Thursday, October 29, 2009

Penginapan Kampung Air


KAMPUNG Bebuloh dan Kampung Patau-Patau di Labuan sudah dikenali dengan keunikan perkampungan atas air, menjadikannya sebagai tarikan pelancongan utama mereka yang berkunjung ke Sabah.

Lokasinya menjadikan kehidupan penghuninya amat akrab dengan laut. Rata-rata kaum lelaki menyara hidup dengan bergantung hidup kepada pekerjaan tradisional seperti nelayan, manakala wanita membantu memproses hasil tangkapan laut.

Anak kecil pula menjadikan laut sebagai taman permainan bagi menghabiskan waktu bermain bersama rakan.

Menjelang petang, ada yang bersiar-siar di pelantar papan yang menghubungkan antara satu sama lain.

Tidak perlu menaiki kapal terbang untuk melihat kehidupan masyarakat ini, kampung air kini boleh dilawati jika singgah ke Bukit Merah Laketown Resort.

Bezanya, kampung air di sini adalah penginapan eksklusif lengkap dengan kemudahan terkini untuk keselesaan tetamunya.

Hanya lima unit ditawarkan apabila ia dilancarkan pada Februari 2001. Bagaimanapun, ia kemudian ditambah kepada 27 unit pada pertengahan 2006 berdasarkan peningkatan permintaan daripada pelancong yang mahu mengisi percutian dalam suasana mendamaikan.

Tarikan utamanya terletak pada keindahan seni bina tradisional Melayu dengan pilihan Studio Suites, Executive Suites, Family Suites dan Sri Andalan Royal Suite. Setiap satu daripada suite ini didatangkan dengan kemudahan termasuk saluran televisyen satelit, bar mini dan peti simpanan keselamatan.

Ukiran kayu hasil kerja tangan pengukir tradisional menjadi sebahagian daripada hiasan utama setiap suite yang menerbitkan suasana kampung Melayu.

Tetamu juga boleh meluangkan masa dengan mencuba memancing sebarau, kaloi atau toman dari balkoni mereka, bagi mengisi waktu lapang.

Percutian di Kampung Air kini menjadi penginapan popular untuk mereka yang mahu berkunjung ke pusat peranginan di utara tanah air ini terutama sepanjang musim cuti persekolahan. Rata-ratanya tertarik dengan landskap semula jadi yang melatari perkampungan berdepan pemandangan indah tasik ini.

CARA KE SANA

Pusat peranginan itu terletak berhampiran persimpangan susur bertingkat Bukit Merah di Lebuhraya Utara-Selatan dan hanya 35 minit dari Jambatan Pulau Pinang dari utara.

Perjalanan dari Kuala Lumpur melalui lebuh raya ini mengambil masa tiga jam. Hingga kini, pusat peranginan itu menerima kunjungan lebih lima juta pelancong domestik dan luar negara.

* Selain Kampung Air, pusat peranginan ini menyediakan pelbagai tarikan termasuk Culture Zone, Pulau Orang Utan, Taman Tema Air dan Taman Eko. Culture Zone umpamanya sesuai untuk golongan muda yang gemarkan sukan lasak.

>Info

Bukit Merah Lake Town Resort
Jalan Bukit Merah
34400 Semanggol
Perak.
Tel: 05-8908888 Faks: 05-8908000
Emel: sales@bmlaketown.com.my www.bukitmerahresort.com.my

No comments: