My Followers

Tekanan bawa padah

LELAKI bujang yang tinggal sendirian, menghadapi tekanan masalah kerja dan kewangan mahupun hubungan sosial, mempunyai risiko lebih tinggi untuk membunuh diri berbanding lelaki berkahwin atau wanita bujang.

Risiko ini akan berganda jika hubungan kekeluargaan lemah dan mereka terbabit dalam penyalahgunaan dadah, termasuk ecstasy, syabu atau pil kuda.

Bunuh diri adalah jenayah yang ada kaitan rapat dengan kesihatan mental. Kebanyakan kes bunuh diri membabitkan golongan muda (terutama lelaki) yang dikategorikan dalam kelompok umur produktif iaitu antara 15 hingga 44 tahun.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan lingkungan umur ini sebagai umur kritikal untuk bunuh diri.

Di seluruh dunia, WHO menganggarkan satu juta orang akan membunuh diri setiap tahun dengan cubaan bunuh diri setiap tiga saat. Keadaan ini membimbangkan kerana masalah tekanan mental sehingga menyebabkan seseorang itu nekad menamatkan hidup meningkat 10 peratus di seluruh dunia.

Secara purata di negara maju seperti Amerika Syarikat, satu kes bunuh diri berlaku setiap 18 minit. Kejayaan bunuh diri empat kali lebih tinggi di kalangan lelaki berbanding wanita.

Berdasarkan laporan Pusat Kawalan dan Pencegahan Kecederaan Kebangsaan Amerika Syarikat, bunuh diri menduduki tangga kelapan dalam senarai punca kematian utama di negara berkenaan.

Lelaki muda dalam lingkungan umur 15 hingga 44 tahun adalah kumpulan paling berisiko dengan kemuncak kes dilaporkan di kalangan 20 hingga 24 tahun.

Di Amerika Syarikat, cara bunuh diri paling lazim ialah menembak diri sendiri tetapi di Eropah yang mengharamkan penggunaan senjata, tiga kaedah popular ialah menghidu gas, gantung diri dan makan ubat berlebihan.

Jangkaan pakar perubatan kes bunuh diri akan meningkat dalam tempoh krisis kewangan sekarang terbukti apabila Jabatan Buruh Amerika Syarikat mendapati peningkatan sehingga 28 peratus bagi kadar bunuh diri yang dilaporkan tahun lalu.

Masalah bunuh diri tidak hanya berlaku di Barat kerana negara Islam seperti Malaysia turut mencatat peningkatan kes bunuh diri, terutama di kalangan golongan muda.

"Ia dikategorikan sebagai 'masalah kesihatan masyarakat'," kata Ketua Jabatan Perubatan Psikiatri, Pusat Pakar Universiti Malaya, Profesor Mohamad Hussain Habil.

Di Malaysia, kajian Morbiditi dan Mortaliti Kebangsaan 2006 mendapati daripada 14,000 responden yang mengalami masalah kesihatan mental, 20 peratus adalah kanak-kanak manakala 11 peratus adalah dewasa.

Antara masalah kesihatan mental ialah tekanan berlebihan, kemurungan, sentiasa berasa was-was dan skizofrenia. Secara purata satu daripada 10 orang di Malaysia ada masalah kesihatan mental dan seluruh dunia dianggarkan 450 juta orang mengalami gangguan ini.

Daripada jumlah ini, 120 juta dilanda kemurungan manakala 24 juta mengalami skizofrenia tetapi kebanyakannya tidak mendapat rawatan sewajarnya.

Kajian berkenaan mendapati enam peratus responden terfikir untuk bunuh diri manakala 25 peratus terasa hendak bunuh diri. Dalam tempoh 15 tahun lalu tujuh hingga 12 orang daripada setiap 100,000 penduduk Malaysia mati kerana membunuh diri.

Singapura mencatat 15 hingga 20 kematian bunuh diri bagi setiap 100,000 penduduknya, manakala Korea Selatan dan Jepun yang mempunyai kadar bunuh diri tertinggi di dunia mencatat 15 hingga 44 kes bagi setiap 100,000 orang.

Untuk tahun ini saja, antara kes bunuh diri yang dilaporkan ialah Michael Miller, 16, pelajar dari London kerana tidak tahan dibuli selama 10 tahun; bekas Presiden Korea Selatan, Roh Moo-hyun (terjun dari tempat tinggi di kawasan perumahannya apabila dikaitkan dalam skandal rasuah) dan bintang Spiderman 3, Lucy Gordon, 29, ditemui mati tergantung di rumahnya.

Jika diperhati, punca yang membuatkan seseorang nekad membunuh diri berbeza-beza tetapi semuanya boleh dikaitkan dengan tekanan. Malah masalah rumah tangga dan putus cinta juga boleh mendorong seseorang untuk mengambil langkah drastik seperti yang berlaku kepada seorang wanita muda dari Kuantan (yang mahu terjun bangunan kerana berselisih faham dengan suami) dan pelajar lelaki dari Kuala Terengganu mengelar pergelangan tangannya selepas teman wanitanya meminta untuk memutuskan hubungan.

Itu cebisan kecil contoh dan punca bunuh diri. Pada golongan muda, antara punca untuk bunuh diri ialah tekanan, gangguan mental, kemurungan, penyalahgunaan dadah atau alkohol.

Manakala punca golongan tua membunuh diri biasanya ada kaitan rapat dengan kemurungan, kesakitan fizikal dan penyakit, tinggal sendirian, berasa tidak berguna dan sentiasa dibelenggu rasa bersalah.

Profesor Hussain berkata, banyak faktor risiko yang boleh menyebabkan seseorang hilang punca dan kewarasan hingga sanggup menamatkan riwayat mereka seperti:

* Penyalahgunaan dadah atau alkohol yang diambil untuk menenangkan fikiran atau keseronokan

* Bujang (lelaki)

* Tinggal sendiri

* Bercerai atau berpisah dengan pasangan

* Pernah alami penderaan fizikal atau seksual

* Tidak bekerja/dibuang kerja

* Dibuli (sama ada di sekolah atau tempat kerja)

* Kehilangan orang tersayang akibat kemalangan atau penyakit

* Penyakit mental (terutama kemurungan)

* Tidak mendapat sokongan keluarga

* Menghadapi masalah kewangan

Bagaimanapun, faktor yang boleh merangsang seseorang untuk bunuh diri biasanya sangat kompleks dan lebih daripada satu. Namun kebanyakan kes membabitkan masalah atau gangguan mental.

Kecenderungan membunuh diri kurang pada kanak-kanak berumur di bawah 14 tahun kerana pada peringkat ini mereka belum faham atau tidak mampu melakukannya.

Kanak-kanak lebih besar biasanya lebih nekad untuk membunuh diri apabila berdepan masalah yang dianggap memalukan atau tidak dapat diatasi.

"Gangguan mental, termasuk tekanan dan kemurungan, sehingga timbul niat membunuh diri adalah sebahagian daripada kesan 'perbandaran' yang biasa timbul apabila sesebuah negara semakin maju. Masalah ini sudah lama berlaku di negara maju dan kini ia menular ke negara kita.

"Kemajuan membuat corak hidup kita berubah dan terdedah kepada faktor yang boleh menyebabkan masalah ini seperti tidak berkahwin (bagi lelaki), tinggal sendiri, tidak mendapat sokongan keluarga, penyalahgunaan dadah, kemurungan dan banyak lagi," katanya.

Kajian mendapati lelaki bujang, bercerai atau berpisah dengan pasangan mempunyai risiko dua setengah kali lebih tinggi untuk bunuh diri berbanding lelaki berkahwin. Namun bagi wanita, risikonya sama bagi yang berkahwin atau bujang.

Menurut pensyarah Jabatan Sosiologi Universiti California yang mengetuai kajian berkenaan, perbezaan itu ada kaitan dengan cara lelaki dan wanita membentuk hubungan sosial.

Wanita berkawan dengan individu yang boleh berkongsi perasaan. Wanita bersosial untuk mendapat lebih ramai kawan, membentuk persahabatan dan sebagainya.

Sebaliknya lelaki pula bersosial untuk kelihatan 'macho' dan biasanya tiada kawan rapat. Ini sebabnya apabila perceraian berlaku, wanita mendapat lebih sokongan sosial berbanding lelaki.

Walaupun kajian menunjukkan lebih ramai wanita cuba membunuh diri, jumlah kematian adalah empat kali lebih tinggi di kalangan lelaki berdasarkan lelaki biasanya menggunakan kaedah lebih nekad dan sukar diselamatkan seperti gantung diri, terjun dari bangunan atau minum racun.

Ini kerana wanita menggunakan kaedah yang boleh diselamatkan (biasanya hanya mencederakan diri sendiri). Mereka juga dikatakan lebih pandai meluah dan mengendalikan perasaan ketika tertekan.

Wanita muda didapati lebih cenderung mencederakan diri sendiri dalam cubaan bunuh diri. Cubaan itu disifatkan sebagai 'jeritan senyap' meminta tolong dan bukan mereka benar-benar mahu mati.


Tanda untuk membunuh diri

* Bercakap atau menulis mengenai kematian, bunuh diri atau mahu mencederakan diri sendiri

* Mencari jalan untuk membunuh diri

* Berasa diri tidak berguna

* Berang, kemarahan tidak terkawal atau cuba membalas dendam

* Terasa diri terperangkap dalam dunianya sendiri

* Mengambil dadah atau alkohol berlebihan

* Mengasingkan diri daripada keluarga, kawan dan masyarakat

* Berasa resah gelisah

* Tidak boleh tidur pada waktu malam atau sentiasa memerlukan ubat tidur

* Emosi tidak menentu, berubah dengan mendadak

* Berasa tiada tujuan hidup

"Ada keinginan untuk bunuh diri bermakna seseorang itu mengalami gangguan mental dan masalah emosi. Mereka tidak boleh berfungsi serta menjalankan tanggungjawab secara normal yang menyebabkan hubungan dengan pasangan dan anak turut terjejas.

"Keinginan bunuh diri juga boleh timbul akibat penyalahgunaan dadah dan alkohol kerana ia boleh merosakkan otak. Kesannya bergantung kepada jenis dadah, contohnya individu yang mengambil ecstasy atau syabu akan mula mengalami kemurungan, keinginan bunuh diri atau psikosis selepas satu atau dua tahun.

"Bukan semua cubaan bunuh diri itu berjaya. Bagaimanapun, kegagalan cubaan kali pertama biasanya disusuli dengan kejayaan pada kali kedua. Ini sebabnya setiap orang perlu peka terhadap kesihatan ahli keluarga mereka," katanya sempena Hari Mental Sedunia yang disambut pada 10 Oktober setiap tahun.


Adakah ia boleh dicegah?

Ya. Perkahwinan dan kepercayaan kepada Tuhan dikenal pasti dapat melindungi seseorang daripada keinginan membunuh diri. Bagi individu yang alami gangguan mental, pengambilan ubat secara teratur membolehkan mereka menjalani hidup sebaik orang normal.

Prof Hussain berkata, walaupun rawatan untuk gangguan mental dalam tempoh jangka panjang, ia tidak akan menyebabkan pesakit mengalami ketagihan ubat.

Malah bukan semua kes gangguan mental memerlukan ubat kerana ada yang boleh dirawat melalui kaedah kognitif dan kaunseling.

"Ini sebabnya jika anda berasa tertekan, segera cari jalan penyelesaian. Antara kaedah terbaik untuk melegakan tekanan ialah bersembahyang dan berdoa kepada Tuhan. Ini bukan bermakna ia sudah mencukupi kerana bagi kes gangguan mental serius, pesakit perlu mengambil ubat," katanya.

Paling penting ialah membawa pesakit mendapatkan rawatan secepat mungkin kerana apa yang berlaku kini, kebanyakan kes lewat dirujuk kepada doktor iaitu selepas pesakit hilang pekerjaan, bercerai dan ada keinginan membunuh diri.

Kini bantuan lebih mudah diperoleh kerana pakar psikiatri turut ditempatkan di hospital daerah dan lebih ramai pegawai perubatan dilatih bagi mengenal pasti dan mengendalikan kes gangguan kesihatan mental yang mudah. Hanya kes serius saja dirujuk kepada pakar psikiatri.

"Kita kena terima hakikat, apabila corak kehidupan berubah, penyakit juga akan berubah. Antara penyakit masyarakat yang baru ialah gangguan kesihatan mental.

"Jadi kita perlu mengambil tahu serba sedikit mengenai penyakit ini supaya jika berlaku dalam keluarga, ia mudah dikesan dan cepat mendapatkan bantuan.

"Masalahnya, masih ramai tidak faham mengenai penyakit mental, teragak-agak mahu mendapatkan bantuan kerana stigma negatif yang masih tebal. Segera dapatkan rawatan kerana kita ada ubat berkesan.

"Usah bimbang jika pesakit perlu mengambil ubat sepanjang hayat kerana ia mampu memberi kehidupan lebih baik kepada pesakit," katanya.


Bagaimana anda boleh membantu?

* Luangkan masa untuk mendengar masalah mereka walaupun anda mungkin tidak dapat menyelesaikannya. Biasanya mereka hanya mahu meluahkan perasaan untuk mengurangkan tekanan.

* Jangan cuba cadangkan jalan penyelesaian mudah atau cuba menghukum mereka. Individu dalam keadaan tertekan atau ada keinginan untuk bunuh diri tidak perlukan pendapat atau cadangan, mereka hanya mahu perhatian anda (mendengar masalah mereka).

* Galakkan atau bawa mereka berjumpa doktor atau orang yang boleh mengendalikan masalah seperti ini.

* Sentiasa perhatikan keadaan mereka dan segera dapatkan bantuan jika individu berkenaan mula berkelakuan aneh.
Post a Comment