Friday, March 6, 2009

Jonker Walk lubuk barangan antik

JONKER Walk, dikenali sebagai Jalan Hang Jebat sepanjang 400 meter di tengah Bandaraya Melaka Bersejarah pasti menggamit sesiapa saja yang menyusuri laluan berkenaan. Jonker Walk menjadi antara lokasi wajib dilawati jika berkunjung ke negeri kelahiran Hang Tuah itu.
Bagi pengunjung yang belum mahir mengenai kawasan tumpuan ini, ia sebenarnya adalah laluan pejalan kaki di Jalan Hang Jebat (dulunya dikenali sebagai Jonker Street) dan di Jalan Tun Tan Cheng Lock (dulunya dikenali sebagai Heeren Street).
Keistimewaan kawasan ini tentu sekali pada struktur bangunan rumah kedainya, selain sebagai lubuk barangan antik, pusat galeri seni, barangan kraftangan hinggalah kepada terompah kayu yang sangat tinggi nilainya dan masih kekal berniaga di situ.
Jangan ketinggalan untuk berjalan di laluan pejalan kaki yang sudah dinaik taraf di tepi kedai di sepanjang Jonker Walk, di samping meninjau setiap kedai yang menawarkan pelbagai barangan unik dan kreatif. Jika anda bernasib baik, pasti ada saja barangan yang sukar ditemui dapat dibeli dengan harga berpatutan.
Setiap rumah kedai di kawasan ini mempunyai kisah unik dan sejarah tersendiri. Perhatikan saja hiasan luar bangunan daripada bingkai, ukiran dan bentuk jendela, jarak dan saiz pintu, semuanya menceritakan zaman penjajahan Barat di Tanah Melayu.
Pengaruh dan gaya seni bina itu mencerminkan interaksi budaya ketika era itu sehingga mewujudkan pengaruh serta budaya peranakan atau Baba Nyonya dan Serani. Kedudukan berhampiran tebing Sungai Melaka menambah daya tarikannya kerana pada masa sama kita boleh menyusuri sungai itu menggunakan bot pelancong.
Usaha kerajaan Melaka di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam memajukan kawasan itu sebagai pusat pelancongan beberapa tahun lalu, nyata berjaya menarik perhatian pelancong dari dalam dan luar negara. Ini terbukti apabila kawasan itu sentiasa sesak ketika hujung minggu dan cuti sekolah.
Tidak hairanlah kawasan itu adalah antara destinasi popular pelancong. Sebenarnya, mengunjungi Jonker Walk bukan sekadar menyelongkar perabot antik, sebaliknya menyusuri sejarah lampau kota yang pernah menjadi pelabuhan antarabangsa dan rebutan kuasa negara Eropah.
Mengikut fakta, kedai barangan antik dan seni yang ada di Jonker Walk sudah wujud di bandar itu sejak awal 1950-an lagi dan sehingga kini terus masyhur sebagai `syurga' jual beli barangan lama berkenaan. Dua peniaga barang antik yang terawal, termasuk TK Kutty dan Hj Abu Bakar.
Berbanding kedai barangan antik di tempat lain yang mungkin menawarkan harga agak mahal, Jonker Walk menawarkan pelbagai pilihan artifak lama yang mungkin berusia lebih 300 tahun, barangan era Victoria seperti lampu perhiasan dan perabot pada harga murah.
Pengunjung pasti leka dengan pelbagai barangan antik dijual hingga tidak sedar sudah berada di kawasan itu untuk tempoh yang agak lama. Jika rajin menjelajah, pengunjung bakal bertemu kedai menjual terompah buatan tangan, seni yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi lain. Ia antara cenderamata utama yang dicari pelancong di Jonker Walk.
Puas menyusuri kedai cenderamata, pengunjung boleh menghilangkan dahaga dengan menikmati cendol Melaka. Gerai cendol dan laksa Nyonya letaknya berhampiran Hereen Guest House atau Jonker Dessert. Kebanyakan restoran di sini mengekalkan nostalgia zaman kegemilangan Melaka menerusi dekorasi kayu gelap, jubin kusam, pintu gelongsor ala kopitiam dan seterika arang.
Jika anda pertama kali berkunjung ke Melaka, jangan lupa juga singgah ke kedai menjual kuih dan rempah ratus milik pengusaha berketurunan Baba Nyonya. Namakan apa saja, baik dari dodol sehingga gula Melaka, semuanya ada dijual.
Pengekalan konsep lama itu bertujuan memastikan ia terus menjadi tarikan utama pelancong ke situ.
Perniagaan di kawasan itu bermula jam 10 pagi hingga 6 petang pada hari biasa dan masa perniagaan dilanjutkan hingga jam 10 malam pada hujung minggu. Malah, pada hujung minggu, jalan berkenaan ditutup kepada lalu lintas bagi membolehkan pengunjung berjalan kaki menyusuri sambil menikmati keindahan seni bina selain `mencuci mata' melihat barangan antik dijual.
Jadi, pastikan apabila berkunjung ke Bandaraya Melaka Bersejarah yang kini berstatus Bandaraya Warisan Dunia, peruntukan banyak masa untuk singgah di Jonker Walk.

No comments: