Tuesday, April 14, 2009

Punca leukemia

LEUKEMIA ialah kanser yang bermula pada tisu penghasil darah seperti sumsum tulang. Ia juga dipanggil kanser sel darah putih. Leukemia menyebabkan sel darah dihasilkan dengan banyak untuk memasuki saluran darah.

Sel darah dihasilkan sel di dalam sumsum tulang dipanggil sel stem. Sumsum tulang ialah bahan lembut di dalam kebanyakan tulang. Apabila matang, sel stem menjadi sel darah berbeza dan setiap satu ada fungsi tersendiri iaitu:

* Sel darah putih - Untuk melawan jangkitan dan penyakit. Sel darah putih juga dipanggil leukosit. Badan kita ada beberapa sel darah putih seperti granulosit, monosit dan limfosit. Ia menjadi sel utama kepada sistem pertahanan badan (sistem imun). Kebanyakan sel darah putih dihasilkan di sumsum tulang; ditemui dalam darah dan tisu limfa.

* Sel darah merah - Berfungsi membawa oksigen ke tisu dan seluruh badan.

* Platelet - Membantu pembekuan darah bagi mengawal pendarahan.

Sel darah akan matang dalam sumsum tulang dan kemudian baru berpindah ke salur darah. Bagi individu yang ada leukemia, sumsum tulang menghasilkan sel darah putih tidak normal yang kemudian menjadi sel leukemia. Tidak seperti sel darah normal, sel leukemia tidak mati selepas tempoh sepatutnya. Jangka hayat sel darah normal ialah kira-kira 120 hari.

Oleh kerana ia tidak mati atau musnah, ia berebut tempat dengan sel darah putih, merah dan platelet yang normal. Ini menyebabkan sel normal sukar menjalankan tugas mereka dengan baik.

Jenis leukemia

Pembahagian jenis leukemia boleh dibuat berdasarkan berapa cepat pembentukan dan kemaraan penyakit. Secara umum ia dibahagikan kepada dua iaitu leukemia akut (keadaan pesakit menjadi teruk dengan cepat) dan kronik (kemaraan penyakit berlaku perlahan-lahan).

* Leukemia kronik - Pada peringkat awal penyakit, sel leukemia masih boleh menjalankan tugas sel darah putih seperti sel normal. Pada peringkat awal, pesakit tidak mengalami sebarang gejala tetapi doktor boleh mengesan penyakit ini melalui rutin pemeriksaan kesihatan - sebelum ia menunjukkan tanda.

Keadaan pesakit leukemia kronik menjadi teruk secara perlahan-lahan. Ini kerana jumlah sel leukemia bertambah yang mengakibatkan pesakit mula mengalami gejala seperti nodus limfa membengkak atau mudah mendapat jangkitan. Apabila gejala muncul, biasanya ia tidak begitu ketara dan lama kelamaan menjadi lebih jelas.

* Leukemia akut - Sel leukemia tidak boleh melakukan sebarang fungsi sel darah putih yang normal. Jumlah sel leukemia bertambah dengan pantas. Ia menyebabkan keadaan kesihatan pesakit merosot dengan cepat.

Faktor risiko

Apabila diberitahu menghidap kanser, kebanyakan orang tertanya-tanya bagaimana dan apa menyebabkan penyakit itu. Sehingga kini tiada siapa tahu penyebab sebenar leukemia. Malah, doktor tidak tahu kenapa sesetengah orang dapat menyakit ini.

Bagaimanapun, kajian menunjukkan beberapa faktor risiko boleh meningkatkan peluang seseorang mendapat leukemia.

Antara faktor risiko itu ialah:

* Radiasi - Individu yang terdedah kepada paras radiasi tinggi ada kecenderungan lebih tinggi mendapat leukemia mieloid akut atau leukemia limfosit akut. Contohnya letupan bom atom dan terapi radiasi.

* Pemeriksaan sinar-X - Ini termasuk ujian sinar-X untuk pemeriksaan mulut dan lain-lain ujian (termasuk imbasan CT) yang menyebabkan seseorang terdedah kepada radiasi paras rendah. Masih tidak diketahui sama ada radiasi begini boleh dikaitkan dengan leukemia pada kanak-kanak atau orang dewasa. Perkara ini masih dalam penyelidikan.

* Merokok - Merokok juga boleh meningkatkan risiko mendapat leukemia mieolid akut.

* Sindrom Down dan lain penyakit keturunan - Kumpulan yang mengalami masalah ini ada risiko lebih tinggi mendapat leukemia akut.

* Sejarah keluarga menghidap leukemia - Biasanya jarang berlaku lebih seorang dalam satu keluarga mendapat leukemia. Bagaimanapun jika berlaku, ia membabitkan leukemia limfosit akut.

Jangan risau jika anda ada lebih daripada satu faktor risiko kerana tidak semestinya anda akan mendapat leukemia. Ramai mempunyai faktor risiko tetapi tetap sihat.

Gejala

Seperti mana sel darah lain, sel leukemia bergerak ke seluruh badan melalui aliran darah. Gejala leukemia bergantung kepada jumlah sel dan di mana ia terkumpul di dalam badan. Pesakit leukemia kronik mungkin tidak mengalami sebarang gejala, sebaliknya penyakit dikesan ketika pemeriksaan kesihatan.

Namun bagi pesakit leukemia akut, mereka biasanya berjumpa doktor sebab berasa tidak sihat. Jika membabitkan otak, pesakit berasa sakit kepala, muntah, keliru, hilang kawalan otot atau mendapat sawan. Leukemia juga boleh memberi kesan kepada bahagian badan lain seperti saluran pencernaan, buah pinggang, paru-paru, jantung dan zakar.

Antara gejala leukemia kronik dan akut yang biasa ialah:

* Nodus limfa bengkak tetapi tidak sakit (terutama nodus limfa di leher atau ketiak)

* Demam atau berpeluh-peluh pada waktu malam

* Kerap mendapat jangkitan dan tidak sihat

* Berasa letih dan lemah

* Mudah mengalami pendarahan dan bengkak (termasuk pendarahan gusi, kulit lebam atau berbintik merah)

* Abdomen bengkak atau berasa tidak selesa (akibat hati atau limpa membengkak)

* Berat badan menurun tanpa sebab

* Tulang dan sendi berasa sakit

Biasanya gejala di atas bukan disebabkan kanser. Jangkitan dan lain-lain masalah kesihatan juga boleh menyebabkan seseorang mengalami gejala itu. Hanya doktor boleh mengesahkannya. Individu yang ada gejala ini perlu memberitahu doktor supaya pemeriksaan dan rawatan segera boleh diberi.

Pemeriksaan

Kadangkala leukemia dikesan melalui ujian darah. Jika anda ada gejala leukemia, doktor akan mencari penyebabnya. Doktor akan bertanya mengenai sejarah kesihatan anda dan keluarga. Pada masa sama, doktor menjalankan pemeriksaan berikut:

* Pemeriksaan fizikal - Untuk memeriksa jika nodus limfa, limfa atau hati anda bengkak.

* Ujian darah - Ujian makmal bagi memeriksa jumlah sel darah putih, sel darah merah dan platelet. Leukemia menyebabkan paras sel darah putih menjadi tinggi, manakala paras platelet dan hemoglobin (dalam sel darah merah) rendah.

* Biopsi - Doktor mengambil sedikit tisu untuk mencari sel kanser. Biopsi ini adalah cara pasti untuk mengetahui sama ada sel leukemia ada di dalam sumsum tulang. Sebelum sampel tisu diambil, pesakit diberi bius setempat untuk membuatkan bahagian yang hendak disuntik berasa kebas dan mengurangkan kesakitan. Sumsum tulang biasanya diambil dari tulang pinggul atau tulang besar lain.

Ada dua cara untuk mendapatkan sumsum tulang iaitu melalui kaedah aspirasi (sedutan) dan biopsi (mengambil sedikit sampel tisu). Melalui kaedah sedutan, doktor menggunakan jarum tebal untuk mengambil sumsum tulang manakala biopsi pula ialah jarum yang sangat tebal digunakan bagi mendapatkan sedikit tulang dan sumsum tulang.

* Sitogenik - Ujian makmal untuk melihat kromosom daripada sampel darah, sumsum tulang atau nodus limfa. Jika kromosom tidak normal ditemui, ujian ini boleh menentukan jenis leukemia dihidapi. Contohnya pesakit leukemia mieolid kronik ada kromosom dipanggil kromosom Philadelphia.

* Tap spina (air tulang belakang) - Doktor mengambil sedikit cecair tulang belakang menggunakan jarum halus yang panjang daripada bahagian bawah tulang belakang. Prosedur ini memakan masa 30 minit dan pesakit diberi bius setempat. Pesakit mesti baring meniarap selama beberapa jam selepas prosedur ini bagi mengelak sakit kepala. Dalam makmal, ujian dilakukan untuk memeriksa sel leukemia dan masalah kesihatan lain. Usah bimbang kerana cecair yang diambil sedikit saja dan badan akan menggantikannya semula.

* Ujian sinar-X dada - Ujian ini boleh menunjukkan jika ada nodus limfa bengkak atau tanda lain di dada.

Perbincangan mengenai rawatan dan penjagaan untuk leukemia akan disambung pada keluaran akan datang.

4 comments:

Mr Dlie said...

Terima kasih atas perkongsian ini..

Anonymous said...

Thanks anyway to share some knowledge.I kindly thank you more than million time.Thanks

Unknown said...

tq for info famly saya ada yg dah kna..sekarang kritikal mohon doa kalian tq

Unknown said...

adik sy pn br disahkn leukimia cml. mohon doa kalian juga.