Monday, November 30, 2009

Usah jadi ketam mengajar anak

MENURUT ajaran Islam, anak yang berumur tujuh tahun boleh disuruh mendirikan solat lima waktu tetapi sekiranya sudah mencecah 10 tahun, ibu bapa boleh memukulnya jika si anak tidak mengerjakannya.

Ini sejajar dengan maksud Sabda Rasulullah: "Perintahkan anak-anakmu mengerjakan solat apabila sudah berumur tujuh tahun dan pukullah dia bila tidak mahu mengerjakannya setelah berumur 10 tahun".

Dalam pada itu, adalah memalukan jika ibu bapa sendiri tidak mendirikan solat sewaktu menyuruh anak mengerjakannya. Adalah lebih baik mendirikan solat secara berjemaah seisi rumah untuk mengeratkan kasih sayang di antara suami dan isteri, ibu bapa dan anak.

Sebenarnya anak adalah bunga hati dan penyeri keluarga. Didikan agama yang disemai sejak kecil membolehkan si anak menghormati dan mentaati orang tua.

Anak juga adalah amanah Allah kepada ibu bapa. Semakin besar si anak semakin beratlah tanggung jawab orang tua. Semakin ramai anak, semakin besar amanat yang diberikan Allah.

Di dalam rangka memelihara amanat itu, ibu bapa mempunyai beberapa kewajipan. Antaranya memberikan didikan agama seperti yang terkandung di dalam maksud hadis Rasulullah:

"Hendaklah kamu (ibu bapa) memberi pendidikan agama dan akhlak yang baik kepada anak-anakmu".

Ini membuktikan mendidik anak dengan agama adalah soal pokok yang terpenting bagi keselamatan di dunia dan akhirat selain memberi kebahagiaan dan kepuasan hati orang tua.

Ibu bapa yang waras harus mempunyai perasaan kasih sayang kepada anak-anak kerana perasaan kasih sayang adalah satu sifat semula jadi yang lahir pada jiwa seseorang.

Beruntunglah ibu bapa mempunyai anak yang salih. Dalam hal ini, Abu Daud, Muslim dan Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah ada bersabda yang bermaksud: "Apabila mati seseorang anak Adam, maka putuslah semua amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat dan anak-anak salih yang sering mendoakan mereka".

Menyedari perkara ini, ibu bapa harus insaf dengan memberi sepenuh kasih sayang kepada anak-anak sejak bayi lagi agar apabila si anak menjadi dewasa akan memberi keuntungan berterusan kepada ibu bapa walaupun sudah meninggal dunia.

Diriwayatkan bahawa Nabi Zakaria berdoa tanpa jemu supaya dikurniakan Allah seorang cahaya mata. Doanya terkandung di dalam al-Quran (Surah Maryam ayat 4, 5 dan 6) yang bermaksud:

"Ya Tuhanku, sesungguhnya tulangku telah lemah dan kepalaku telah dipenuhi uban dan aku belum pernah kecewa dalam berdoa kepada Engkau, wahai Tuhanku. Dan sesungguhnya aku khuatir terhadap orang yang akan mengurus apabila aku meninggal dunia dan isteriku pula seorang yang mandul. Maka anugerahkanlah aku seorang putera yang akan mewarisi aku dan mewarisi sebahagian keluarga Yaakob dan jadikanlah ia ya Tuhanku, seorang yang diredai."

Itulah doa Nabi Zakaria yang akhirnya dimakbulkan dengan kelahiran anaknya Nabi Yahya.

Dalam mendidik anak, kasih sayang perlu dipupuk dengan penuh tanggung jawab. Sabda Nabi Muhammad seperti yang diriwayatkan oleh Ahmad, menyebut: "Sesiapa yang tidak mempunyai kasih sayang, tidaklah pula ia dikasihi pada hari tuanya."

Memang tidak dapat dinafikan ada sesetengah ibu bapa tidak mempedulikan kebajikan anak-anak kerana terlalu sibuk dengan urusan kerja dan perniagaan gara-gara terlalu mengejar kebendaan di dunia.

Daripada kelalaian ini, tanpa disedari anak-anak terbiar tanpa pedoman, hidup mereka tertekan dan mahu mencari kebebasan di luar rumah. Ingatlah bahawa anak adalah harta yang tidak ternilai. Didiklah anak sejak kecil supaya menjadi orang berguna apabila dewasa kelak.

No comments: