Friday, March 6, 2009

Bukit Keluang simpan khazanah


KESERONOKAN berkelah atau beriadah bersama keluarga atau teman pasti tidak akan memberi kepuasan jika anda tidak mempunyai pilihan untuk mencari tempat yang sesuai dan terbaik sebagai destinasi percutian.
Anda sebenarnya tidak akan menghadapi masalah untuk menentukan destinasi pilihan kerana Terengganu menawarkan banyak destinasi menarik yang mampu memberi kepuasan dan keselesaan berehat sambil bersantai pada hujung minggu atau musim percutian.
Mereka yang gemarkan suasana di hutan rimba, air terjun, kolam air panas, pulau atau pantai kenapa tidak memilih Besut sebagai lokasi perkelahan kerana ada pelbagai pilihan menarik untuk dikunjungi sepanjang masa.
Kebanyakan pusat perkelahan atau pelancongan di daerah Besut mempunyai kelainan dan daya tarikan tersendiri menyebabkan pengunjung yang berpeluang ke sini tidak puas dan pasti mahu berkunjung lagi.
Bagi mereka yang memilih untuk bersantai di persisiran pantai sudah tentu mencari tempat yang menarik dan unik selain mempunyai pelbagai kemudahan disediakan untuk keselesaan pengunjung.
Salah satu tempat yang sering menjadi pilihan pengunjung ialah Pantai Bukit Keluang, terletak kira-kira 25 kilometer dari pusat bandar Jertih, Terengganu atau 12 kilometer dari pusat pentadbiran daerah Besut di Kota Putera.
Pantai Bukit Keluang, mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri yang tiada di pantai lain kerana memiliki banjaran bukit di persisiran pantai yang mempunyai batu beraneka warna.
Pesisir pantai yang putih, bersih serta pemandangan sekitar yang menarik pasti tidak menjemukan perasaan pengunjung apabila berada di situ.
Pantai itu mula diteroka sebagai tempat aktiviti riadah pada awal tahun 60-an dan kini menjadi salah satu tempat popular di kalangan pengunjung terutama mereka yang ingin melihat pelbagai khazanah alam semula jadi di kawasan perkelahan itu.
Ada pelbagai cerita menarik mengenai sejarah tempat itu apabila dikaitkan dengan nama Bukit Keluang. Tempat itu satu ketika dulu pernah menjadi tempat persinggahan atau persembunyian lanun yang menjalankan kegiatan mereka di Laut China Selatan.
Banjaran bukit batu yang ada di pesisir pantai dengan mempunyai tujuh gua mengadap ke laut dikatakan menjadi tempat lanun menyimpan khazanah yang dirompak daripada kapal dagang.
Kedudukan bukit yang terdampar hingga ke pesisir pantai serta memiliki gua meyakinkan penduduk tempatan dengan cerita berkenaan yang sememangnya layak menjadi sejarah sebagai pusat kegiatan lanun pada zaman dalu.
Bagaimanapun, Bukit Keluang yang ada sekarang sudah berubah apabila Majlis Daerah Besut (MDB) yang bertanggungjawab menyelia tempat itu membina pelbagai kemudahan asas seperti jambatan untuk menyeberangi dari bukit ke bukit lain, pondok berehat, tandas awam, bilik persalinan, gerai perniagaan dan menara keselamatan yang turut menempatkan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPA3).
Bukit Keluang juga unik kerana mempunyai banyak burung dan keluang yang tinggal secara semula jadi dalam gua, selain menjadi tempat perlindungan dan berteduh pengunjung daripada mengelak cuaca panas atau hujan.
Manakala kawasan berdekatan Bukit Keluang turut dimajukan sebagai pusat pendidikan dan latihan termasuk Institut Perguruan Sultan Mizan, Institut Latihan Iman dan Bilal Malaysia (Ilim), Kem Bina Tatanegara, Kem Seri Keluang dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Bagi mereka yang inginkan tempat untuk bermalam, kawasan sekitar ada menyediakan chalet berharga sederhana dan resort bertaraf antarabangsa yang mampu didiami semua pengunjung.
CARA KE SANA
Boleh menggunakan kenderaan sendiri atau pengangkutan awam dari bandar Jertih, Kampung Raja atau Kuala Besut.
Perjalanan dari bandar berkenaan hanya mengambil masa antara 20 dan 15 minit.
INFO
Tempat Penginapan:
* Keluang Beach Resort
* Damai Beach Resort
* Dendong Beach Resort
Tarikan pelancong
* Persisiran Laut Cina Selatan
* Ada tujuh gua
* Ada bukit dan sungai
* Ada kem latihan dan tapak perkhemahan

No comments: