Tuesday, December 22, 2009

Fahami 5 mitos, salah tanggapan pasaran saham

ARTIKEL kedua siri pendidikan pelabur Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC) yang bertujuan mendedahkan pembaca mengenai cara merancang kewangan dan membuat pelaburan dengan bijak.

PASTI anda selalu mendengar pelbagai andaian dan spekulasi mengenai pasaran saham. Berikut disenaraikan beberapa salah tanggapan atau mitos berkaitan pasaran saham:

* Pasaran saham ialah kasino!

Tidak, pasaran saham BUKAN kasino. Melabur dalam saham pada dasarnya berbeza daripada berjudi. Membeli saham atau stok mewakili pemilikan dalam sesuatu syarikat dan memberikan hak kepada pembeli menuntut hak terhadap aset syarikat dan berkongsi keuntungan syarikat.

Selalunya, pelabur berfikir bahawa membeli saham adalah cara untuk mencuba nasib dan mendapat keuntungan dengan cepat. Tanggapan ini salah.

* Hanya untuk orang kaya

Tanggapan ini tidak tepat kerana sesiapa saja yang mempunyai pengetahuan pelaburan yang baik dan sedikit wang simpanan boleh melabur dalam pasaran saham.

Pelabur berjaya bukan mereka yang kaya, tetapi mereka yang menggunakan maklumat dengan berkesan dan mendapatkan bantuan daripada golongan profesional berlesen untuk membuat keputusan berdasarkan maklumat.

* Masa paling baik untuk melabur ialah ketika pasaran `bull'

Ketika pasaran `bull' atau ketika pasaran sedang naik dan aktif, bukanlah satu-satunya masa paling baik untuk melabur.

Berbekalkan maklumat yang baik dan pemilihan saham yang teliti, pelabur boleh membuat keputusan pelaburan yang baik pada bila-bila masa saja, sama ada ketika pasaran `bull' atau bear (apabila pasaran jatuh dan tidak aktif).

` Mustahil melabur tanpa `maklumat panas'

Walaupun tanpa `maklumat panas' (hot tips), pelabur masih boleh membuat keputusan pelaburan yang baik jika mereka melakukan penyelidikan sendiri.

Pelabur mesti memahami dengan jelas mengenai pelaburan mereka dan tidak bergantung hanya kepada maklumat panas.

Sekiranya pelabur tidak mempunyai pengetahuan atau mempunyai hanya sedikit pengetahuan mengenai pelaburan, lebih baik jika mendapatkan khidmat nasihat penasihat pelabur. Pastikan mereka mempunyai lesen yang sah.

* Beli saham harga murah ketika pasaran `bullish'

Membeli saham harga murah ketika pasaran `bullish' (bullish market) dengan harapan harganya akan naik ketika pasaran sedang `bullish' bukan satu strategi pelaburan yang berkesan. Strategi lebih baik ialah membeli saham syarikat yang mempunyai asas yang baik pada harga berpatutan.

Ini kerana harga adalah hanya satu bahagian daripada pelaburan saham.

Jangan keliru dengan konsep pelaburan nilai (value investing). Ini bukan bermakna membeli saham apa saja syarikat yang harga pasarannya sedang menjunam, seperti kata pepatah lama Wall Street, "Those who try to catch a falling knife will only get hurt". Pelaburan nilai ialah membeli saham syarikat berkualiti tinggi yang dinilai rendah oleh pasaran.

Sebarang persoalan mengenai pelaburan (saham atau amanah saham), boleh diajukan ke sidc@sidc.com.my atau layari laman web Pelabur Malaysia di www.min.com.my.

No comments: