Monday, October 26, 2009

Petua atasi sakit kronik

MERAWAT kesakitan kronik tidak semudah menelan parasetamol, terutama jenis bukan kanser. Tiada ubat ajaib boleh menyelesaikan kesakitan kronik dengan mudah.

Semua pesakit mahu cepat baik, malangnya kesakitan kronik mengambil masa lama untuk sembuh.

Ia juga mengambil masa lama untuk terbentuk, menyebabkan faktor biologi, psikologi dan sosial sama-sama bertindak balas dan berinteraksi dalam mekanisma sakit kronik.

Hasilnya ialah kesakitan melampau. Ia juga menjelaskan punca kesakitan dihadapi adalah kompleks.

Memandangkan kesengsaraan yang menyusul itu pelbagai, strategi rawatan perlu bersifat holistik atau komprehensif. Setiap aspek biologi, psikologi dan sosial perlu ditangani.

Anda mungkin tidak dapat mengubah kerosakan atau penyakit yang menjadi punca kesakitan tapi masih dapat mengawal rentetan komplikasi yang bakal berlaku.

Selain doktor, anda perlu aktif dalam program rawatan. Hanya anda yang boleh membantu diri sendiri.

Ramai enggan bersenam kerana takut ia menambah kesakitan sedia ada. Ini asas penting dalam menguruskan sakit kronik. Jadi anda perlu belajar mengenai penyakit dan cuba faham strategi setiap rawatan atau ubat.

Halangan untuk rawatan kesakitan kronik yang berkesan

Banyak sebab menghalang pesakit mendapat rawatan dan kebanyakannya berpunca daripada sikap negatif, kepercayaan karut dan pemikiran tidak sihat.

* Ketidakpatuhan pada arahan doktor

* Meragui rawatan doktor, lebih banyak memikirkan kesan sampingan daripada kesan baik rawatan atau ubat

* Takut keadaan makin teruk bila lakukan senaman atau suntikan

* Percaya atau syak menghidap penyakit lebih serius, mungkin doktor belum kenal pasti

* Percaya rawatan perubatan alternatif lebih baik
* Percaya mitos mengenai sakit, contohnya sakit adalah hukuman Tuhan kerana banyak dosa
* Terlalu banyak fikiran negatif dan merosakkan seperti putus asa dan tiada harapan sembuh

* Mengguna pakai pendapat daripada orang bukan ahli seperti bomoh

* Percaya sakitnya tidak boleh diubati dengan membuat asimilasi dengan kes tragik yang pernah dilihat

* Tidak faham masalah sakit dihadapi (gagal faham atau sikap tidak peduli)

* Kemurungan atau penyakit psikosomatik di mana kesakitan dirasai berpunca atau bercampur dengan faktor psikologi

* Kurang kecekapan doktor yang merawat

* Suka salah guna cuti sakit untuk ponteng kerja

* Kecenderungan mendapatkan pampasan dengan syarikat insurans

Petua

Petua ini menjadi asas penting dalam rangka rawatan kesakitan kronik. Ia diajar berkali-kali supaya sebati dalam fikiran dan dimanifestasikan dalam tindakan pesakit. Namun hakikatnya usaha ini bukan mudah.

1. Kesakitan kronik adalah tidak bahaya

Kesakitan akut ialah kesakitan yang baru berlaku dan biasanya kurang dari tiga bulan. Ia dirasai bila tubuh cedera. Ia memberi amaran bahaya kecederaan yang berlaku pada tubuh. Fungsinya menghalang luka dan bertindak bagi mengelak kerosakan tisu yang lebih teruk.

Sakit akut beransur hilang bila luka mula sembuh. Tidak semua sakit itu bawa isyarat bahaya. Kesakitan kronik contohnya boleh berterusan walaupun luka kecederaan sembuh. Maknanya tiada lagi kerosakan tisu perlu dilindungi.

Ia jenis kesakitan tanpa kecederaan (kecuali kesakitan kronik disebabkan kanser). Sebab itu kesakitan kronik ini pelik dan dikategorikan sebagai 'penyakit'.

Sekali lagi anda perlu faham ia hanya isyarat sakit tanpa kecederaan tubuh. Oleh itu jangan biar kesakitan kronik kawal anda.

Anda yang kawal fikiran dan perasaan anda. Fikiran kita secara automatik akan kawal pergerakan mengikut format kesakitan akut untuk memberi perlindungan.

Fikiran dan persepsi negatif separuh sedar ini seterusnya diterjemahkan dalam tingkah laku sakit seperti berehat, malas bersenam serta kebergantungan. Ini persepsi salah dalam perspektif kesakitan kronik (kecuali sakit akibat kanser); kerana ia tidak bawa isyarat bahaya.

Anda perlu mengubah kepercayaan bahawa kesakitan itu tidak lagi memudaratkan. Cabar pemikiran anda dengan paradigma baru 'sakit kronik tidak bahaya'. Anda akan dapat lebih kebebasan dalam melakukan aktiviti.

2. Serampang banyak mata

Anda akan perasan banyak masalah lain menyusul sebagai komplikasi kesakitan kronik anda. Bentuk fizikal dan fungsi harian anda merosot dari hari ke hari.

Tidur terganggu, tubuh letih, berat badan bertambah, semangat menurun, mula rasa tertekan dan putus asa. Kesakitan mengehadkan pergerakan dan hasilnya otot menjadi kecut dan lemah. Sendi kaku dan pergerakan menjadi lebih sukar.

Anda kini seolah-olah lumpuh dan keseorangan. Anda mungkin tidak dapat mengekalkan prestasi kerja dan diberhentikan kerja. Masalah bertambah besar dari hari ke hari. Masalah psiko sosial tadi adalah kesan langsung kesakitan pada peringkat awal. Oleh itu rawatan kesakitan kronik memerlukan strategi komprehensif dan menyeluruh.

Pengabaian satu komponen masalah akan menjejaskan penyembuhan komponen lain. Tiada ubat istimewa boleh menyelesaikan kesengsaraan anda yang kompleks. Ubat, terapi fizikal, senaman, tidur, kaedah psikologi, perubahan posisi kerja dan cara hidup semuanya memberi kesan dalam merawat kesakitan kronik.

3. Kesihatan adalah harta

Bila selalu menunjukkan isyarat sakit, anda mungkin mendapat simpati rakan sekerja dan ditempatkan pada sektor kerja ringan atau anda mungkin terkenal dalam memberi sijil sakit sebagai alasan untuk ponteng kerja.

Anda akan dilihat sebagai orang 'cacat' yang tidak berguna di kalangan pekerja. Dalam situasi lebih teruk, anda mungkin diberhentikan kerja. Tahap sosio-ekonomi dan kualiti kehidupan terjejas teruk kerana anda tidak dapat mencari duit.

Jika bekerja sendiri, kesannya lebih teruk dan drastik. Kesakitan kronik membawa anda kepada kemiskinan dan kepapaan. Oleh itu jangan berputus asa untuk mencari rawatan untuk sakit kronik.

Setiap penyakit ada ubatnya. Tak kisah berapa banyak anda belanjakan, ia memberi pulangan apabila kesakitan sembuh.

Harga satu set jarum rawatan RM4,000 adalah kecil berbanding kekayaan yang dapat dicari (RM40,000 hingga RM400,000 setahun) jika anda bebas daripada belenggu kesakitan.

Membelanjakan wang untuk kesihatan adalah saham untuk kekayaan. Ada beberapa modaliti rawatan sakit kronik yang kadangkala memerlukan sejumlah wang. Jika anda fikir mengawal kesakitan dan kembali bekerja itu penting, anda tidak akan memberi alasan kewangan kerana anda percaya kesihatan adalah harta.

4. Masa adalah ubat

Anda mungkin sudah lima tahun menghidap kesakitan kronik. Jadi jangan harap kesakitan akan sembuh dengan satu hari rawatan. Anda perlu adil pada doktor yang merawat dan diri sendiri. Anda harus faham kesakitan kronik membabitkan perubahan kompleks pada sistem saraf, lokomotif dan minda. Sistem lokomotif contohnya otot, tulang dan sendi merosot dan menjadi lemah, kaku dan kurang fleksibel.

Tubuh anda memerlukan masa lebih lama untuk memulihkan kerosakan. Jangan kecewa jika anda tidak merasa lega dengan ubat dimakan. Sesetengah ubat mengambil masa satu hingga dua minggu untuk menunjukkan kesan. Ada ubat yang perlu dinaikkan dosnya secara berperingkat. Sesetengah ubat pula dapat memberi kesan lebih baik jika disusuli dengan senaman.

Ada suntikan mengambil masa hampir sebulan untuk menunjukkan hasil. Secara umumnya rawatan kesakitan kronik multimodal ini memakan masa panjang. Anda kena sabar, terus mengambil ubat dan melakukan senaman seperti diarah.

Tiada istilah ubat ajaib atau jalan pintas dalam pengubatan sakit kronik. Belajar mengenai ubat dan berbincang dengan doktor anda. Akan tiba masanya kesakitan anda beransur pergi.

Berterus terang dengan doktor dan patuhi arahannya dengan yakin. Perasaan khuatir dan kurang yakin selalunya tidak membuahkan hasil yang baik dalam rawatan kesakitan kronik.

5. Berehat akan lebih memudaratkan

Kebanyakan orang lebih suka berbaring dan berehat bila sakit. Mereka takut pergerakan akan menyebabkan kerosakan lebih banyak tisu. Prinsip ini hanya benar dan boleh digunakan dalam rawatan kesakitan akut. Bagi sakit kronik, berehat lama menyebabkan anda lebih sakit dan sengsara.

Otot anda menjadi kecut dan lemah. Sendi menjadi kaku dan kurang anjal; tulang semakin rapuh dan mudah patah. Semua ini menyukarkan pergerakan. Akibatnya anda bakal `lumpuh' dan jika terus berehat, keadaan semakin buruk.

Otot akan lebih besar dan kuat, sendi menjadi lebih anjal jika selalu digunakan. Prinsip ini sama dengan senaman diamal atlit bina badan. Anda mesti sentiasa bergerak walaupun sakit kerana sakit kronik tidak memudaratkan.

Anda mesti memberhentikan kitaran kesakitan kronik yang membunuh kehidupan. Berehat lama hanya menyebabkan tubuh `berkarat'. Lebih banyak anda bergerak dan melakukan aktiviti, lebih kejayaan boleh dicapai.

Ini lebih bermakna daripada asyik memikirkan kesakitan tanpa buat apa-apa. Fikir mengenai atlit paralimpik. Jika hanya fokus kepada kecacatan dan kekurangan sebagai halangan, tentu mereka tidak akan memenangi pingat emas.


6. Penjagaan vs penyembuhan

Dalam pengurusan sakit kronik, sukar memulihkan sakit kronik sepenuhnya. Bagi kebanyakan kes, kami hanya mampu memberi kelegaan sakit pada tahap yang anda mampu bertahan.

Oleh itu, harapan anda harus realistik. Anda mungkin perlu hidup dengan saki baki kesakitan itu sepanjang hayat kerana kembali berfungsi jauh lebih penting daripada memikirkan penyembuhan rasa sakit.

Pengurusan kesakitan bermakna anda belajar mengawal dan menyesuaikan diri dengan rasa sakit dalam kehidupan anda. Ia boleh dicapai melalui latihan. Kesakitan kronik melampau boleh menyebabkan anda hilang upaya jika tidak berbuat apa-apa. Jangan biarkan ia berlaku. Jika OKU di luar sana mampu hidup berdikari, anda juga pasti boleh!

Oleh DR NIZAR ABDUL JALIL

No comments: