Thursday, October 29, 2009

Automatik lebih praktikal

TRANSMISI automatik kini menjadi pilihan pemandu kerana ia lebih mudah berbanding manual terutamanya ketika merempuh kesesakan jalan raya.


Oleh itu, ramai pemilik kereta di bandar kini menukar kenderaan daripada transmisi manual kepada automatik.


Dari segi penjagaan, kedua-dua jenis kenderaan ini hampir sama saja, terutama bahagian yang cukup penting, iaitu enjin.


Perbezaan yang ketara di antara kenderaan automatik dengan manual cuma sistem penukaran gearnya dan cara menggunakannya saja.


Jika kenderaan manual anda terpaksa menukar atau memasukkan gear menggunakan tangan serentak kaki memijak pedal klac, kenderaan automatik pula sebaliknya. Anda hanya perlu memijak pedal minyak untuk menggerakkan kenderaan.


Berikut beberapa panduan yang boleh dimanfaatkan pemilik kenderaan yang menggunakan transmisi automatik berbanding manual.


Sebaik-baiknya, sebelum memandu kenderaan automatik mahirkan diri anda dengan panel gear.


Biasanya, pada sesuatu kenderaan automatik, anda hanya perlu menggerakkan panel gear pada kedudukan "P" untuk parking, "D" (kenderaan bergerak ke hadapan), "N" (normal) dan "R" (mengundur).


Satu lagi masalah bagi mereka yang baru bertukar daripada kenderaan manual kepada kenderaan automatik ialah menyesuaikan kedudukan kakinya.


Biasanya, apabila seseorang itu baru memandu kenderaan automatik, kaki kirinya sering kaki mahu memijak pedal klac.


Oleh kerana kaki kiri tidak digunakan langsung apabila anda membawa kenderaan automatik, biasakan supaya jangan mengangkat kaki atau mengalih kaki kiri ketika memandu.


Ketika menekan brek pula, jangan sekali-kali menggunakan kaki kiri. Kawalan di antara minyak dan brek seharusnya dilakukan oleh kaki kanan saja.


Satu lagi penjagaan penting kereta automatik ialah kekerapan memeriksa paras minyak gear, minyak stering berkuasa dan brek.


Penukaran minyak gear termasuk penapis seelok-eloknya dilakukan selepas 20,000 hingga 30,000 kilometer perjalanan.


Menukar minyak gear ini penting bagi melicinkan sistem penukaran gear yang amat bergantung kepada putaran minyak yang melalui penapis khasnya.


Pemeriksaan minyak stering berkuasa pula sewajarnya dilakukan setiap satu bulan. Minyak gear juga boleh digunakan untuk menambah minyak stering berkuasa.


Jika pemilik kereta gear manual dinasihati menyelenggara cekera brek setiap 20,000 km, pengguna kereta automatik pula seharusnya berbuat demikian lebih awal, iaitu setiap 15,000 km.


Ini kerana pad brek pada cakera cepat haus kerana setiap pemandu automatik bergantung kepada sistem cengkaman brek yang baik.


Anda perlu ingat bahawa kenderaan bergear automatik tidak mempunyai kotak gear manual untuk membantu memperlahan atau memberhentikan kenderaan jika brek tidak berfungsi.

No comments: