wanita tetapi jangan sesekali bersikap hipokrit dalam perhubungan sehingga mengeruhkan keadaan.
* Wanita kuat cemburu
Belumpun sampai ke gerbang perkahwinan wanita sudah cemburu tidak tentu pasal. Perlu diingat, lelaki mudah bosan dan tidak suka dikongkong dengan perkara remeh-temeh!
No comments:
Post a Comment