Wednesday, October 14, 2009

Rekaan berbeza bawa perubahan

PERKEMBANGAN komputer peribadi (PC) dan laptop kian maju dengan inovasi penggunaan yang dipelbagai dari hanya sebuah peranti untuk menaip hingga ke salah satu alat keperluan hidup.

Kebanyakan pengguna menggemari cara tradisional menekan papan kekunci pada PC sebagai antaramuka utama yang digunakan setiap hari selain rekaan laptop biasa berwarna perak.

Selepas pencetak mula memperkenalkan fungsi semua dalam satu serta fungsi sesentuh sebagai `lauk', kini tiba giliran PC mengalami situasi yang sama.

Selepas ini, mungkin tiada lagi CPU kerana semuanya boleh dimuatkan dalam monitor yang dijual vendor tambahan pula pengguna mementingkan penjimatan ruang di atas meja.

Bagi pengeluar PC terkemuka, Hewlett Packard (HP), PC semua dalam satu dibantu paparan skrin sesentuh mampu membawa perubahan baru dalam dunia perkomputeran moden.

Naib Presiden dan Pengurus Besar, Unit Sistem Desktop, HP Asia Pasifik dan Jepun, Dennis Mark, berkata keupayaan skrin sesentuh banyak merubah kaedah menggunakan PC.

"Kami pernah memberikan PC semua dalam satu dengan fungsi sesentuh kepada masyarakat yang tidak pernah mengenal teknologi sebelum ini.

"Hasilnya, mereka mampu melayari menu tanpa pengawasan pengajar kerana sentuhan lebih bermakna untuk semua perkara," katanya.

Jelasnya, sejak PC semua dalam satu kategori Touch-Smart diperkenalkan pada 2007, HP mendapat maklum balas baik dari pengguna yang mendapati fungsi terbabit lebih menyenangkan pelayaran menu atau aplikasi.

"Inovasi terbabit membuka peluang seluas-luasnya kepada dunia perkomputeran," katanya.

Beliau berkata, pengenalan TouchSmart menukar model berinteraksi antara komputer dan pengguna yang mana ia menumpukan persekitaran aplikasi berkaitan kehidupan manusia.

"Perhubungan antara manusia dan mesin suatu ketika dulu hanya terhad kepada perkara tertentu namun pengenalan skrin sesentuh membuka untuk penambahbaikan beberapa perkara.

"Ia membabitkan aplikasi yang meliputi ruang berkomunikasi masyarakat dengan PC sekarang adalah pembantu paling padan untuk manusia," kata Mark.

Berbeza dengan siri 2.0 yang lalu, TouchSmart 3.0 membenarkan banyak aplikasi dimuatkan untuk mengurus kehidupan manusia yang sofistikated.

"Kita menyaksikan produk skrin sesentuh berjaya di Jepun serta negara Pasifik Selatan seperti Australia dan New Zealand kerana antaramuka yang ditawarkan membina komunikasi dua hala," katanya.

Tambahnya, HP akan sentiasa melihat aplikasi yang bersesuaian untuk dimuatkan dalam PC semua dalam satu dengan fungsi skrin sesentuh.

"Contohnya, ketika ini kami mempunyai aplikasi foto yang membolehkan pengguna menyuntingnya menggunakan tangan dengan menukar saiz dan sebagainya.

"Ia salah satu daripada aplikasi yang disorotkan bersama produk TouchSmart terkini iaitu model 300 dan 600," kata Mark.

Mark berkata, HP menjalankan dua penyelidikan di India dan China yang menunjukkan keupayaan skrin sesentuh dan PC semua dalam satu amat ditagih pengguna di kedua-dua negara terbabit.

"Kajian mendapati hampir 7,000 masyarakat India yang tidak mengenal erti teknologi mampu menguasai PC berskrin sesentuh dengan pantas tanpa dibantu tenaga pengajar," katanya.

Sementara di China pula, hampir 70 peratus rakyatnya mahukan PC semua dalam satu untuk memudahkan mereka melayari menu serta berinteraksi dengan lebih baik.

