Wednesday, October 28, 2009

Panduan memilih mainan terbaik untuk anak


Kesesuaian umur
Mainan yang diberikan mestilah menyeronokkan dan tidak membosankan. Untuk itu anda perlu memilih permainan yang sesuai dengan usia anak dan dapat membantu merangsang perkembangan minda dan fizikal mengikut pada tahap sewajarnya.

Keselamatan
Pastikan anda memberi permainan yang selamat dan menyeronokkan untuk anak anda serta bukannya senjata yang boleh mendatangkan bahaya. Oleh itu, ketika membeli permainan, anda hendaklah memeriksa kerosakan reka bentuk mainan itu dan sentiasa perlu memeriksanya dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada kerosakan pada permainan itu. Periksa permainan itu sama ada boleh tercabut dengan mudah atau sebaliknya. Adakah bahan digunakan itu mudah terbakar dan pastikan permainan itu menepati piawaian keselamatan kanak-kanak dan tidak diperbuat daripada bahan material yang memberi kesan kepada kesihatan.

Kesediaan untuk menerima
Reaksi anak anda paling utama dalam menilai sama ada anda sudah memilih mainan yang terbaik atau tidak. Oleh itu, jangan paksa anak, sebaliknya berikan kebebasan kepadanya memilih mainan yang disukainya. Membiarkan anak memilih permainannya sendiri juga memberikannya pengalaman yang menarik terhadap rasa ingin tahu.

Pengawasan
Sesekali mungkin boleh membiarkan anak bersendirian dan leka bermain dengan permainan diberikan, manakala anda pula bolehlah menguruskan kerja sendiri. Tetapi sebaik-baiknya, anda perlu rajin melayani anak ketika dia bermain supaya dapat mengetahui tahap perkembangannya dan membantu meningkatkan kemampuan fizikal, emosi, dan kognitif anak.

Apa yang anda harus tahu
Anda tidak perlu membeli permainan pendidikan terbaru di pasaran kerana mana-mana permainan yang disukainya itulah yang memberi pendidikan kepadanya.

Selain menyenangkan, tentu saja mainan yang anda pilih juga harus memiliki unsur pendidikan.

Jantina biasanya digunakan sebagai faktor untuk memilih mainan. Tetapi sebenarnya itu tidak mutlak. Jangan selalu menganggap bahawa anda tahu apa yang diinginkan anak. Terdapat kanak-kanak perempuan yang suka bermain dengan boneka, tetapi ada juga memilih bermain dengan robot atau kereta seperti kanak-kanak lelaki.

Komunikasi dengan anak anda mengenai mainan barunya. Kalau perlu, beritahu juga nilai harga mainan itu supaya anak boleh menghargainya dan akan menggalakkannya menjaga dengan baik.

Barangan terpakai yang dikitar semula atau barang-barang kegunaan di rumah boleh juga dijadikan permainan menyeronokkan dan selamat. Jika anda tiada kemampuan membeli mainan anda, fikirlah cara kreatif untuk menghasilkan sendiri mainan untuk anda menggunakan bahan-bahan seperti itu.

No comments: