Friday, March 6, 2009

Terokai keindahan alam laut dalam




KEDUDUKAN Malaysia yang dikelilingi Laut Cina Selatan, Selat Melaka dan Laut Sulu dengan taburan pulau yang indah serta unik menjadikannya lokasi sesuai untuk aktiviti air seperti menyelam dan snorkeling.
Malah, ada lokasi menyelam di negara ini yang diiktiraf antara yang terbaik di dunia. Keunikan terumbu karang dan hidupan marin adalah antara keistimewaan lokasi selam skuba di negara ini. Nah, apa tunggu lagi! Terokailah pulau yang ada di negara sendiri kerana ia mampu memberikan seribu' kenangan manis yang tidak dapat digambarkan oleh kata-kata.

PULAU PERHENTIAN
Pulau Perhentian yang terletak 21 kilometer dari Kuala Besut, Terengganu, adalah syurga kepada penyelam. Kedudukannya yang tersorok menjadikan perairannya rumah kepada lebih 300 spesies terumbu karang dan hidupan akuatik.
Dengan 12 tapak selam di kedalaman kira-kira 20 meter dan perairan yang tenang, `drop dives' di Tokong Laut, `drift dives' di Susu Dara dan cavern dives' di Terumbu Tiga, Pulau Perhentian adalah antara syurga penyelam skuba di rantau ini.
Tapak selam di sini kaya dengan biodiversiti terumbu karang keras dan lembut termasuk `gorgonion', akar bahar, batu karang hitam, `staghorn', hyroid' dan terumbu karang hap.
Jarak penglihatan di sini sekitar 15 hingga 20 meter menjadikan pulau ini sebagai destinasi wajib untuk penyelam.

Cara ke sana:
* Bas ke Kuala Besut atau Jerteh, Terengganu boleh didapati di Hentian Putra, Kuala Lumpur.
* Jika bas berhenti di Kota Bharu, teksi ke Besut disediakan dengan perjalanan kira-kira 45 minit ke Kuala Besut.
* Bagi yang menaiki kapal terbang, boleh menggunakan perkhidmatan Penerbangan Malaysia (MAS), FireFly dan AirAsia ke Kota Bharu kemudian menaiki teksi ke Kuala Besut.
* Kuala Besut adalah jeti utama ke pulau ini. Perjalanan dengan bot laju dan bot lama masing-masing memakan masa 30 dan 90 minit.

PULAU AUR
Terletak di 65 di timur Mersing, Johor adalah antara kawasan dalam Taman Laut Johor yang mempunyai lokasi selam skuba yang tercantik.
Cara ke sana:
* Kebanyakan kedai menyewa peralatan menyelam menguruskan perjalanan ke lokasi selam skuba. Bot boleh diambil di jeti di Mersing atau Sedili. Tempoh perjalanan mengambil masa dua jam.

PULAU SIPADAN
Terletak 35 kilometer dari pekan Semporna, Sabah, Pulau Sipadan adalah syurga kepada penyelam skuba.
Kewujudan ribuan ikan barakuda serta ikan putih (jacks), penyu agar (green turtle), jerung terumbu karang dan puluhan spesies lain yang berenang bebas di dasar laut Sipadan, seolah-olah menanti penyelam untuk bersama-sama menikmati suasana menakjubkan.
Menjadi destinasi kelima selam skuba terbaik dunia, pulau kecil yang terletak hanya lima kilometer panjang dan dua kilometer lebar ini dihuni lebih 3,000 spesies ikan dan 100 terumbu karang mengindahkan lagi pemandangan laut Sipadan.
Pulau Sipadan adalah satu-satunya pulau lautan dalam yang terletak di atas pelantar terumbu karang berteras pasir memuncak di atas cerun dasar lautan dengan kedalaman sehingga 600 meter.
Lazimnya, pelancong yang mahu menjalankan aktiviti selam skuba akan menetap di pusat peranginan di pulau sekitar seperti Pulau Mabul, Pulau Kapalai dan Pulau Makating sebelum ke Sipadan.
Ini kerana pengunjung tidak lagi dibenarkan tinggal lama di situ bertujuan menjaga ekosistem dan kebersihan pulau berkenaan.
Mereka perlu beredar sebelum jam 6 petang atau lebih awal.
Bagi memastikan warisan alam itu terus dijaga dan tidak terjejas oleh kerakusan manusia, dalam sehari hanya 120 penyelam skuba saja dibenarkan meneroka keindahan pulau yang diuruskan Sabah Park.

Cara ke sana:
* Pelancong dari Semenanjung boleh menaiki pesawat AirAsia dan Penerbangan Malaysia yang menawarkan penerbangan terus ke Lapangan Terbang Tawau. Anda boleh menaiki teksi atau bas ke pekan Semporna dan harga tambang bagi bas pelancong adalah berdasarkan harga pakej. Dari pekan Semporna, pelancong harus menaiki bot menuju ke Pulau Sipadan yang akan mengambil masa lebih kurang 40 minit.
Penginapan di sekitar pulau berhampiran Sipadan:

Pulau Mabul
1. Borneo Divers & Sea Sports (SABAH) Sdn Bhd (KKKP 1510)
Tel: +6088 222226
2. Explore Asia Tours Sdn Bhd (KKKP 2941)
Tel: +60 88 230006/254723
3. Seaventures Tours & Travel Sdn Bhd (KKKP 2639)
Tel: +60 88 261669/251669
Pulau Kapalai
1. 484 Bandar Sabindo,
Tel: +6089 765200 (tempahan dan pertanyaan)
2. Pulau Sipadan Resort and Tours Sdn Bhd Block C,
Tel: +6089 673999/674999/675999 (tempahan dan pertanyaan)
Pulau Mataking
1. The Reef Dive Resort & Tours Sdn. Bhd.
Tel: +6089 770022 (tempahan dan pertanyaan)

PULAU PAYAR
Pulau Payar yang diwartakan sebagai Taman Laut terdiri daripada empat pulau iaitu pulau itu, Pulau Kaca, Pulau Lembu dan Pulau Segantang.
Pulau terbabit terkenal dengan pelbagai hidupan marin dan menawarkan lokasi selam skuba terbaik di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
Jika ingin melihat batu karang juga boleh mengunjungi Taman Karang yang terletak di hujung Pulau Payar. Batu karang di sini adalah karang lembut yang tumbuh setempat atau berkoloni pada batu pada kedalaman sehingga 18.3 meter. Uniknya, karang ini tiada rangka berkapur yang keras.
Karang seperti Scleratis mempunyai pelbagai bentuk dengan warna bergemerlapan.
Untuk mengenali Pulau Payar dengan lebih dekat, pengunjung boleh berjalan di sepanjang pelantar yang dibina di sepanjang tepi pantai.

Cara ke sana:
* Taman Laut Pulau Payar terletak di perairan Kedah yang boleh dikunjungi melalui tiga cara iaitu dari Kuala Kedah, Pulau Langkawi atau Pulau Pinang.
* Jika anda berada di Alor Star, lebih baik menaiki bot dari jeti Kuala Kedah berhampiran Marina Kuala Kedah (kira-kira 30 minit menaiki bot laju).

PULAU KAPAS
Walaupun hanya terletak enam kilometer dari tanah besar, Pulau Kapas yang bersebelahan dengan Pulau Gemia turut menjadi pilihan untuk aktiviti selam skuba kerana kehidupan marin yang indah dan menakjubkan selain terumbu batu di kedalaman dari tiga hingga 20 meter.
Cara ke sana:
* Hanya 30 minit menaiki bot dari jeti Marang, Terengganu.

PULAU REDANG
Keindahan Pulau Redang dengan pantai yang memutih dan kejernihan lautnya pasti menggamit setiap pengunjung untuk kembali semula, Dari hanya perkampungan nelayan pulau ini membangun sebagai sebuah pusat tarikan pelancong dalam dan luar negara kerana keunikan pulau yang turut menjadi syurga penyelam.
Terumbu karang di sekitar Pulau Redang ini menjadi rumah kepada ratusan hidupan marin yang menarik dan unik. Gugusan Redang merangkumi Pulau Redang, Pulau Pinang, Pulau Ling, Pulau Ekor Tebu, Pulau Kerengga Besar, Pulau Kerengga Kecil, Pulau Paku Besar, Pulau Paku Kecil dan Pulau Lima.

Cara ke sana:
* Menaiki feri dari jeti Shahbandar Kuala Terengganu yang mengambil masa sejam setengah atau jeti Merang yang mengambil masa 45 minit.

PULAU LANG TENGAH
Pulau Lang Tengah yang terletak kira-kira 22.5 kilometer dari jeti Merang, Kuala Terengganu termasuk dalam gugusan kepulauan zamrud Terengganu menjanjikan pengalaman menyelam yang sangat mengagumkan dan menarik.
Keindahan semula jadi, termasuk hutan yang masih terpelihara dan diisytiharkan sebagai Taman Laut, pulau mempunyai pelbagai lokasi menyelam kaya dengan terumbu karang serta spesies marin yang unik.
Selain keindahan terumbu karang dan pantai di pulau itu, Taman Laut yang mempunyai banyak khazanah marin terutama spesies yu dan todak serta beberapa spesies penyu menarik minat pengunjung ke sini.
Ada 15 lokasi selam skuba di sekitar pulau ini dengan kedalaman 22 meter dan antara yang popular ialah Terumbu Kuning dan Karang Nibong Laut.
Cara ke sana:
* Bot dihantar dari resort untuk mengambil pelancong di jeti Merang. Biasanya perkhidmatan itu disediakan pada sebelah pagi hingga tengah hari. Tempoh perjalanan ke Taman Laut kira-kira 45 minit.
* Dari Kuala Terengganu, teruskan perjalanan ke Merang dan ikut tanda arah jalan ke Kota Bahru-Batu Rakit-Kustem-Sutera Beach dan akhirnya Jeti Merang.
* Dari Johor Bahru/Singapura menggunakan lebuh raya Plus dan keluar di Yong Peng. Guna laluan Labis dan Segamat ke Kuantan dan seterusnya ke Kuala Terengganu.

PULAU LAYANG-LAYANG
Pulau buatan manusia seluas kira-kira dua padang bola sepak itu yang terletak 300 kilometer di utara Sabah kini menjadi tumpuan peminat selam skuba di seluruh dunia.
Asalnya, hanya untaian 13 terumbu karang. Dikenali sebagai Terumbu Layang-Layang. Namanya diperoleh daripada cerita mereka yang pernah singgah menyatakan ada banyak sarang burung layang-layang di sekitarnya.
Pulau kecil ini dilengkapi terusan, jeti dan landasan kapal terbang. Untuk membekalkan tenaga bagi kegunaan penghuninya, kincir angin dibina pada satu bahagian pulau.
Perairan di sekitarnya juga mendapat reputasi sebagai antara 10 destinasi selam skuba tercantik dunia. Keseronokan menyelam pasti bertambah apabila dapat melihat pelbagai kumpulan jerung antaranya yu kabut, jerung putih dan yu sirip hitam.
Ada 12 tapak selam di sini antara lima dan 15 minit dari pusat selam. Kadar penglihatan yang sangat bagus sehingga 20 meter dengan suhu air sekitar 30 darjah selsius menjadikan ia lokasi terbaik menyaksikan khazanah Laut China Selatan.
Menurut mereka yang berpengalaman menyelam di perairan Layang-Layang, pelbagai hidupan dapat dilihat, daripada pelbagai jenis terumbu yang masih terpelihara - terumbu karang gorgonian kipas besar sehingga Nemo, penyu yang bergerak dalam kumpulan besar.
Maklumat lanjut hubungi :
Layang Layang Island
Resort Sdn Bhd
Tel: +603 2162 2877
Emel: res@avillionlayanglayang.com

INFO

Lokasi selam skuba terbaik di Malaysia:

Sabah:
* Pulau Labuan
* Pulau Mabul
* Pulau Mantanani
* Pulau Mataking
* Pulau Tiga
* Pulau Layang-Layang
* Pulau Sipadan
* Pulau Kapalai
* Pulau Lankayan

Johor:
* Pulau Aur
Terengganu

* Pulau Kapas
* Pulau Redang
* Pulau Tenggol (Tenggol Island)
* Pulau Perhentian
* Pulau Lang Tengah
* Pulau Bidong
Kedah

* Pulau Payar (Payar Island)
Pahang

* Pulau Tioman

No comments: