Friday, March 6, 2009

Uji ketahanan diri di Gua Tempurung


JIKA Sarawak berbangga dengan keunikan dan keindahan stalaktit dan stalagmit di Taman Negara Mulu, Perak pula boleh berbangga dengan tarikan Gua Tempurung yang terletak di Lembah Tempurung, Gopeng, kira-kira 25 kilometer dari Ipoh.
Malah, sesiapa yang menghala ke utara, menggunakan Lebuhraya Utara Selatan (Plus) ketika tiba di kawasan Gopeng, pasti terpandang ke Gunung Tempurung yang tersergam gagah di sebelah kiri.
Gunung Tempurung setinggi 497 meter, yang menempatkan dua gua juga dikenali sebagai Gua Perah oleh penduduk tempatan adalah binaan batu kapur dipercayai berusia lebih 400 juta tahun. Berada di dalam gua ini membolehkan anda melihat pelbagai `arca' yang menarik dan unik sehingga ada menyerupai bentuk haiwan hasil pembentukan aliran air secara semula jadi atau bahasa saintifiknya disebut stalaktit dan stalagmit.
Ketinggian gua ialah 120 meter, manakala panjangnya dianggarkan 1.9 kilometer (km) dan ada sungai mengalir sejauh 1.6 km di dalamnya dikenali sebagai Sungai Gua Tempurung.
Ia mempunyai lima kubah besar. Setiap satu mempunyai siling menyerupai tempurung kelapa yang berbeza dari segi stalagmit dan stalaktit, suhu dan kandungan marmarnya dengan ruang kubahnya tidak ubah seperti lobi hotel dengan siling tinggi.
Lima kubah itu dikenali sebagai Dewan Aliran Batu Emas (Golden Flowstone), Dewan Gergasi (Giant), Dewan Bijih Timah (Tin Mine), Dewan Alam (Universe) serta gabungan Dewan Pahlawan Tumpas (Fallen Warrior) dan Medan Perang (Battlefield).
Selain itu, terdapat pula kawasan dikenali sebagai Terowong Angin yang membuatkan pengunjung terasa bagaikan berada di puncak gunung.
Secara saintifiknya, suhu sejuk itu terhasil daripada proses pengewapan iaitu pertembungan udara panas di luar gua dan udara sejuk di dalam gua sehingga menghasilkan wap air.
Sementara, di lokasi `Top of the World' pula memberi pemandangan sebahagian besar gua tempurung ini. Dengan pancaran lampu suluh, pelbagai `jelmaan' dapat dilihat berdasarkan imaginasi pengunjung.
Berdasarkan sejarah, gua ini mula dikenal pasti dalam peta Semenanjung Tanah Melayu-Perak yang dilakar pada 1887 dengan ejaan sebagai `Gunong Tempoo Rong'.
Sebelum 1935, aktiviti perlombongan bijih timah dalam skala kecil pernah dilakukan di dalam gua berkenaan dan ketika Perang Dunia Kedua sekitar 1935 hingga 1945, ia pernah dijadikan tempat berlindung oleh penduduk tempatan daripada pendudukan Jepun.
Ketika zaman darurat sekitar 1948 hingga 1960, gua ini menjadi tempat persembunyian pengganas komunis. Buktinya dapat dilihat menerusi lakaran dan tulisan pada dinding gua dipercayai dilakukan anggota komunis selain ada slogan serta lirik lagu yang menyatakan kebencian terhadap tentera Jepun.
Pada 1994, kerajaan Perak menjalankan kajian kesesuaian dan setahun kemudian melakukan kerja-kerja menjadikan gua berkenaan sebagai destinasi tarikan pelancongan dengan pembukaan rasminya kepada pengunjung bermula pada 1997.
Hakikatnya, Gua Tempurung adalah destinasi terbaik di Semenanjung kepada mereka yang ingin melihat keindahan, keunikan dan mempelajari proses pembentukan arca secara semula jadi, sama ada secara santai atau mengikuti ekspedisi secara lasak.
Ekspedisi meneroka keindahan Gua Tempurung mengambil masa tiga jam setengah iaitu merentasi perjalanan sejauh 4 kilometer dan terbahagi kepada empat jenis ekspedisi iaitu Golden Flowstone (tempat kering), Top Of The World (tempat kering), Top Of The World and Short River Adventure (kawasan basah) dan Grand Tour (kawasan basah) dengan masa lawatan dari jam 9 pagi hingga 4 petang bergantung pada jenis ekspedisi yang dipilih.
Ia membabitkan aktiviti perjalanan catwalk (perjalanan kering di pelantar) serta perjalanan catwalk yang diselangi acara menyusuri anak sungai.
Bagaimana ke sana
Jika menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan, keluar melalui Plaza Tol Gopeng dan belok ke kiri menghala ke Kampar. Kira-kira lima km dari Plaza Tol berkenaan, akan menemui simpang dan papan tanda menuju ke Gua Tempurung di sebelah kiri. Jarak dari simpang berkenaan ke gua berkenaan kira-kira dua km.
FAKTA
Kemudahan disediakan
1. Tempat meletak kenderaan yang luas berhampiran pintu gua.
2. Gerai makanan.
3. Kedai serbaneka.
4. Gerai menjual kraftangan dan cenderahati.
5. Tandas dan bilik persalinan.
6. Surau.
7. Kaunter tiket dan penerangan.
Bayaran masuk
* Bagi perjalanan catwalk (perjalanan kering di pelantar), ia membabitkan lawatan di lorong pejalan kaki yang mengambil masa 40 minit dengan bayaran RM6 bagi dewasa, RM2.50 (kanak-kanak), RM3 (warga emas).
* Pakej lawatan Top of The World ialah lawatan selama satu jam 45 minit menjelajah bahagian menarik dalam gua dengan perjalanan mulai pintu masuk gua sehingga ke stesen pelantar lima (Dewan Gergasi) dengan bayaran RM9 (dewasa), RM4.50 (kanak-kanak) dan RM3 (warga emas) yang membabitkan perjalanan catwalk & menyusuri sungai bawah tanah (perjalanan basah).
* Pakej lawatan Top of The World & Short River Adventure pula adalah aktiviti berkumpulan yang mencabar dalam perjalanan sejauh dua jam 30 minit yang meliputi perjalanan sejauh 2.4 kilometer menjelajah pelbagai laluan berliku, termasuk menyusuri anak sungai dengan bayaran dikenakan ialah RM11 (dewasa), RM6 (kanak-kanak), RM6 (warga emas).
* Pakej lawatan Grand Tour adalah ekspedisi berkumpulan paling mencabar dengan perjalanan berjalan kaki sejauh 3.8 km sehingga ke pelantar 10 sebelum cabaran diteruskan dengan aktiviti menyusuri anak sungai yang mengambil masa selama tiga jam 30 minit dengan bayaran RM22 (dewasa), RM11 (kanak-kanak), RM6 (warga emas).

No comments: