Friday, March 6, 2009

Membeli-belah di Kampung Kraftangan


SUASANA tenang disulami alunan muzik yang tercipta tatkala pelbagai alat kraftangan berlaga sesama sendiri ditiup angin sepoi-sepoi bahasa, menjadikan Kampung Kraftangan di Kota Bharu, Kelantan sebagai destinasi wajib persinggahan pelancong dalam dan luar negara.
Terletak di sebuah perkampungan indah di tengah-tengah kesibukan ibu negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga ini, Kampung Kraftangan menawarkan bermacam-macam tarikan termasuk Muzium Kraf, kedai kraftangan, pejabat pelancongan dan restoran.
Kampung Kraftangan yang terletak Taman Hilir Balai, Kota Bharu turut menawarkan pelbagai jenis barangan kraftangan seperti barangan perak, songket, batik dan ukiran kayu yang boleh didapati di kampung itu dan dipamerkan di ruang legar untuk dijual kepada orang ramai.
Siap dibina pada 9 Mac 1991, tapak bangunan di perkampungan ini pada asalnya adalah bangunan kepunyaan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra sebelum ia dikenali sebagai kampung Kraftangan.
Kawasan perkampungan kraftangan ini suatu ketika dipenuhi dengan rumah setinggan yang kemudian dibersihkan untuk dijadikan taman permainan kanak-kanak sebelum dibangunkan menjadi antara pusat tarikan utama pelancong ke Kelantan.
Kampung Kraftangan beroperasi di bawah Yayasan Kraftangan Kelantan dan dibuka serta disempurnakan perasmiannya oleh Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid pada 27 Julai 1991.
Selain menjual aneka barangan kraftangan unik yang dihasilkan oleh penduduk tempatan itu, Kampung Kraftangan turut memaparkan seni bina bercirikan rumah Melayu tradisional Kelantan dikenali dengan nama `Balai' yang tersergam indah dan pasti memukau pandangan sesiapa yang melihatnya.
Tempat jualan dan pertukangan barangan kraftangan serta batik, seramik dan perak di perkampungan ini disediakan di bangunan yang dinamakan Balai Kenerak, Balai Kecubung, Balai Tapak Leman dan Balai Saga Kenering.
Pastinya, pengunjung akan terpesona kerana berpeluang melihat sendiri proses penghasilan barangan kraftangan serta hasil tangan seperti batik dan seramik yang dihasilkan pengusaha di Kampung Kraftangan yang boleh dibeli dengan harga berpatutan sebaik ia disiapkan.
Uniknya, barangan kraftangan yang dihasilkan di perkampungan ini bukan saja mempamerkan keindahan seni krafnya yang halus, tetapi turut memaparkan nilai sejarah sosio-budaya masyarakat Kelantan yang diwarisi sejak turun temurun.
Tidak hairanlah, pengunjung dari dalam dan luar negara tidak melepaskan peluang dan sanggup berbelanja lebih untuk membeli hasil tangan masyarakat Kelantan di Kampung Kraftangan untuk dibawa pulang sebagai cenderamata kepada keluarga dan rakan.
Selain pusat jualan kraf, antara kemudahan lain yang disediakan kepada pengunjung termasuklah kelas sulaman, kelas lukisan bagi mereka yang berminat mempelajari asas seni membuat sulaman dan melukis, khususnya kepada golongan kanak-kanak dan rombongan sekolah.
Malah, pengunjung tidak perlu pergi jauh untuk mempelajari asas mencanting batik kerana di sini ada pakar yang sanggup memberi tunjuk ajar di samping pengunjung boleh mengambil gambar bagi mengabadikan kenangan menghasilkan rekaan batik ketika kunjungan ke Kelantan.
Pengunjung juga boleh mendapatkan perkhidmatan membuat barangan berasaskan perak termasuk cincin selain melihat cara pembuatan dalam menghasil ketukangan perak yang bermutu tinggi.
Sesuai dengan konsep perkampungan Melayu Kelantan, Kampung Kraftangan pasti teruja menikmati keindahan landskap menarik di perkarangannya yang turut dihiasi pelbagai jenis pokok yang pasti membuatkan pengunjung terlupa hiruk-pikuk bandar Kota Bharu di luar perkampungan itu.
Di samping itu, Kampung Kraftangan tidak sunyi daripada kunjungan ramai terutama pada setiap Sabtu kerana ia turut dijadikan pusat kegiatan kebudayaan dan kesenian oleh agensi kerajaan yang diadakan di ruang hadapan balai ini.
Jika terasa lapar selepas puas menyaksikan keunikan barangan kraftangan di sini, pengunjung boleh menjamu selera dengan menu ala kampung di Restoran Nasi Ulam Cikgu yang diusahakan pesara guru, Abdul Hamid Idris di dalam kawasan perkampungan itu.
Pengunjung pasti akan terkenang-kenang keenakan masakan nasi ulam dengan lauk ikan air tawar seperti patin, jelawat, keli serta ayam goreng berempah yang dinikmati bersama ulam-ulaman yang dicicah dengan makanan kesukaan orang Kelantan iaitu budu.
Info
Kampung Kraftangan
* Dibina di kawasan seluas 5,423 meter persegi
* Diwujudkan sebagai pusat pengembangan industri kraftangan Kelantan
* Dilengkapi komponen seperti bangunan utama iaitu Balai Getam Guri atau dikenali Muzium Kraftangan dan Balai Bayam Peraksi sebagai pejabat Yayasan Kraftangan Kelantan.
* Dibuka dari jam 8.30 pagi hingga 4.45 petang setiap hari kecuali Jumaat.
Bagaimana ke sana?
GUNAKAN Lebuh Raya Karak ke Kuantan sebelum menggunakan jalan dalam melalui Terengganu atau melalui Bentong-Lipis-Gua Musang-Kuala Krai sebelum tiba di Kota Bharu. Selain itu, pengunjung boleh menaiki kapal terbang, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan bas ekspres.

No comments: