Tuesday, April 14, 2009

Melancong jana ekonomi


MASIH belum terlambat untuk kita merancang percutian keluarga atau berkumpulan dengan kemampuan masing-masing walaupun cuti sekolah baru berlalu.

Tidak semestinya menginap di hotel mahal. Mungkin melawat saudara-mara atau berkelah di pantai. Tetapi, kunjungan sambil bercuti sebenarnya berupaya membantu menjana ekonomi negara.

Jika enggan bermalam di rumah saudara-mara, kita masih mempunyai pilihan menginap di hotel yang menawarkan sewa berpatutan sesuai dengan kemampuan.

Tidak dinafikan, inilah masanya untuk melancong kerana boleh diandaikan industri perhotelan kini menawarkan harga istimewa supaya sektor pelancongan tidak longlai dihimpit masalah ekonomi global.

Rabu minggu lalu, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said, menyatakan Tourism Malaysia akan terus memberi keutamaan bagi mempromosi pelancongan domestik.

Beliau berkata, ia strategi yang diharapkan dapat mengurangkan kelembapan ekonomi negara.

"Kami akan terus mengutamakan usaha menggerakkan secara agresif pelancongan domestik bagi menggalak lebih ramai rakyat Malaysia merancang percutian dalam negeri.

"Ia diharap dapat menjadi penampan kepada masalah ekonomi global yang kita hadapi sekarang," katanya pada pelancaran Zoom! Malaysia untuk promosi di radio di Menara KL.

Azalina berkata, kempen Zoom! Malaysia yang dilancarkan pada Mei 2008 memberi pelantar yang berfaedah kepada pemain industri pelancongan dan pelancong.

"Oleh itu, kita dapati bilangan rakyat tempatan yang bercuti agak tinggi tetapi perkiraan ini hanya dibuat berdasarkan kepada penginapan di hotel," katanya.

Pada 17 Mac lalu, 70 pengusaha pelancongan swasta, agensi kerajaan seperti pengusaha hotel, homestay, resort, zoo, muzium dan rekreasi berganding bahu menghangatkan kempen Zoom! Malaysia Travel Fair.

Kempen terbabit menyediakan gerbang percutian kepada rakyat Malaysia untuk menikmati pakej percutian dengan kemampuan masing-masing tanpa mengetepikan impian melancong ke destinasi pilihan.

Terdapat 74 pakej percutian ditawarkan 58 agensi pelancongan tempatan dalam kempen yang sebahagiannya menawarkan peluang memenangi hadiah berbentuk pakej lawatan, penginapan hotel dan tiket penerbangan ke destinasi pelancongan tertentu.

Kempen berkenaan dirasmikan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas yang turut dihadiri Azalina dan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Oleh itu, rancanglah percutian bersama keluarga atau teman sekuliah supaya kita kenal pelbagai produk pelancongan tempatan di samping menghayati sejarah.

JADUAL CITRAWARNA MALAYSIA 2009

27-29 Mac: `Makanan Etnik' Malaysia Dataran Boulevard, Miri, Sarawak
28-29 Mac: KL GP Couture & Cuisine Festival Taman Tasik Perdana, KL
28 Feb-5 Apr: Malaysia GP Sale 2009 (seluruh negara)
3-5 Apr: Festival Air Malaysia, Tanjung Balau, Johor.
10-12 Apr: Festival Air Malaysia, Pantai Cenang, Langkawi.
1-3 Mei: Wilayah Persekutuan Labuan
30 Mei: Floral & Fruit Festival 2009, Merdeka Square, KL.
4 Jul-31 Ogos: Jualan Mega Malaysia 2009

No comments: