BAGAIKAN menunggu tetamu yang istimewa, Ramadan dinanti-nantikan oleh seluruh mukmin di pelusuk dunia. Dalam sejarah Islam sendiri, Rasulullah SAW dalam sebuah riwayat dinyatakan bahawa enam bulan sebelum tibanya Ramadan, Rasulullah mempersiapkan diri untuk menyambutnya. Bahkan ketika Syaaban, Rasulullah mengajar sahabat doa: "Ya Allah berkatilah kami pada Syaaban dan sampaikan kami Ramadan."
Imam al-Ghazali membahagikan puasa kepada tiga tahap:
* Tahap terbaik (khusus al-khusus) - Seseorang Islam yang berjaya mengawal puasanya bukan setakat makan dan minum tetapi mencakupi keseluruhan perbuatan atau tindakan lain yang boleh membatal atau mengurangkan pahala puasanya.
* Khusus - Seseorang yang berjaya dan berusaha untuk menahan diri dari melakukan segala perbuatan yang boleh membatalkan puasanya, tetapi dia masih lagi tidak dapat mencegah diri dari maksiat batin.
* Umum - Seseorang yang berpuasa dan berusaha untuk menahan diri daripada melakukan apa juga perbuatan yang boleh membatalkan puasanya tetapi masih lagi tidak dapat menghindarkan diri daripada melakukan maksiat zahir dan batin.
Antara punca yang menyebabkan ramai di kalangan umat Islam hari ini masih berada pada tahap kedua dan ketiga disebabkan nilai dan mutu kehidupan seseorang itu sendiri yang masih berada di takuk lama walaupun menyedari sedang berpuasa. Perbuatan seperti terlalu banyak bercampur dengan rakan yang melebihkan tumpuan dalam hal keduniaan, hanyut dalam kealpaan dan angan-angan, bergantung harap tidak kepada Allah dengan sepenuhnya dan makan serta tidur yang berlebihan.
Rasulullah SAW dalam hadisnya bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan perhitungan Allah akan mengampuni dosanya yang lalu" (riwayat Muslim).
Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila kamu berpuasa, maka hendaklah pendengaranmu, penglihatan-mu dan lidahmu turut berpuasa dari segala yang haram. Jauhilah dari suka menyakiti jiranmu, hendaklah kamu bertenang dan beramal dan jangan biarkan hari tidak berpuasa dan hari berpuasa adalah sama." (riwayat Bukhari).
Bagi memastikan segala pesanan Rasulullah SAW ini dilaksanakan, kita perlu memulakan penghidupan yang lebih bermutu dan bernilai sepanjang berada dalam bulan berkat ini. Antaranya ialah:
* Menjaga ibadat puasa daripada terbatal dan kurang pahalanya kerana kelalaian dalam menjaga anggota badan.
* Memperbanyakkan membaca al-Quran dan merenungi pengajaran di sebalik pengertian ayat yang dibaca.
* Mengurangkan tidur pada siang hari dalam bulan Ramadan.
* Beriktikaf dalam masjid terutama pada sepuluh malam terakhir Ramadan.
* Memperbanyakkan bersedekah terutama kepada fakir miskin kerana bersedekah akan menyucikan jiwa manusia dari sifat takbur dan kembali menyemai sensitiviti sesama umat Islam.
* Usah terlalu boros dengan melakukan pembaziran dalam penyediaan makanan.
Oleh Wan Marzuki Wan Ramli
No comments:
Post a Comment