Friday, March 6, 2009

Galeri Diraja simpan sejarah

BANDAR Diraja Klang kini menerima nilai tambah baru dalam sektor pelancongan sebaik Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz dibuka pada 19 Oktober lalu.
Ia menjadi tumpuan pelancong bukan sekadar tarikan artifak yang dipamerkan di galeri berkenaan tetapi bangunan itu sendiri yang masih gagah berdiri ketika kawasan sekelilingnya mengalami pembangunan yang pesat.
Bangunan berwarna putih yang akan mencecah usia 100 tahun menjelang 2009 itu dibina ketika pemerintahan Sultan Sir Ala'eddin Suleiman Shah dan pernah menempatkan pejabat pentadbiran kerajaan British, markas tentera Jepun, Pejabat Daerah Klang, Ibu Pejabat Kontinjen Selangor sebelum diambil alih Majlis Perbandaran Klang (MPK) pada 1987.
Selepas beberapa kali bertukar tangan dan fungsi, bangunan lama itu dibaik pulih dan dijadikan galeri yang kini menempatkan sejarah pemerintahan sultan di Selangor terutama Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bagi menghargai jasa baginda sebagai pemerintah Selangor dan jajahan takluknya.
Usaha membaik pulih dan membuka semula muzium ini amat dialu-alukan terutama bagi meningkatkan nilai tambah dalam sektor pelancongan. Apatah lagi sejarah pemerintahan Kesultanan Selangor yang panjang dan melalui pelbagai peristiwa menarik.
Sebelum ini, galeri asal terletak di istana kediaman Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Jalan Kebun, Kampung Jawa, Klang sebelum dipindahkan ke Istana Selangor di Jalan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 8 Ogos 1987.
Pada 21 Mei 1988, Istana Tetamu dijadikan galeri diraja dinamakan Muzium Kenangan sebelum namanya ditukar kepada Galeri Sultan Abdul Aziz sempena nama baginda dan dibuka kepada orang ramai pada 9 Mac 2000.
Selepas baginda mangkat pada 21 November 2001, anakanda baginda, Sultan Sharafuddin Idris Shah meneruskan usaha ayahandanya dengan merancang untuk memindahkan galeri itu dari Kampung Jawa ke Bangunan Sultan Suleiman pada 2002.
Bagaimanapun, kerja pemindahan itu hanya dapat dimulakan pada 2005 selepas mendapat kebenaran kerajaan Selangor pada 13 Februari 2004.
Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menitahkan supaya kerja pembaikan dan menaik taraf bangunan itu untuk dijadikan galeri diraja dilakukan dengan teliti bagi mengekalkan keaslian dan keunikannya.
Apa yang menarik dengan Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz ialah ia menempatkan koleksi Kesultanan Selangor terutama koleksi Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sepanjang hayat dan pemerintahan baginda.
Pengekalan nama galeri itu juga adalah atas titah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu mengenang sejarah hidup, pengorbanan dan jasa ayahandanya yang memerintah Selangor selama 41 tahun.
Galeri seluas 17,000 kaki persegi itu mampu menempatkan kira-kira 1,000 artifak pada satusatu masa, walaupun lebih banyak artifak tersimpan dalam stor, berikutan ruang yang terhad.
Usaha membaik pulih bangunan berusia 99 tahun itu turut mendapat perhatian badan seni bina antarabangsa apabila Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz menerima anugerah Hartanah Malaysia kategori projek khas pada 27 Oktober lalu daripada Pertubuhan Hartanah Antarabangsa (FIABCI) berikutan tahap piawaian yang tinggi dari segi kaedah konservasi, reka bentuk dalaman, perancangan dan pengurusan projek.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said yang melawat galeri itu baru-baru ini yakin galeri itu mampu menjadi pusat tarikan pelancong dari dalam dan luar negara jika ia dipromosikan melalui pakej pelancongan menarik.
Katanya, Galeri Diraja itu yang menyimpan banyak artifak sejarah boleh menarik kunjungan pelancong asing yang menggemari produk pelancongan sedemikian selain ia juga mampu memberikan kefahaman kepada generasi muda mengenai susur galur kesultanan Melayu dan sejarah silam.
"Apa yang dilakukan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah adalah satu pendekatan yang cukup baik, hanya perlu diperbanyakkan orang melawatnya," katanya.
INFO
Antara koleksi peribadi menarik
* Artifak sejarah awal kesultanan, termasuk pakaian dan perkakasan yang digunakan sultan terdahulu, susur galur keluarga diraja, cap mohor dan pemerintah Selangor termasuk ketika kependudukan Jepun.
* Peti muzik besar jenis Hargine yang sering menghiburkan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ketika kecil. Uniknya peti muzik itu dibeli oleh Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah di Port Swettenham (Pelabuhan Klang) pada harga RM1 ketika sesi lelong pada 1928.
* Buku nikah, pen, cincin, hadiah yang baginda terima daripada ketua negara dan keluarga diraja dari negara seluruh dunia.
* Koleksi kamera dan golf serta pingat dan anugerah yang pernah diterima sepanjang hayat Almarhum Sultan Salahuddin.
* Tayangan audio video yang membolehkan pengunjung mendengar rakaman perbualan baginda, sedutan penyerahan Kuala Lumpur dan Putrajaya kepada kerajaan Persekutuan serta pengisytiharan kemangkatan baginda pada 2001.

No comments: