Friday, March 6, 2009

Taman Pertanian Bukit Cerakah kembali ceria


SHAH ALAM, ibu negeri Selangor menyediakan pelbagai kemudahan dan prasarana lengkap bukan saja kepada penduduk di bandar raya itu tetapi juga menyediakan kawasan pelancongan yang tidak kurang menariknya kepada pelancong tempatan dan luar negara.
Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam antara lokasi hutan simpan yang menyediakan tempat rekreasi yang luas kepada pengunjung sama ada untuk tujuan bersiar-siar mengambil angin segar, beriadah dan menikmati keindahan alam terutama pada waktu hujung minggu dan pada hari cuti umum.
Dengan keluasan keseluruhan 817 hektar, hampir keseluruhan taman pertanian dipenuhi pokok kayu hutan hujan tropika yang menghijau, redup dan mendamaikan di samping landskap flora dan fauna yang diubah suai mencantikkan lagi suasana.
Jadi tidak hairanlah ia antara lokasi kegemaran pengunjung khususnya pelancong Jepun dan Eropah apabila mereka datang berkunjung ke negara ini.
Selain bersantai dengan berjalan kaki di laluan pejalan kaki dan laluan bertar sepanjang 24 kilometer, mereka yang kurang berkemampuan melakukannya boleh memilih untuk menggunakan kemudahan pengangkutan tram percuma yang diadakan pada setiap 20 hingga 30 minit.
Juga disediakan khidmat sewaan basikal, padang permainan paintball, rumah penginapan, kolam renang buatan, sewaan khemah di samping kemudahan awam yang mencukupi dan sempurna untuk orang ramai.
Sebaik memasuki Taman Pertanian ini anda pasti teruja melihat suasana hutan dengan bunyi-bunyian alam yang jarang dapat didengar di kota.
Sambil berjalan atau berbasikal, anda boleh singgah di tempat menarik yang ada di sekitar kawasan itu.
Antara tempat menarik yang menjadi pusat kunjungan ialah seperti kawasan sawah padi, taman kaktus, taman orkid, taman rama-rama, taman rempah ratus, tempat memancing dan kawasan perkhemahan yang berkonsepkan alam semula jadi.
Bagi kanak-kanak, mereka pastinya mahu berhenti di Taman Haiwan untuk bermain dengan monyet, burung dan melihat kerbau, satu-satunya haiwan yang kini jarang ditemui kecuali anda pergi ke kampung.
Anda juga boleh melihat pemandangan indah sekitar kawasan Taman Pertanian ini dari Menara Tinjau yang sering dijadikan lokasi untuk mengambil gambar.
Satu lagi tarikan di sini ialah Rumah Iklim yang membolehkan anda merasai pengalaman berada di negara empat musim. Suasana dalam rumah ini dihias seperti keadaan musim itu di Eropah, malah suhunya juga mengikut musim di sana. Jadi berada di sini, dapatlah anda merasa bermain salji di musim Sejuk dan menikmati keindahan bunga tulip pada musim bunga.
Bagi mereka yang mahu mengadakan hari keluarga atau program motivasi untuk pelajar, kawasan ini sesuai untuk anda kerana menawarkan suasana yang berbeza.
Dengan meningkatnya semula keyakinan orang ramai terhadap perkhidmatan dan keindahan taman ini jumlah bilangan pengunjung juga dilihat meningkat.
Contohnya pada tahun lalu saja, kedatangan pengunjung meningkat kepada 208,000 orang iaitu bertambah 40 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Sesuai dengan namanya Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam iaitu taman pertanian pertama dan terbesar di Malaysia ia juga menjadi satusatunya taman pemeliharaan semula jadi di negara ini yang berperanan sebagai pusat rujukan dan kajian bidang pertanian.
Info
* Tiket masuk RM3 untuk dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak.
* Tiket letak kenderaan RM1.
* Dibuka jam 8 pagi dan tutup jam 5 petang
* Tiket masuk ke Rumah Iklim RM3
Bagaimana ke sana?
Dari Kuala Lumpur melalui Lebuh Raya Persekutuan atau NKVE dan susur ke Shah Alam. Taman Pertanian ini letaknya di Seksyen 8 selepas Hotel Concorde dan Bangunan SUK. Anda juga boleh mengambil perkhidmatan bas dari Kuala Lumpur ke Shah Alam tetapi pastikan bas berkenaan menuju ke Seksyen 8.

1 comment:

en_me said...

salamms, thanx for d info..