My Followers

Bahaya hati berlemak

TAHUKAH anda, selain masalah jantung mengandungi lemak yang boleh menyebabkan tubuh terdedah kepada pelbagai penyakit, ada organ lain tidak terkecuali berdepan masalah sama? Organ yang dimaksudkan ialah hati.

Secara umum, hati berlemak atau steatosis adalah keadaan di mana kandungan lemak berlebihan pada hati.

Pakar Perunding Gastroenterologi, Jabatan Gastroeterologi, Hospital Kuala Terengganu (HKT), Dr Ahmad Shukri Mohd Salleh, berkata meskipun hati berlemak bukan penyakit, ia petanda seseorang menghadapi masalah kesihatan.

Menurutnya, jika dibiarkan tanpa rawatan, ia boleh menyebabkan penghidap menghadapi komplikasi.

"Ia mendedahkan individu terbabit kepada masalah hati atau lain-lain penyakit yang lebih serius," katanya.

Hati berlemak boleh menyebabkan radang pada sel hati yang dikenali sebagai steatohepatitis. Ia kerap dikaitkan dengan pengambilan minuman keras.

Namun, keadaan sama boleh berlaku tanpa mengaitkannya dengan minuman keras atau dikenali sebagai non-alcoholic steatohepatitis (NASH).

Dianggarkan 15 hingga 50 peratus pesakit NASH boleh menghidap fibrosis atau sirosis hati dalam jangka masa lama.

Selain itu, penyakit seperti betuk kering, diet tidak seimbang dan pembedahan pintasan usus kecil untuk obesiti dan pengambilan ubat tertentu menjadi punca berlakunya hati berlemak.

Pun begitu, Shukri berkata, makan makanan berlemak tidak mempunyai kesan secara langsung terhadap pengumpulan lemak pada hati.

Malah, ada pesakit mempunyai paras lemak normal dalam darah.

Beberapa kajian mendapati, hati berlemak antara sebab menurunkan enzim hati yang dikenal pasti pada ujian darah secara rutin. Enzim ini dikeluarkan oleh sel hati apabila berlaku radang pada sel berkenaan.

Tanda

Kebanyakan pesakit hati berlemak tidak mengadu mereka menghadapi masalah ini. Namun, kajian menunjukkan 50 peratus golongan ini mengadu letih, sakit atau tidak selesa pada bahagian atas abdomen.

Jika keadaan hati berlarutan daripada steatohepatitis kepada fibrosis dan sirosis, pesakit akan mengalami masalah hati, busung, pembengkakan kaki, demam dan jaundis.

Rawatan

Meskipun hati berlemak bukan sejenis penyakit, keadaan ini perlu dirawat. Rawatan bergantung kepada puncanya. Sebagai contoh, jika pesakit banyak meminum minuman keras, dia perlu mengurangkan pengambilan minuman itu.

Jika pesakit seorang yang obes, dia perlu mengawal pemakanan dan berat badannya.

Individu berisiko menghidap hati berlemak

* Mereka yang banyak minum minuman keras

* kekurangan pengambilan makanan berzat yang seimbang

* Obesiti

* Pesakit Diabetis

* Sindrom Reye (di kalangan kanak-kanak)

* Kehamilan

* Ubat-ubatan yang diambil dengan secara berlebihan.

Post a Comment