Friday, March 6, 2009

Nikmati keunikan flora, fauna di Gunung Stong


SETIAP mata pasti terpegun melihat keindahan dan pemandangan menakjubkan air terjun tertinggi di Asia Tenggara, Air Terjun Jelawang di Gunung Stong, Kuala Krai, Kelantan sebaik menjejakkan kaki di kaki air terjun itu.
Air terjun setinggi 303 meter itu turut kelihatan jika anda memandu menghala ke pekan Dabong dari Kota Bharu. Dengan tujuh tingkat air terjun, pastinya kawasan itu menggambarkan keunikan Gunung Stong yang terletak di Taman Negeri Stong di persisiran Banjaran Titiwangsa.
Bagi yang meminati aktiviti lasak, meluncur di puncak air terjun itu dengan disajikan pemandangan flora dan fauna yang mempesona pastinya sesuatu yang sukar untuk dilupakan.
Ditambah dengan deruan air yang mengalir di celahan batu dan kedinginan air gunung bagaikan rawatan refleksologi menghilangkan keletihan mendaki untuk sampai ke air terjun itu.
Meliputi kawasan lebih 61,734 hektar, taman itu kaya dengan pelbagai hidupan liar seperti gajah, harimau, beruang, monyet, burung dan serangga.
Pelbagai spesies tumbuhan seperti bunga terbesar di dunia, rafflesia serta orkid liar turut menjadi tarikan.
Untuk mereka yang gemarkan aktiviti lasak, Gunung Stong yang tingginya mencecah 1,433 meter, adalah lokasi kegemaran sesuai untuk aktiviti merentas hutan dan mendaki gunung.
Setiap pengunjung dikenakan bayaran RM4 untuk memasuki Taman Negeri Stong. Sebelum sampai ke puncak Gunung Stong, pendaki akan melalui beberapa puncak seperti Gunung Ayam, Gunung Saji dan Gunung Tara iaitu rangkaian gunung terbesar di Kelantan.
Bagi pendaki, biasanya mereka akan menjadikan Kem Baha yang terletak di puncak Air Terjun Jelawang sebagai tapak persinggahan untuk bermalam sebelum meneruskan perjalanan meneroka keindahan kawasan gunung menghijau itu.
Kem Baha ini juga unik kerana ia adalah tempat pertembungan dua sungai dari Gunung Stong dan Gunung Ayam yang mana digelar sebagai `The Last Waterfall' oleh penduduk di sini.
Ia juga adalah `pintu masuk' kepada beberapa tarikan alam semula jadi lain, kerana dari tapak persinggahan berkenaan akan membolehkan pengunjung menikmati kehijauan kawasan gunung dan keindahan serta keunikan flora serta faunanya.
Dari Kem Baha, pendaki akan sampai ke puncak Gunung Stong dengan meneruskan pendakian selama empat atau lima jam lagi.
Bagi yang membawa ahli keluarga dan tidak terdaya mendakinya, memadai mengecapi keindahan alam semula jadi di kaki gunung berkenaan yang dikelilingi hutan lipur indah.
Untuk ke Gunung Stong tidak sukar kerana jalan penghubungnya sudah disediakan. Bagi pengunjung yang tidak menaiki kenderaan persendirian boleh menggunakan kemudahan pengangkutan awam seperti bas dan kereta api ke situ.
Jika berkereta api, pengunjung sama ada dari Tumpat atau Kuala Lumpur atau Singapura boleh turun di stesen kereta api di pekan Dabong dan menaiki kereta sewa ke Gunung Stong.
Singgahlah seketika di pekan Dabong kerana untuk merehatkan minda sambil bersiar-siar di pekan kecil yang menarik dan jauh dari kesibukan kota.
Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di pekan Dabong pula satu persinggahan yang unik bagi mereka yang gemarkan sesuatu yang klasik. Jangan lepaskan peluang bergambar di stesen yang masih mengekalkan ciri-ciri binaan stesen kereta api lama.
Apa lagi, terokailah Gunung Stong sambil menikmati keindahan alam semula jadinya dan singgahlah ke pekan Dabong yang pastinya memberikan kenangan yang berbeza daripada di bandar.
Bagaimana ke sana
Orang ramai boleh menggunakan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ke Dabong.
Perkhidmatan yang disediakan:
* Ekspres Wau dari Kuala Lumpur-Tumpat bertolak jam 8.30 malam
* Ekspres Timuran dari Singapura-Tumpat bertolak jam 6 petang
* Ekspres Gading Mas dari Kuala Lumpur-Tumpat bertolak jam 4.50 petang
* Tren tempatan dari Gemas, Negeri Sembilan, Singapura dan Wakaf Bharu, Tumpat - di sebelah siang.
INFO
Penginapan
* Homestay Jelawang dan Bukit Jering - hubungi Pengerusi Homestay Kelantan, Mohd Nasir Mustafa - 019-9122770
* Sampugita Holidays Sdn Bhd
Bangunan Kompeks Sukan,
Hotel Perdana, Jalan Mahmod,
15270, Kota Bharu, Kelantan
Tel: 09-7432178
Faks: 09-7462178
e-mel: inquiry@sampugitaholidays.com.my

No comments: