Friday, March 6, 2009

Kenangan 14 negeri di Malaysia

SETIAP negeri di Malaysia mempunyai tarikan tersendiri sama ada tempat, makanan ataupun buah tangan menarik yang menanti pelancong. Selain mencuba menu istimewa tempat yang dilawati, buah tangan juga menjadi keperluan pengunjung untuk dibawa pulang sebagai kenangan ataupun untuk dihadiahkan kepada saudara dan jiran. Jika anda melancong ke salah sebuah negeri dan sedang mencari-cari sesuatu untuk dibawa pulang, apa kata anda ikuti saranan di bawah:
* PERLIS
Mempelam Harumanis enak
JIKA berkunjung ke Perlis antara Jun hingga April, jangan lepaskan peluang membawa pulang mempelam Harumanis yang menjadi identiti unik negeri itu.
Sesuai dengan namanya, Harumanis terkenal dengan aromanya yang semerbak tidak seperti mempelam jenis lain termasuk spesies adik kembarnya daripada Thailand dikenali nam dok mai.
Harumanis turut mempunyai rasa manis asli berbeza, menyebabkan sesiapa saja yang pernah merasai kelazatannya pasti teringat dan akan mencarinya setiap kali berkunjung ke Perlis.
Uniknya, Harumanis hanya tumbuh dengan subur di Perlis antara April hingga Jun setiap tahun, sehingga ada yang menganggap mempelam itu sebagai anugerah paling bermakna bagi Perlis.
Bagaimana ke sana
Pusat pembelian Harumanis terletak di kawasan pertanian di Bukit Bintang, Sungai Batu Pahat iaitu kawasan pengeluar utama mempelam jenis ini di Malaysia. Di sini, buahnya dibungkus dalam kotak menarik sesuai untuk dijadikan buah tangan. Harumanis juga boleh didapati di gerai buah-buahan dan pasar sekitar bandar Kangar.
* KEDAH
Bawa pulang belacan Pekan Rabu
BELACAN memangmenjadi sebahagian menu masakan masyarakat Malaysia, malah belacan yang segar dikatakan menjadi rahsia keenakan sesuatu masakan. Inilah yang menjadi satu daripada keistimewaan yang ada di negeri Jelapang Padi ini.
Belacan yang dihasilkan dari Kedah boleh diperoleh di Pekan Rabu iaitu pusat penjualan barangan keluaran peniaga Melayu. Selain membawa pulang belacan, pengunjung boleh membeli pelbagai lagi buah tangan untuk dibawa pulang seperti kuih-muih tradisional seperti dodol dan baulu, ikan pekasam, ikan kering, jeruk buah, kuah rojak keropok.
Di sini juga terdapat jualan pakaian, baju Melayu, baju kurung, kraftangan, peralatan menunaikan haji, buku agama, kosmetik, barang kemas, barangan dapur, salun kecantikan serta gerai makanan dan minuman.
Bagaimana ke sana
Amat mudah mencari Kompleks Pekan Rabu kerana ia terletak di tengah-tengah pusat bandar raya Alor Star di Jalan Tunku Ibrahim. Ia berhadapan dengan bangunan Umno Kedah dan berhampiran dengan Hotel Holiday Villa dan Regency.
Gamat Langkawi bantu sembuh luka
SELAIN membeli barangan bebas cukai seperti pinggan mangkuk, coklat, barangan elektrik dan wangian kunjungan ke Pulau Langkawi tidak lengkap tanpa membawa pulang hasilan daripada gamat.
Minyak dan produk berasaskan gamat yang dihasilkan penduduk di pulau itu juga pasti menjadi pilihan sama ada untuk kegunaan sendiri atau tanda kenangan, selain pelbagai cenderahati menarik. Produk gamat sangat sesuai untuk penyembuhan luka terutama menjadi pilihan buat wanita bersalin.
Produk kesihatan yang dihasilkan berasaskan gamat termasuk salap gamat, makjun gamat, minyak gamat, bedak sejuk, minyak serai wangi.
Bagaimana ke sana
Anda boleh menggunakan perkhidmatan feri yang bertolak dari pelabuhan Kuala Kedah setiap satu jam mulai jam 7 pagi hingga jam 6 petang. Perjalanan ini memakan masa 1 1/2 jam. Terdapat juga perkhidmatan feri dari pelabuhan Kuala Perlis dan pelabuhan Satun di Thailand. Kedua-dua perjalanan feri ini memakan masa hanya 45 minit ke Langkawi.
Selain feri penerbangan juga disediakan oleh MAS dan Air Asia iaitu penerbangan terus dua kali sehari dari Kuala Lumpur ke Langkawi yang mendarat di Lapangan Terbang Langkawi.
* PULAU PINANG
Jeruk pala raja segala jeruk
BUAH pala bagaikan sinonim dengan Pulau Pinang dan menjadi kemestian kepada sesiapa saja yang berkunjung ke negeri itu. Ini kerana hanya di Pulau Pinang saja yang mempunyai buah pala dan anda boleh mendapatkannya sama ada dalam bentuk jeruk, manisan atau ubat-ubatan yang berasaskan daripada buah pala.
Buah pala boleh dibeli di Bazar Chowrasta dan sini anda bukan saja boleh membeli buah pala tetapi pelbagai jenis jeruk seperti mangga, salak, jambu, betik dan pelbagai lagi.
Bagaimana ke sana
Pasar Chowrasta terletak beberapa minit dari Komtar dan Lebuh Chulia itu adalah sebuah bazar lama tiga tingkat yang menempatkan gerai jeruk dan buah.
* PERAK
Keunikan warisan labu sayong
LABU sayong yang ketika dulu menjadi bekas penyimpan air kini lebih popular sebagai cenderahati pilihan buat pelancong yang berkunjung ke Perak.
Bekas menyimpan air yang dihasilkan daripada tanah liat ini dibentuk dan diukir dengan teliti. Motif ukirannya banyak menjurus kepada unsur tradisional, khususnya bunga-bungaan seperti bunga tanjung, padi, senduduk, lawang, cengkih dan pucuk rebung.
Labu Sayong dihasilkan di Kampung Sayong di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar. Jika tidak, anda boleh beli di bazar tepi sungai yang menjual pelbagai barang kraftangan tempatan pada harga berpatutan, termasuk bubu hiasan, bakul rotan, tikar mengkuang, tudung saji rotan atau nipah, karangan laut dan barangan besi.
Bagaimana ke sana
Dari Lebuhraya Utara Selatan sila masuk ke arah tol Plaza Kuala Kangsar, ikut tanda arah ke bandar Kuala Kangsar. Pemanduan dari Kuala Lumpur mengambil masa hampir tiga jam.
* TERENGGANU
Songket berkualiti harga berpatutan
SONGKET menjadi faktor tarikan kebanyakan pelancong tempatan jika berkunjung ke Terengganu.
Hasil tenunan yang halus dengan corak rekaan menarik dan bermutu tinggi menjadikan songket Terengganu yang dihasilkan secara turun temurun mendapat perhatian terutama kepada mereka yang ingin melangsungkan perkahwinan.
Jika anda ingin membeli songket berkunjunglah ke Pasar Besar Kedai Payang kerana di sini terdapat banyak pilihan dengan tawaran harga bermula puluhan Ringgit Malaysia hinggalah ribuan Ringgit Malaysia.
Untuk memudahkan pembelian, nyatakan anggaran harga yang anda inginkan, warna serta corak yang menjadi pilihan supaya mudah urusan jual beli dapat dijalankan.
Bagaimana ke sana
Pasar Payang terletak di tengah bandar Kuala Terengganu dan mudah untuk ke sini walau di mana anda menginap dan terdapat banyak papan tanda tunjuk arah untuk ke sini.
* KELANTAN
Corak batik unik, menarik
BATIK sutera Kelantan sememangnya terkenal dengan corak menarik yang memenuhi selera rakyat Malaysia terutama kaum wanita.
Untuk mendapat pelbagai corak dan pilihan menarik berkunjunglah ke Pasar Besar Siti Khadijah. Terdapat ratusan kedai di tingkat dua dan tiga yang pastinya menarik perhatian, Batik sutera di situ dijual pada harga berpatutan yang biasanya dijual berlipat kali ganda lebih mahal di Kuala Lumpur.
Kunjungan ke Pasar Besar Siti Khadijah juga tidak sah kalau tidak membeli tudung dan kain untuk dibawa pulang jika singgah ke Pasar Besar Siti Khadijah. Selain itu, kelengkapan perkahwinan turut dijual seperti bunga telur dan barangan tembaga dengan harga berpatutan.
Kedudukan pasar itu yang strategik iaitu di tengah bandar turut memudahkan pelancong berkunjung Bazar Buluh Kubu yang terletak bersebelahannya yang turut menjual pelbagai jenis tudung, pakaian wanita serta baju Melayu, songkok dan samping.
Bagaimana ke sana
Gunakan Lebuh Raya Karak ke Kuantan sebelum menggunakan jalan dalam melalui Terengganu atau melalui Bentong-Lipis-Gua Musang-Kuala Krai sebelum tiba di Kota Bharu. Selain itu, pengunjung boleh menaiki kapal terbang, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan bas ekspres.
Pasar Besar Siti Khadijah terletak di tengah-tengah bandar Kota Bharu dan mudah untuk dikunjungi walaupun anda pertama kali ke sini.
* PAHANG
Strawberi, bunga segar jadi pilihan
MENIKMATI keenakan strawberi bagaikan satu kemestian kepada pengunjung Cameron Highlands.
Buah strawberi segar boleh di beli sama ada di ladang atau pasar yang dijual dengan harga sangat berpatutan.
Di samping membeli buah strawberi segar anda juga boleh membeli produk lain berasaskan strawberi seperti halwa atau jem.
Selain strawberi, golongan wanita jangan lepaskan peluang membeli bungaan segar yang dijual pada harga yang sangat murah.
Bagi yang minat bercucuk tanam di Cameron Highlands juga banyak terdapat jualan anak pokok bunga atau buah-buahan.
Bagaimana ke sana
Jika anda memandu dari Kuala Lumpur, susur keluar di Simpang Pulai dan ambil masa tambahan selama 45 minit sebelum sampai di utara Tapah dari Lebuhraya Utara-Selatan.
* JOHOR
Pasu Air Hitam rekaan terkini
BERKUNJUNG ke Air Hitam, pengunjung pasti terpukau dengan kecantikan pasu bunga dengan pelbagai corak dan reka bentuk menarik.
Air Hitam sememangnya terkenal dengan jualan pasu seramik berkualiti yang sesuai dijadikan cenderahati untuk dibawa pulang.
Pasu seramik yang pelbagai saiz bukan saja sesuai untuk hiasan tetapi menjadi pilihan kepada mereka yang merancang melangsungkan perkahwinan sebagai bekas telur.
Selain pasu, terdapat banyak pilihan barangan untuk dijadikan cenderamata di sini antaranya bekas bunga, bingkai gambar dan bekas habuk rokok.
Di sini juga terjual anak patung, bunga plastik, buah-buahan serta makanan tradisional.
Bagaimana ke sana
Dari Kuala Lumpur sila ambil Lebuhraya Utara Selatan ke arah Johor Bahru dan untuk ke Air Hitam anda perlu memasuki Air Hitam/Kluang. Jarak ke Air Hitam adalah hampir 250 kilometer.
* MELAKA
Kaya barangan antik
BAGI pencinta barangan antik berkunjunglah ke Jalan Hang Jebat atau Jalan Jonker adalah lubuk barangan antik, pusat galeri seni, barangan kraftangan hinggalah kepada terompah kayu yang sangat tinggi nilainya dan masih kekal berniaga di situ.
Jangan ketinggalan untuk berjalan di laluan pejalan kaki yang sudah di naik taraf di tepi kedai di sepanjang Jonker Walk, di samping meninjau setiap kedai yang menawarkan pelbagai barangan unik dan kreatif. Jika anda bernasib baik, pasti ada saja barangan yang sukar ditemui dapat dibeli dengan harga berpatutan.
Bagaimana ke sana
Jonker Street terletak di tengah bandar Melaka dan tidak sukar untuk ke sini walau di mana andamenginap di negeri ini.
* KUALA LUMPUR
Semua ada di Pasar Seni
DENGAN kedudukan sebagai ibu negara, Kuala Lumpur juga menjadi lokasi kepada kebanyakan usahawan dari seluruh negara memasarkan hasil perusahaan mereka.
Jika anda memilih untuk membeli kraftangan sebagai cenderahati berkunjunglah ke Pasar Seni kerana di sini empat terkumpulnya pelbagai jenis hasil seni dan kraftangan tradisional dari Malaysia dan negara serantau.
Bukan itu saja, Pasar Seni turut menjadi lokasi buat pelukis tempatan melakukan hasil seninya dan kemudian memaparkan hasil lukisan mereka kepada orang ramai.
Bagaimana ke sana
Anda boleh menggunakan pengangkutan awam termasuk Putra LRT iaitu stesen Pasar Seni yang terletak bertentangan dengan Pasar Seni.
* NEGERI SEMBILAN
Kilauan kristal Rembau
RAMAI yang tidak mengetahui bahawa Negeri Sembilan mempunyai produk kristal bermutu yang dihasilkan di Rembau.
Anda boleh memiliki kristal dengan berkunjung ke Kompleks Perkampungan Kristal terbesar di Rembau yang menghasilkan produk seperti lampu meja, barang perhiasan kristal, pinggan mangkuk, aksesori dan banyak lagi. Produk kristal di sini diperbuat mengikut piawaian antarabangsa.
Perkampungan kristal ini juga menjadi pusat bagi remaja tempatan mempelajari cara membuat kristal, selain membuka peluang untuk menjual hasil kraf tangan mereka. Ini turut menjadikan Rembau salah satu destinasi pelancongan terkenal di Malaysia.
Bagaimana ke sana
Dari Lebuhraya Plus, destinasi boleh diakses melalui Lebuhraya Plus di susur keluar Pedas/Linggi dari arah utara dan susur keluar Simpang Ampat dari arah Selatan.
* SELANGOR
Nikmati pelbagai cita rasa kerepek
JIKA ingin membeli kerepek yang enak danmempunyai perisa yang pelbagai kunjungilah Sungai Pelek, Sepang. Ini kerana kerepek yang dihasilkan oleh usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Sungai Pelek di Sepang sememangnya terkenal dan sudah menembusi pasaran antarabangsa.
Dengan berkunjung ke Sungai Pelek juga anda bukan saja dapat membeli kerepek tetapi jugami, tauhu, tempe, kuih cakar ayam dan makanan sejuk beku yang dihasilkan oleh usahawan Bumiputera.
Bagaimana ke sana
Hanya 38 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Kira-kira 150 kilometer dari Kuala Lumpur, bolehmenggunakan Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) keluar melalui Nilaimenghala ke pekan Salak Tinggi dan Sepang. Atau laluan ke Klang-Banting-Morib-Tanjung Sepat - Sungai Pelek.
* SARAWAK
Kehalusan tenunan pua kumbu PUA kumbu amat popular di kalangan pengumpul tekstil dan menjadi tarikan kerana menghimpunkan seni tenun yang seolah-olah menggambarkan suasana mistik, lambang yang begitu simbolik dan garapan seni yang indah di sebalik motif dilakarkan.
Dipercayai dihasilkan etnik Iban sejak lewat 14 Masihi apabila rumah tenun diperkenalkan, dengan peniaga India datang ke Asia Tenggara membawa masuk kapas sebagai alternatif kepada tekstil bagi menggantikan kulit kayu.
Penghasilan pua kumbu turut dimanfaatkan pengusaha kecil di Sarawak dengan mencipta kelainan dari segi rekaan pelbagai jenis beg yang tampak kasual, tetapi ditawarkan dalam harga yang murah dan berpatutan dengan penggunaan pencelup gantian.
Pua Kumbu dihasilkan dalam pelbagai saiz dan bentuk termasuk dijadikan sebagai alas meja, dompet, beg sandang, tas tangan, kusyen, tempat meletak kunci dan menyimpan alat solek serta dijadikan perhiasan rumah.
Bagi pelancong yang ingin mendapatkan ole-ole untuk dibawa pulang, mereka tidak perlu pergi jauh, kerana deretan gerai cenderahati yang menjual pelbagai hasil kraftangan penduduk tempatan terdapat berhampiran tebingan Waterfront turut menjual cenderahati daripada Pua Kumbu.
Bagaimana ke sana
Sarawak Waterfront terletak di tengah Bandaraya Kuching dan mudah untuk dikunjungi bagi pelancong sekali pun pertama kali ke negeri Bumi Kenyalang itu.
* SABAH
Mutiara asli jadi idaman
TIDAK lengkap kunjungan ke Sabah sekiranya tidak membawa pulang perhiasan daripada mutiara dari negeri di Bawah Bayu ini.
Perhiasan diri yang dihasilkan daripada mutiara adalah seperti rantai, gelang, cincin dan kerongsang untuk wanita, manakala butang baju Melayu untuk lelaki.
Istimewanya perhiasan yang dihasilkan mengikut fesyen semasa dan membuatkan si pemakai kelihatan menarik.
Selain membeli mutiara yang sudah siap dihasilkan sebagai perhiasan, pelancong boleh membeli mutiara asli untuk dibawa pulang.
Kebanyakan mutiara dijual di Pasar Kraftangan Kota Kinabalu atau dikenali sebagai Pasar Filipina.
Bagaimana ke sana
Pasar Kraftangan Kota Kinabalu atau pun lebih dikenali sebagai Pasar Filipina di kalangan penduduk dan pelancong adalah satu tempat yang cukup terkenal di Bandaraya Kota Kinabalu. Ia terletak di Jalan Tun Fuad Stephen bertentangan dengan Kompleks Sinsuran.

No comments: