Friday, March 6, 2009

Seronoknya naik kereta kabel ke Bukit Bendera


BUKIT Bendera, pusat peranginan tanah tinggi yang sudah sinonim dengan Pulau Mutiara, adalah antara destinasi pelancongan yang mesti dikunjungi pelancong apabila bertandang ke negeri ini.
Dengan ketinggian kira-kira 830 meter dari aras laut, pengunjung yang berada di puncak bukit itu berpeluang menikmati pemandangan sekitar Pulau Pinang yang cukup mengasyikkan, sama ada menggunakan teropong mahupun mata kasar.
Udara sejuk serta nyaman diiringi tiupan angin menjanjikan suasana yang cukup selesa apabila berada di puncak bukit meskipun dalam cuaca panas.
Sepanjang berada di puncak bukit itu, pengunjung berpeluang melakukan pelbagai aktiviti termasuk berjalan merentas hutan sambil menghirup udara segar dan menikmati keindahan flora dan fauna.
Bagi pengunjung yang membawa peralatan berkhemah bersama rakan mahupun keluarga, mereka boleh berbuat demikian. Begitu juga kalau mahu berkelah, kemudahan disediakan termasuk taman permainan, surau dan tempat makan.
Sesiapa yang mahu mencuba keindahan dan suasana pada waktu malam, mereka boleh menginap di Hotel Belleveu, satusatunya hotel yang ada di puncak bukit itu.
Dengan harga penginapan yang berpatutan iaitu bermula dari RM165 sehari berserta sarapan pada hari biasa dan RM198 pada cuti sekolah dan cuti umum, pengunjung tidak seharusnya melepaskan peluang untuk mencubanya.
Untuk sebarang tempahan hotel itu, orang ramai boleh hubungi 04-2274006.
Sebagai tempat yang sememangnya menjadi tumpuan pelancong termasuk dari luar negara, Bukit Bendera bukan saja terkenal kerana keindahannya tetapi juga sistem kereta api kabel yang kini berusia hampir 100 tahun.
Pengunjung perlu menaiki kereta api itu untuk ke puncak dan turun, sekali gus menjadikan Bukit Bendera destinasi pelancongan yang unik dan sentiasa menjadi sebutan pelancong.
Mengimbau sejarah kereta api itu, ia diusahakan oleh D Logan, Joseph Heim dan Alan Wilson bersama Majlis Perbandaran Georgetown antara 1897 hingga 1905.
Pelan pembinaannya diluluskan yang dipertua majlis itu mengikut Seksyen 21 (ii) dan 57, Ordinan 90 (Kereta Api) dan empat unit kereta kabel ditempah daripada L De Roll Iron Works Co di Switzerland.
Ketika itu, kereta api digerakkan oleh kabel besi menggunakan kuasa elektrik sebanyak 500 volt di atas landasan yang dibina antara kaki bukit sehingga puncaknya.
Perkhidmatan kereta api itu dirasmikan pada 1 Januari 1924 oleh Gabenor NegeriNegeri Selat, Sir Laurence Nunns Guillemard, dan dikelolakan Majlis Perbandaran Georgetown sehinggalah diambil alih kerajaan negeri pada 1 Februari 1977.
Selepas itu, kereta api model baru diperkenalkan yang direka bentuk sebuah syarikat dari Kuala Lumpur dan dibina oleh Harbeger Engineering Works Ltd.
Sehingga kini, kereta api Bukit Bendera menjadi sinonim dengan pelancongan Pulau Pinang dan semakin sibuk ketika musim persekolahan serta hujung minggu dan cuti umum.
Perkhidmatan kereta api itu bukan saja digunakan oleh pelancong tetapi juga penduduk yang menetap di Bukit Bendera untuk naik dan turun bagi menjalankan aktiviti harian.
Kereta api itu dibahagikan kepada empat bahagian yang boleh memuatkan antara 50 hingga 60 penumpang pada satusatu masa dan mengambil masa kira-kira 30 minit perjalanan untuk sampai ke puncak.
Jika bernasib baik, sepanjang perjalanan ke puncak bukit pengunjung berpeluang menyaksikan hidupan di hutan itu termasuk monyet dan ular.
Purata antara 500 hingga 800 penumpang menggunakan perkhidmatan itu setiap hari dan bilangan boleh mencecah 1,500 hingga 2,000 orang pada musim cuti sekolah atau cuti umum.
Bagi menampung sambutan yang menggalakkan pada musim cuti sekolah, cuti umum dan hujung minggu, waktu menunggu kereta api dipercepatkan kepada 15 minit berbanding hari biasa sekitar 30 minit.
Pengunjung juga berpeluang membawa pulang pelbagai cenderamata sebagai kenangan apabila berkunjung ke Bukit Bendera seperti bajuT, produk kraf tangan dan barang hiasan yang dijual di kedai di kaki bukit.
Yang pasti, Bukit Bendera tidak akan mengecewakan pengunjungnya.
INFO
Perkhidmatan kereta kabel Bukit Bendera
* Kaunter tiket kerana kabel dibuka seawal jam 6 pagi setiap hari
* Perkhidmatan kereta kabel pertama pada jam 6.30 pagi.
* Perkhidmatan kereta kabel terakhir pada jam 9.30 malam.

No comments: