Friday, March 6, 2009

Bertelur 1,000 biji

TIDAK lengkap percutian anda ke Desaru, Johor, jika tidak berkunjung ke Ostrich Desaru Showfarm di Kota Tinggi untuk melihat sendiri aksi burung unta yang berasal dari benua Afrika.
Sejak dibuka pada 2001, Ostrich Desaru Showfarm yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Desaru, mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai dan menjadi tumpuan pengunjung pusat peranginan Desaru.
Di ladang ini, anda dapat menyaksikan gelagat burung unta di samping mempelajari habitat mereka. Setiap hujung minggu pula diadakan pertunjukan khas untuk pengunjung.
Ladang yang diusahakan oleh Colin Teh dan isterinya Joyce bermula dengan 32 burung unta dan kini memiliki 300 ekor burung unta, sekali gus menjadi ladang burung unta terbesar di negara ini.
Kanak-kanak pasti seronok melihat burung unta yang mudah mesra dan jangan terkejut jika anak anda lari bersembunyi kerana merasa gerun melihat kakinya yang panjang serta saiznya yang besar, malah ada yang lebih tinggi daripada orang dewasa.
Bagaimanapun, jangan bimbang kerana burung unta yang dilepaskan itu tidak menyerang manusia kerana sudah dijinakkan manakala yang lainnya ditempatkan dalam pagar.
Melihat burung unta yang jinak itu, pengunjung terutama kanak-kanak pastinya tidak mahu melepaskan peluang memberi makan jagung di atas tapak tangan.
Kanak-kanak yang berani boleh menyentuhnya sendiri, malah ada yang dapat menunggangnya untuk bergambar.
Selain mengusahakan ladang itu untuk lawatan orang ramai, ladang berkenaan juga memproses produk yang dihasilkan daripada burung unta, termasuk mengeluarkan bahan kecantikan wajah yang mendapat sambutan menggalakkan.
Menurut seorang penjaga di sini yang dikenali sebagai Francis, daging burung unta kini mula diminati masyarakat tempatan dan sesuai diproses menjadi produk kesihatan.
Katanya, ladang itu menerima tempahan dari sekitar Johor, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan, Melaka dan Selangor.
"Daging Burung Unta lebih sedap daripada daging lembu dan ayam. Harganya lebih mahal iaitu RM60 sekilogram. Harga burung unta juga lebih mahal daripada lembu iaitu RM4,000 seekor," katanya sambil memberitahu mendapat banyak tempahan daging daripada hotel dan restoran di Kuala Lumpur.
Beliau berkata, telur burung unta sangat besar, berat, keras dan tidak mudah pecah.
"Manusia seberat 100 kilogram pun kalau berdiri di atas telur ini tidak akan pecah. Telur mengambil masa kira-kira 42 hari untuk menetas selepas melalui proses mengeram. Sehari kita mengutip sehingga 12 biji telur yang baru," katanya sambil memberitahu berat telur burung unta boleh mencecah hingga 1.5 kilogram.
Kata Francis, telur diletakkan dalam inkubator pada suhu 40 darjah selsius sebelum menetas pada hari ke 42. Beliau memberitahu, telur burung unta amat kaya dengan protein sebab itu sesuai dibuat krim kecantikan manakala kulitnya pula dapat dijadikan produk kraf tangan.
Burung Unta makan kira-kira tujuh kilogram sayur, soya serta jagung sehari dan boleh hidup sehingga 60 tahun. Burung betina boleh bertelur sehingga 1,000 biji daripada usia dua tahun hingga 25 tahun.
Setelah puas bermain dengan burung unta, anda boleh cuba merasai keenakan burger, omelet dan satay sebelum pulang.
INFO
Kelebihan burung unta
* Bulunya yang tidak memerangkap habuk dan anti statik sesuai dibuat pembersih habuk komputer.
* Kulit burung unta boleh menghasilkan beg, kasut dan dompet serta diwarnakan mengikut kesukaan.
* Minyaknya boleh dibuat ubat sapu untuk melegakan pelbagai penyakit kulit dan sakit kepala.
* Dagingnya sangat sedap, lembut dan berkhasiat.
* Tulangnya sedap dibuat sup yang dikatakan boleh menghilangkan penyakit athritis dan lemah tulang.
* Setiap satu telur burung unta sama dengan 24 biji telur ayam. Cengkerangnya boleh dibuat bekas lampu untuk cenderahati.
* Boleh dijadikan haiwan peliharaan. Sepasang anak burung unta dijual pada harga RM600 (RM300 setiap satu). Jika anda mempunyai dua burung unta betina, boleh menghasilkan sekurang-kurangnya 120 telur (2 X 60 setiap satu).
Ostrich Desaru Showfarm
* Terletak di Batu 15, Teluk Ramunia, Kota Tinggi, Johor.
* Dibuka dari jam 10 pagi hingga 6 petang setiap hari.
* Tiket RM10 (dewasa) dan RM6 (kanak-kanak).
* Mereka yang berminat mengetahui lebih lanjut hubungi 07-8265846 dan 016-7708544.
Tahukah anda
BURUNG Unta adalah haiwan berdarah panas, mempunyai sayap dan tubuh yang diselubungi bulu pelepah. Paruhnya tidak bergigi. Burung Unta mempunyai leher yang panjang dan mampu memecut sehingga 65 kilometer sejam (40 batu sejam).
Telur burung Unta adalah telur terbesar. Walaupun daripada spesies burung, Burung Unta tidak boleh terbang.

2 comments:

Unknown said...

Burung unta rm300 ad lagi x

Madd said...

telur burung unta ada dijual tak disini