"Kami percaya teknologi skrin sesentuh membolehkan manusia berinteraksi secara semula jadi berbanding jika diberikan papan kekunci saja kepada mereka.

"Ada yang bertanya kepada kami bagaimana untuk mengajar manusia menggunakan PC berskrin sesentuh? Kami hanya mengatakan mereka tidak perlu belajar kerana ia adalah sifat semula jadi manusia," ujarnya.

Beliau mengambil contoh penggunaan mesin juruwang automatik (ATM) yang tidak memerlukan pegawai bank untuk mengajar pengguna cara menggunakan mesin terbabit.

"Kalau kita lihat di pasaran, banyak vendor lain mula melabur dalam pembangunan PC dalam satu berskrin sesentuh," jelas Mark.

Prestasi menggunakan skrin peka sentuhan dikatakan lebih baik apatah lagi ketika ini dunia perkomputeran menuju kaedah kerja untuk memperoleh produktiviti dan komunikasi lebih pantas.

Ternyata fungsi skrin peka sentuhan membolehkan pengguna melakukan serta melayari PC dengan lebih baik walau di mana juga mereka berada.

Penggunaan PC semua dalam satu berasaskan skrin sesentuh direka menerusi inovasi optikal yang mana dua lapisan mengandungi bahan untuk menyebarkan cahaya bagi menghantar dan menerima isyarat membolehkan pengguna memilih menu dan pilihan dengan menyentuh pada skrin.

Menurutnya, walaupun pasaran PC desktop menguncup, pasaran PC semua dalam satu kian menjadi tarikan utama terutama di negara membangun.

"Laporan kaji selidik agensi penyelidikan terkemuka IDC terhadap masa depan desktop HP menunjukkan kenaikan berdasarkan pertambahan 14.6 peratus unit yang dihantar ke seluruh dunia," katanya.

Katanya, ia menunjukkan penerimaan pengguna terhadap peranti itu terutama pada masa depan.

"Menerusi PC semua dalam satu, HP membawa pengalaman desktop di dalam kategori notebook. Kami menawarkan rumusan yang disasarkan untuk membawa pengalaman baru yang menggabungkan reka bentuk terbaik dengan kefungsian yang mudah digunakan dan menarik penggunaan," katanya.

Bercakap mengenai fesyen laptop, Naib Presiden, Unit Perniagaan Mudah Alih, Kumpulan Sistem Peribadi, HP Asia Pasifik dan Jepun, Chua Hwee Koon, berkata situasi ekonomi dunia yang dialami hari ini tidak menghalang pengguna mendapatkan produk kegemaran mereka.

"Oleh sebab itu, kami turut memperkenalkan pereka Tord Boontje yang mementingkan alam untuk mencipta rekaan kerangka luar pada produk HP Mini," katanya.

Menurutnya, rekaan tidak hanya bergantung kepada bentuk luaran laptop namun ia turut bergantung kepada pengalaman melayarinya.

"Kami melihat dari segenap sudut untuk mereka faktor `wow' yang mampu memberi kejutan kepada dunia," kata Hwee Koon.

Menurutnya, inilah masanya kita memilih laptop yang betul, inovasi yang betul, reka bentuk yang betul dan prestasi yang betul, malah semua itu mesti memenuhi kehendak serta keperluan dan yang penting ia mampu dimiliki.

"Maka HP tampil dengan pelbagai produk baru ini yang memiliki semua ciri serta kefungsian ditawarkan pada harga yang mampu dimiliki.

"Misalnya laptop yang ke arah fesyen selain teknologi, begitu juga dengan PC yang selama ini memang mementingkan reka bentuk," katanya.

Sebenarnya, semua inovasi ini terhasil mengikut kehendak pengguna yang sentiasa mahukan sesuatu segar walaupun ia membabitkan teknologi.

Benarlah kata Naib Presiden Kanan Kumpulan Sistem Peribadi, HP Asia Pasifik dan Jepun, See Chin Teik, "Produk baru yang dikeluarkan berdasarkan pacuan pengguna yang mahukan rekaan inovasi paling canggih."

Sumber: Harian Metro

No comments: