Sunday, October 4, 2009

Miliki rumah impian



DARI hari ke hari harga rumah semakin meningkat terutama unit hartanah di kawasan Lembah Klang berikutan peningkatan kos bahan binaan, pembinaan dan upah pekerja.

Dalam keadaan sekarang ini, pernahkah terlintas di fikiran kita masih adakah unit rumah yang masih kekal pada harga yang sama dibeli 20 tahun lalu. Persoalan yang sama juga akan timbul 20 tahun akan datang, masih adakah unit rumah yang dijual pada harga yang ditawarkan ketika ini.

Ini menunjukkan biarpun apa keadaannya, janganlah menunggu masa bertahun-tahun akan datang sebelum mengambil keputusan memiliki rumah sendiri. Ini kerana dari bulan ke bulan, tahun ke tahun perbezaan harga rumah menjadi semakin ketara.

Harga rumah akan terus meningkat, apatah lagi jika anda memiliki hartanah di kawasan yang pesat membangun, amat menguntungkan kerana pada masa depan nilainya pasti melambung tinggi.

Fikirkan nilainya selepas beberapa tahun kelak dan bagaimana anda mendapat keuntungan apabila anda memilikinya.

Bagi yang berhasrat memiliki kediaman sendiri atau sedang mencari hartanah untuk pelaburan masa depan, jangan gusar kerana banyak iklan hartanah untuk dijual di dalam 1Klassifieds. Anda juga boleh melayari internet untuk mencari iklan yang disiarkan oleh ejen hartanah.

TIP-TIP MEMBELI RUMAH IMPIAN ANDA

1. Cuba selak dan perhatikan iklan rumah untuk dijual di I-Klassified Berita Harian, NST dan Metro, di akhbar lain serta jangan lupa mencari maklumat mengenai kawasan perumahan yang dipilih menerusi Internet.

2. Perhatikan harga yang ditawarkan, lokasi dan kelebihan sama ada dari aspek komersial dan prasarana yang menghubungkan lokasi dengan tempat kerja dan jalinan lebuh raya paling hampir. Tinjau juga dari apakah laluan yang bakal anda gunakan untuk ke tempat kerja memuaskan ataupun sering berdepan dengan masalah kesesakan lalu lintas yang teruk.

3. Buat perbandingan harga dan keluasan kediaman yang ditawarkan. Kemudian bawalah ahli keluarga anda membuat tinjauan ke kawasan dan unit kediaman yang anda rasakan sesuai untuk dibeli itu.

4. Jangan lupa dapatkan maklumat daripada masyarakat setempat mengenai aspek keselamatan dan kejiranannya, selain keperluan setempat yang penting seperti pusat penjagaan harian dan tadika untuk anak yang masih kecil serta sekolah yang berdekatan.

5. Selepas segala-galanya dirasakan sesuai dan menepati cita rasa anda sekeluarga, hubungi ejen hartanah dan tawar menawarlah dengannya, mungkin pemilik boleh memberi sedikit diskaun seperti yang diminta dengan persetujuan ejen.

6. Sekiranya anda berminat membeli rumah yang bakal dibina, pastikan anda memilik pemaju yang berwibawa dan tidak ada sejarah pembinaan terbengkalai atau projek perumahan yang tidak memuaskan.

PROSEDUR RINGKAS JUAL BELI HARTANAH

1. Langkah pertama bayar tempahan, biasanya 2-3% daripada harga rumah. Peguam akan menyediakan dokumen perjanjian jual beli. Resit dan surat tawaran akan diberikan.

2. Dalam masa 14 hari atau lebih, penjual dan pembeli akan dipanggil untuk menandatangani surat perjanjian jual beli. sekiranya gagal disebabkan pembeli, wang tempahan akan dikira hangus manakala jika penjual menarik diri, pembeli boleh memaksa penjual meneruskan jualan atau memulangkan wang tempahan (rujuk surat tawaran).


3. Pembeli perlu membayar baki deposit semasa perjanjian jual beli ditandatangani (biasanya 10%) kepada penjual.


4. Dalam kes yang membabitkan urusan pejabat tanah atau kerajaan negeri, contohnya yang memerlukan kelulusan atau pelepasan seperti Rizab Melayu, akan diuruskan oleh peguam. Selepas kelulusan diperoleh, barulah urusan menyelesaikan pembayaran diambil kira. Jika hartanah itu tidak memerlukan kelulusan atau pelepasan, tempoh pembayaran dikira dari tarikh perjanjian jual beli.


5. Pembeli mesti menjelaskan baki harga rumah (biasanya 90%) dalam tempoh 90 hari. sekiranya gagal, pembeli diberi masa 30 hari tambahan dengan faedah dikenakan kepada pembeli yang dikira secara harian. Jika gagal disebabkan bank tidak meluluskan pinjaman maka deposit 10% dikira hangus.


6. Selepas bayaran penuh dibuat, pembeli boleh mengambil alih hartanah.

No comments: