Monday, October 26, 2009

Gigi sensitif

TIAP kali menjamah makanan sejuk, panas, manis dan masam; giginya terasa sakit. Pelbagai cara sudah dicuba tetapi masalah sakit gigi setiap kali makan tetap tidak hilang. (betul arrr...)

Adakala kesakitannya hanya untuk beberapa saat tetapi sangat menyeksakan. Ini memaksanya memberus gigi sejurus selepas makan - kaedah yang dirasakan dapat mengurangkan masalahnya.
Senario di atas adalah perkara biasa bagi individu yang mengalami masalah gigi sensitif.




Secara global, satu daripada tiga orang mengalami masalah gigi sensitif. Tinjauan ke atas 11,000 orang dewasa pada 2002 mendapati lebih ramai wanita mengalami masalah gigi sensitif. (termasuk la saya ni...)


Berdasarkan tinjauan Penjagaan Kesihatan Mulut Kebangsaan Bagi Orang Dewasa Malaysia pada 2000, didapati 36 peratus penduduk negara ini ada masalah gigi sensitif dan kajian menunjukkan ia semakin meningkat di kalangan golongan muda.

Ini menandakan gigi sensitif adalah masalah biasa dalam masyarakat kita tidak kira golongan tua atau muda. Gejala gigi sensitif boleh berlaku pada semua peringkat umur, tetapi kebanyakan kes dialami golongan dalam lingkungan usia 20 hingga 40 tahun.

Menurut Presiden Persatuan Pergigian Malaysia, Dr Lee Soon Boon, hal terbabit sangat membimbangkan kerana tabiat pengambilan banyak makanan dan minuman ringan.

Masalah ini juga boleh disebabkan peningkatan penggunaan bahan pemutih gigi (untuk tujuan kosmetik) dan kekerapan menjalani rawatan pembersihan gigi.

Malah bagi wanita, perubahan kitaran hormon, terutama ketika hamil, juga boleh menyebabkan mereka lebih mudah mengalami penyakit gusi dan gigi sensitif.

Bagaimana masalah gigi sensitif berlaku? Gigi kita mempunyai dua lapisan iaitu enamel (lapisan luar yang keras) dan dentin (lapisan dalam bersifat poros dan lembut). Gigi sensitif berlaku apabila lapisan dentin terdedah.

Enamel adalah tisu paling kuat dalam badan dan hanya berkembang ketika gigi terbentuk iaitu ketika usia beberapa hari hingga 12 tahun.

Malangnya, ia hanya terbentuk sekali seumur hidup dan tidak boleh diperbaharui atau digantikan jika rosak.

Walaupun lapisan enamel ini kuat, ia boleh terlarut akibat hakisan asid (daripada makanan atau asid pencernaan yang tertolak naik ke mulut apabila muntah) yang menyebabkan enamel ini menjadi semakin nipis dan akhirnya mendedahkan lapisan dentin di bawahnya.

Lapisan dentin juga boleh terdedah jika memberus gigi dengan kasar dan kuat atau jika gusi menyusut. Makanan atau minuman sejuk yang terkena lapisan dentin akan memberi rangsangan kepada akar gigi dan ini yang menyebabkan kesakitan.

"Kesakitan akibat gigi sensitif hanya beberapa saat iaitu ketika gigi didedahkan dengan punca rangsangan seperti makanan sejuk, panas, manis dan masam. Apabila punca rangsangan ini dialihkan, kesakitan akan hilang.

"Kita boleh menentukan mengetahui sama ada kesakitan itu disebabkan gigi sensitif atau kerosakan gigi berdasarkan rasa sakit dialami.

"Kesakitan gigi sensitif hanya sekejap iaitu apabila gigi terdedah kepada punca rangsangan, sedangkan kesakitan akibat kerosakan gigi (gigi reput atau berlubang) pula lebih lama dan berlaku pada bila-bila masa," katanya.

Antara faktor penyebab gigi sensitif:

* Dentin yang terdedah (enamel terlarut akibat hakisan asid atau memberus gigi terlalu kuat). Makanan dan minuman yang mempunyai pH kurang daripada 5 (sedikit berasid) boleh menyebabkan enamel terlarut

* Akar gigi terdedah disebabkan gusi menyusut atau penyakit periodontium

* Lapisan enamel menjadi nipis kerana tabiat mengetap gigi

* Muntah yang kerap dan berterusan (asid pencernaan boleh menyebabkan hakisan enamel gigi)

Menurut Pakar Pergigian, Dr How Kim Chuan, walaupun memberus gigi kaedah terbaik untuk menjaga kesihatan mulut, ia tidak seharusnya dilakukan secara berlebihan atau terlalu kerap kerana boleh membuang tisu yang mengelilingi gusi dan mendedahkan akar gigi.

