My Followers

Kota Tinggi simpan banyak sejarah Johor Lama

JIKA anda berkunjung ke Kota Tinggi atau dalam perjalanan pulang dari Desaru melalui daerah ini, kenapa tidak singgah sekejap di Muzium Kota Tinggi untuk melihat pelbagai koleksi bahan bersejarah mengenai Kesultanan Johor dari dulu hingga kini.
Muzium yang terletak di bandar Kota Tinggi ini mempamerkan peristiwa mengikut kronologi iaitu sejarah Kesultanan Johor Lama, Institusi Politik dan sosioe-konomi daerah Kota Tinggi meliputi zaman kegemilangan Johor Lama (15291705) hingga sekarang.
Sebaik melangkah masuk, anda disambut oleh suasana di dalam istana yang menggambarkan Sultan Alauddin Riayat Shah 11 (Sultan Johor 11) sedang menerima menghadap Estavo Da Gamma pada 1536 untuk memeterai perjanjian perdamaian.
Anda juga dapat melihat cara hidup masyarakat Johor dari dulu hingga sekarang sekali gus mengimbau kenangan kita ketika kanak-kanak melalui peralatan lama yang digunakan untuk memasak seperti periuk tanah, kendi air, lesung batu, batu giling dan dapur kayu yang hari ini sudah digantikan dengan barangan elektrik.
Muzium ini dibina di Kota Tinggi kerana nilai sejarah yang banyak di sini. Di sepanjang lembah Sungai Johor dekat sini ada banyak bekas tapak pemerintahan kerajaan Johor Lama seperti Kota Johor Lama, Makam Laksamana Bentan, Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Kampung Panchor, Sayong Pinang, Makam Kucing Bertanduk, Makam Kota Tauhid, Kubu Budak, Bukit Seluyut, Makam Bendahara Tun Habab, Makam Cik Siti, Pasir Putih.
Setiap tapak bersejarah ini mempunyai cerita menarik yang diperturunkan dari nenek moyang terdahulu. Paling menarik Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang yang terletak di Kampung Makam, kira-kira tiga kilometer dari bandar Kota Tinggi.
Lagenda Sultan Mahmud Mangkat Dijulang ada ditulis dalam buku Tuhfat al-Nafis. Mengikut ceritanya, Sultan Mahmud Shah 11 yang memerintah pada 1699 mengarahkan Laksamana Megat Seri Rama, juga dikenali sebagai Laksamana Bentan (berasal dari Pulau Bintan) menghapuskan lanun yang menyerang pantai selatan Johor.
Laksamana Bentan meninggalkan isterinya, Dang Anum yang ketika itu sarat mengandung. Dang Anum sangat mengidam makan nangka lalu mengambil seulas nangka yang hendak dipersembahkan kepada sultan.
Ini membangkitkan kemarahan baginda dan memerintahkan Dang Anum dihukum. Dang Anum merayu dan memberitahu anaknya yang mahu memakan buah itu. Sultan mahukan bukti lantas memerintahkan pengawal memotong perut Dang Anum. Alangkah terperanjatnya baginda apabila melihat kesan nangka pada bayi itu.
Apabila Laksamana Bentan pulang dan mendapati isteri serta anaknya mati dibunuh, dia merasa marah dan menyerang sultan ketika sedang dijulang oleh panglima untuk bersembahyang Jumaat.
Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Sultan Mahmud bersumpah manamana orang berketurunan Bentan yang menjejakkan kaki ke Kota Tinggi akan muntah darah hingga mati.
Laksamana Bentan juga mati bersama Sultan Mahmud Syah. Baginda dikebumikan di Kampung Makam, Kota Tinggi manakala Laksamana Bentan di Kampung Kelantan, juga di Kota Tinggi.
Sehingga hari ini, masyarakat masih percaya sumpah itu masih ada dan kebanyakan orang Bentan takut untuk datang ke Kota Tinggi manakala versi lain pula mengatakan sumpahan itu bertahan hingga ke tujuh keturunan.
Makam Kucing Bertanduk juga mempunyai kisah menarik mengenai kucing peliharaan Sultan Mahmud Shah 11. Baginda sangat sayangkan kucing itu yang dikatakan mempunyai tanda atas kepala. Ada sumber mengatakan kucing yang dinamakan `Si Comel' ini suka berjalan meniti dari bumbung ke bumbung dan gemar makan sayur.
Lebih istimewa kucing ini mampu mengesan musuh yang akan datang menyerang Kota Tinggi. Namun, kucing ini mati secara tiba-tiba kira-kira seminggu sebelum baginda mangkat. Sultan Mahmud amat dukacita lalu memerintahkan kucing itu dikebumikan dan dua batu berbentuk bulat diletakkan atas kubur sebagai batu tanda.
Satu lagi makam yang menarik untuk diceritakan ialah Makam Cik Siti Aminah yang terletak di Kampung Temboih di pinggir sungai kota Tinggi juga dikenali sebagai Makam Cik Siti Aminah Tanah Mahsyur atau Cik Siti Jalang.
Cik Siti Aminah adalah seorang wanita yang cantik lagi kaya. Kononnya dia digelar jalang kerana berkahwin sebanyak 99 kali. Peliknya semua suaminya mati sehinggalah dia berkahwin kali ke 100 barulah dapat hidup bahagia dan kekal hingga ke akhir hayat.
Kira-kira 27 kilometer dari bandar Kota Tinggi, letaknya Kota Johor Lama. Sejarahnya bermula pada 1540 apabila Sultan Alauddin Riayat Shah 11 (Raja Johor kedua) berpindah ke Tanjung Batu yang terletak di tepi Sungai Johor.
Baginda mendirikan sebuah kota yang dibina daripada susunan batu kemudian ditambah tanah yang sekarang dikenali Kota Johor Lama. Dengan terbinanya kota ini Kerajaan Johor menjadi sebuah negeri yang kuat hingga dapat mematahkan serangan Acheh beberapa kali.
Sebenarnya, lawatan sehari ke Kota Tinggi sudah memadai untuk membawa kita menyelami peristiwa sejarah yang berlaku beratus ribu tahun dulu. Jadi, berkunjunglah ke Kota Tinggi untuk mengungkap sejarah yang ada di sini.
INFO
Muzium Kota Tinggi
* Waktu lawatan: 9 pagi - 4 petang setiap hari kecuali hari Jumaat
* Masuk percuma
Post a Comment