Tuesday, March 17, 2009

Zat pil tambahan


KEPERLUAN makanan tambahan tidak dapat dinafikan lagi dalam masyarakat, terutama bagi individu yang sering terlepas sarapan atau mana-mana sajian penting harian.
Di sinilah pil makanan tambahan seperti multivitamin memainkan peranan dengan mengisi `kekosongan' bagi menampung kekurangan zat harian seseorang.
Namun, ada juga yang masih keliru banyak mana pil makanan tambahan perlu dimakan? Jika sudah mengambil pil multivitamin, adakah masih perlu vitamin C, vitamin E atau zat besi secara berasingan? Ada yang mengambil lebih daripada empat jenis pil makanan tambahan setiap hari, termasuk multivitamin. Tidakkah ia keterlaluan?

Fakulti Kesihatan Awam Harvard memberi lima panduan untuk pengambilan makanan tambahan iaitu:

* Amalkan pemakanan seimbang dan menyihatkan - Tiada pil dapat menandingi khasiat daripada sumber makanan semula jadi. Walaupun sebiji pil multivitamin mengandungi semua khasiat diperlukan badan, ia hanya untuk menampung kekurangan sesetengah zat yang tidak diperoleh daripada makanan.

Beralihlah kepada corak pemakanan yang kaya sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin penuh dan kekacang. Pada masa sama, kurangkan makanan yang tinggi kandungan garam, gula dan lemak. Meskipun protein daripada sumber haiwan penting, ambillah dalam kuantiti sederhana.

Makan banyak sayur dan buah mungkin sukar dilakukan, tetapi ia boleh diatasi dengan mengambil jus buah (sendirian atau dicampur dengan sayur) yang disediakan sendiri.

* Pilih pil multivitamin - Pengambilan sebiji pil multivitamin sehari sudah memadai untuk menampung kekurangan zat daripada makanan. Ada pakar menyifatkan multivitamin adalah polisi insurans yang murah dan boleh membantu mengekalkan kesihatan.

* Vitamin D - Sumber terbaik vitamin D ialah cahaya matahari pagi sehingga jam 11. Vitamin D membantu penyerapan kalsium bagi menguatkan tulang dan membolehkan otot berfungsi dengan baik. Malah, ada kajian menunjukkan vitamin D boleh mengurangkan risiko mendapat kanser usus dan payudara.

Ia boleh diperoleh daripada makanan seperti ikan berlemak (sardin, makerel, salmon, minyak hati ikan), hati ayam, kuning telur, tiram dan lain-lain produk yang diperkaya dengan vitamin D. Pun begitu, sumber daripada cahaya matahari lebih penting kerana ia membekalkan vitamin D yang mencukupi kepada setiap individu.

Setiap hari kita memerlukan antara 1,000 hingga 1,200 IU vitamin D setiap hari. Dalam keadaan iklim khatulistiwa dan kepelbagaian makanan yang ada di negara kita, masalah kekurangan vitamin D tidak harus berlaku.

* Katakan tidak kepada makanan tambahan 'mega' - Elak makanan tambahan yang didakwa mengandungi tinggi dos vitamin, mineral atau makanan yang diperkaya dengan 'mega' vitamin. Badan kita tidak memerlukan zat dalam kuantiti yang banyak. Multivitamin yang menawarkan tahap standard sudah memadai kerana vitamin larut air yang berlebihan akan dibuang.
Malah, jika sudah mengambil pil multivitamin biasa, kita disaran mengurangkan pengambilan makanan yang kaya asid folik.

* Ambil secukupnya. Jangan cepat terpengaruh dengan iklan atau cakap orang yang mendakwa produk mereka lebih baik berbanding yang dijual di farmasi. Perlu diingat, produk yang dijual di farmasi secara umumnya mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan.

Pengambilan sebiji multivitamin sehari sudah mencukupi. Berlebihan vitamin boleh mendatangkan kemudaratan, contohnya berlebihan zink menyebabkan keletihan dan risiko serangan jantung atau strok.

2 comments:

Anonymous said...

info is quite direct and wide. tq.

Anonymous said...

info is quite direct and wide. tq.