Friday, March 6, 2009

Cari kedamaian puncak Gunung Jerai


KUALA Muda sebagai daerah yang paling pesat membangun di Kedah, dulunya pernah dijadikan pusat pemerintahan negeri ini sebelum dipindahkan ke ibu negerinya, Alor Star.
Justeru, daerah ini yang luasnya kira-kira 922.6 kilometer persegi memiliki pelbagai kelebihan untuk menjadi daya tarikan pelancong yang penting bagi Kedah, selain Langkawi.
Ini kerana di daerah ini terdapat pelbagai bentuk aset pelancongan, baik warisan sejarah, alam semula jadi dan destinasi yang baru diwujudkan.
Namun bagi kebanyakan pelancong dari negeri lain, mereka mungkin agak janggal jika disebut Kuala Muda, tetapi lebih mengenali bandar Sungai Petani, iaitu bandar paling pesat membangun di negeri ini yang menjadi tumpuan sektor industri, komersial dan pusat pendidikan.
Kuala Muda juga popular dengan Gunung Jerai yang setinggi 1,200 meter dari paras laut. Ia adalah kawasan rekreasi yang indah dan menarik untuk dikunjungi selain menghirup udara segar tanah tinggi yang nyaman.
Gunung Jerai suatu ketika dulu dijadikan panduan pedagang dari luar yang melalui Selat Melaka untuk datang berniaga di Kedah yang ketika itu digelar Kedah Tua atau Lembah Bujang.
Malah pelancong yang berkunjung ke daerah ini juga boleh menemui beberapa tinggalan sejarah, termasuk di Pulau Tiga berhampiran kawasan itu. Antaranya, makam Sultan Muzaffar Shah serta bekas istana yang pernah menjadi pusat Pemerintahan Sultan Kedah ke-22 itu.
Bagi mereka yang meminati sejarah pula boleh berkunjung ke Muzium Arkeologi Lembah Bujang, tapak candi serta lokasi ekskavasi di Kampung Pengkalan Bujang, Merbok yang banyak menyimpan sejarah mengenai kewujudan Kedah Tua, termasuk kemasukan agama Islam, Hindu dan Buddha ke negeri ini.
Di pusat bandar Sungai Petani pula, pengunjung boleh singgah sebentar untuk bergambar kenangan di Menara Jam Besar yang dibina sebelum Perang Dunia Kedua, iaitu pada 1936. Reka bentuk menara itu yang unik menyebabkan ia menjadi lokasi pilihan pelancong untuk mengabadikan kenangan di situ.
Kepada pelancong yang gemar menikmati keindahan alam semula jadi pula, mereka boleh menyusuri Sungai Merbok sepanjang 10 kilometer dengan menaiki bot untuk melihat dengan lebih dekat hutan pokok bakau yang luasnya kira-kira 4,114 hektar, iaitu antara yang terbesar di Semenanjung.
Pe l a ncong boleh menaiki bot bermula di Jeti Semeling di Sungai Merbok. Sambil menyusuri sungai berkenaan, pelancong pastinya tertawan apabila melihat pelbagai spesies burung dan hidupan air di paya bakau serta kelip-kelip pada waktu malam.
Selepas penat menjelajah, pelancong boleh menjamu selera di restoran makanan laut yang banyak didapati di sekitar Sungai Merbok.
Bagi mereka yang ingin menikmati keseronokan bermain air, mereka boleh berkunjung ke taman tema air The Carnival yang terletak bersebelahan Cinta Sayang Golf & Country Resort.

No comments: