BULAN Ramadan sangat istimewa dalam takwim Islam. Keberkatan dan rahmat Allah memenuhi bulan ini. Pada masa inilah umat Islam diwajibkan berpuasa selama sebulan.
Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa."
Demikian perintah Allah kepada kita agar melaksanakan ibadah berpuasa yang terangkum dalam Rukun Islam.
Inilah yang dikatakan bahawa Ramadan itu adalah penghulu segala bulan sehinggakan ia sentiasa ditunggu-tunggu kehadirannya oleh kita semua.
Kehadiran Ramadan membawa sinar keimanan yang mantap dan mengukuhkan ketakwaan. Jadikanlah Ramadan tetamu yang dirindui dalam kehidupan di dunia ini.
Ibadah berpuasa dalam bulan Ramadan ini dapat diterjemahkan sebagai satu ibadah jasmani dan rohani. Ini kerana puasa bukan setakat menahan lapar dan dahaga tetapi dari sudut rohani menahan nafsu dan menjaga peribadi diri selaras dengan tuntutan agama.
Dengan melaksanakan Rukun Islam ini kita dijanjikan Allah dengan pengampunan dosa yang lalu. Hal itu jelas dalam sabda Rasulullah bermaksud:
"Sesiapa berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharapkan pahala daripada Allah, nescaya diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (Hadis riwayat Muttafaq 'alaih).
Begitulah tawaran istimewa yang dijanjikan Allah kepada hamba-Nya yang berpuasa di bulan Ramadan.
Di dalam satu hadis Qudsi yang bermaksud:
"Semua amal anak-anak Adam untuk dirinya kecuali puasa . Puasa adalah untuk-Ku dan Aku yang memberi ganjaran atasnya."
Jadi, sempena Ramadan tahun ini marilah kita berusaha dengan bersungguh-sungguh menunaikannya sebagaimana dituntut agama.
Hal itu semestinya meliputi segenap aspek kehidupan. Pada Ramadan inilah kita wajib bermuhasabah diri meneropong segala kelemahan diri dan dosa-dosa yang dilakukan pada bulan-bulan terdahulu, seterusnya menggilap semangat dan kekuatan hati untuk memantap iman.
Ibadah puasa khususnya pada Ramadan jika ditinjau daripada perspektif ilmu kesihatan dan perubatan juga mengandungi hikmah yang tersendiri. Malah, pakar-pakar perubatan bukan Islam turut mengakui puasa adalah satu kaedah perubatan yang mujarab kepada sistem tubuh manusia.
Antaranya Dr Mac Fadon dari Amerika Syarikat (AS) yang menyatakan, puasa seperti tongkat ajaib yang dapat menyembuhkan penyakit yang membabitkan perut.
Boleh dikatakan semua ahli perubatan di dunia ini menyatakan berpuasa menyihatkan tubuh badan manusia, malah kesihatan mental dan kekuatan rohani akan turut berganda dengan berpuasa.
Di India terdapat satu institut rawatan kesihatan yang melakukan promosi besar-besaran agar rakyat di negara itu mengamalkan puasa sebagai satu langkah pencegahan penyakit dan mengekalkan tahap kesihatan.
Kajian sains perubatan mendapati berpuasa memainkan dua fungsi sekali gus iaitu sebagai kaedah perawatan ke atas penyakit dan sebagai langkah pencegahan. Hebat sungguh puasa ini dan kita sebagai umat Islam seharusnya menggunakan ruang dan peluang seluas-luasnya pada Ramadan untuk melaksanakan dengan penuh takwa kepada Allah.
Satu kajian yang telah dilakukan oleh seorang pakar perubatan dari AS, Dr Alan Cott menyatakan puasa mempengaruhi darjah kecerdasan seseorang.
Beliau juga melakukan satu uji kaji ke atas sekumpulan orang yang berpuasa dan satu kumpulan yang tidak berpuasa.
Hasilnya menakjubkan kerana mereka yang rajin berpuasa itu memperoleh markah jauh lebih tinggi berbanding yang tidak berpuasa.
Inilah bukti konkrit daripada segi sains moden bahawa puasa itu mengandungi seribu satu keajaiban.
Ingatlah kita mengenai pesanan Lukman al-Hakim kepada anaknya yang katanya:
"Wahai anakku, apabila perut dipenuhi makanan, maka gelaplah fikiran, bisulah lidah daripada menuturkan hikmah (kebijaksanaan) dan malaslah segala anggota badan untuk beribadat. Makan yang kenyang itu menegangkan urat perut dan mengendurkan urat mata."
Maksud Lukman al-Hakim di sini ialah jika kita sentiasa kenyang, kesannya kita mudah mengantuk dan malas.
Jadi, ibadah puasa bertepatan dengan amalan baik dari segi kesihatan manusia.
Sabda Rasulullah bermaksud: "Berpuasalah kamu agar kamu menjadi sihat." (Hadis riwayat Ibnu Sunni dan Abu Nu'aim daripada Abu Hurairah) .
Apa yang penting sewaktu berpuasa ini kita hendaklah menjaga etika puasa itu. Jangan hanya setakat menahan lapar dan dahaga saja.
Rasulullah bersabda; "Sesiapa berpuasa pada Ramadan dan mengetahui batas-batasnya (ketentuannya) serta memelihara perkara-perkara yang perlu dijaga, maka dihapus dosanya yang telah lalu." (Hadis riwayat Al-Baihaqi).
Apa perkara yang perlu dijaga semasa berpuasa? Seluruh anggota badan kita seharusnya turut berpuasa. Demikian juga dengan hati kita. Contohnya menjaga lidah agar jangan sewenang-wenangnya menuturkan kata-kata keji atau mengumpat sedangkan pada waktu itu kita sedang berpuasa.
Jadi, apa maknanya kita berpuasa tetapi lidah kita laju mengeluarkan kata-kata keji atau mengumpat. Jawabnya, sia-sia ibadah puasa kita itu. Yang kita dapat hanyalah lapar dan dahaga tetapi kosong pahalanya.
Ingatlah amaran Rasulullah melalui sabdanya yang bermaksud: "Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain daripada lapar dan dahaga yang didapatinya." (Hadis riwayat Bukhari).
Oleh demikian berhati-hatilah kita semua dengan etika berpuasa itu agar kita tidak tercicir ganjaran besar pahala sebagaimana yang dijanjikan Allah.
Allah mengarahkan kita supaya sentiasa bertutur kata yang baik dan sopan apatah lagi semasa kita sedang berpuasa Ramadan.
Firman Allah dalam surah Al-Isra' ayat 53 yang bermaksud: "Katakanlah kepada hamba-hamba-Ku, hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sungguh syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka."
Sebaliknya dalam bulan Ramadan ini basahilah lidah dengan zikir dan bacaan al-Quran.
Pada Ramadan yang penuh berkat ini, latihlah diri dan pimpinlah hati kita dengan jalur kehidupan yang dituntut oleh agama.
Jika kita berpuasa dengan kaedah sebagaimana diperintahkan Allah, puasa itu adalah ibarat perisai daripada godaan syaitan, malah ibadah kita akan menjadi gerbang menuju ketakwaan.
Oleh itu, jadikanlah Ramadan ini sebagai bulan memantapkan iman untuk meraih kecemerlangan dunia dan kebahagiaan di akhirat. Marhabban Ya Ramadan.
Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar
* Penulis ialah seorang guru.
No comments:
Post a Comment