Bagaimanapun, jika kurang memberus gigi, bakteria akan membiak di celah gigi (terutama yang ada sisa makanan) dan boleh menyebabkan kerosakan gigi dan penghakisan gusi. Beliau menasihatkan memberus gigi (dan flos) sekurang-kurangnya dua kali sehari atau setiap kali selepas makan.

"Masalah gigi sensitif juga selalu berlaku pada wanita hamil. Perubahan hormon menyebabkan aliran darah dalam badan meningkat dan menjadikan gusi lebih lembut. Ini menyebabkan mulut mudah bengkak dan sakit.

"Selain itu kekerapan muntah pada awal kehamilan boleh menyebabkan asid pencernaan di dalam perut tertolak ke mulut. Asid ini boleh melarutkan lapisan enamel dan menyebabkan gigi sensitif,"
katanya.

Tiada ubat untuk masalah gigi sensitif. Rawatan yang ada hanya menggunakan ubat gigi, gel atau cecair kumur yang dirumus khas bagi masalah gigi sensitif.

Kajian klinikal menunjukkan ubat gigi mengandungi garam potassium (potassium klorida atau potassium nitrat) dan garam strontium (strontium klorida atau strontium asetat) berkesan untuk mencegah dan melindungi daripada kesakitan gigi yang sensitif.

Untuk langkah pencegahan, gunakan ubat gigi mengandungi fluorida bagi mengeraskan lapisan enamel tetapi tidak dapat menggantikan enamel pada bahagian gigi dengan lapisan dentin yang terdedah.

Individu yang alami kesakitan akibat kerosakan gigi dinasihatkan segera berjumpa doktor gigi untuk mendapatkan rawatan.

Bagi kes begini, menggunakan ubat gigi untuk gigi sensitif tidak mencukupi kerana punca kesakitan perlu dirawat terlebih dulu.

"Segera dapatkan rawatan jika ada tanda gigi rosak. Jangan tunggu hingga sakit gigi kerana ia bermakna kerosakan itu sampai ke lapisan dentin.

"Ramai orang menganggap pemeriksaan gigi tidak penting dan hanya berjumpa doktor apabila sakit gigi,"
katanya.


Langkah mencegah masalah gigi sensitif:

* Kurangkan pengambilan makanan dan minuman ringan serta berasid (aik, tak penah saya amik)

* Minum menggunakan straw yang dihala ke belakang mulut bagi mengurangkan minuman daripada terkena gigi

* Jangan kemam jeruk, buah-buahan masam atau gula-gula. Lebih baik elak mengambil makanan dalam kumpulan ini

* Bersihkan gigi (berus gigi) atau sekurang-kurangnya berkumur dengan air setiap kali selepas makan untuk mencairkan gula atau asid dalam mulut

* Sesetengah cecair kumur mempunyai pH rendah. Ia juga boleh menipiskan lapisan enamel. Justeru, pilih cecair kumur yang dikhususkan untuk gigi sensitif

* Gunakan berus gigi yang lembut (yup, setuju!)

* Belajar memberus gigi dengan cara betul bagi mengelak kerosakan gigi dan gusi

* Jangan mencungkil sisa makanan yang terlekat di celah gigi selepas makan. Ia membuatkan masalah anda bertambah buruk. Cara terbaik untuk mengeluarkan sisa makanan dalam mulut ialah dengan memberus gigi

* Individu yang mengetap gigi ketika tidur disaran memakai pelindung gigi (sarung gigi)

Panduan rawatan dan penjagaan gigi sensitif:

* Dapatkan rawatan pergigian jika ada gigi rosak atau berlubang

* Berus gigi secara perlahan-lahan sekurang-kurangnya lima minit. Memberus gigi dengan kasar boleh menyebabkan kerosakan lapisan enamel gigi

* Berus gigi dua kali sehari menggunakan berus gigi yang lembut

* Gunakan ubat gigi yang direka khas untuk gigi sensitif (mengandungi garam kalium dan strontium untuk mengelakkan masalah gigi berulang)

* Flos setiap kali selepas memberus gigi. Untuk gigi sensitif, guna flos nipis atau berlilin, terutama bagi wanita hamil

* Bagi wanita hamil, jika gusi anda bengkak atau sakit, tekap bahagian berkenaan dengan ais. Ia dapat mengurangkan kesakitan

* Elak makanan manis. Jika tidak dapat, pastikan anda memberus gigi setiap kali selepas menikmati makanan kegemaran anda

* Bagi individu yang ada masalah ini, kurangkan atau elak minuman berkarbonat, wain, jus buah dan semua minuman ringan. Sebaliknya lebihkan minum air suam atau susu

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

No comments: