Friday, March 6, 2009

Teroka rahsia rimba Lembah Danum


MENIKMATI keindahan hutan hujan tanah pamah yang masih belum terusik di Pusat Luar Lembah Danum (DVFC), kira-kira 83 kilometer dari barat daya Lahad Datu, Sabah pastinya mampu membuat kita terlupa sebentar dengan kesibukan kerja dan hiruk pikuk kota raya.
Udara segar daripada bau pepohon asli hutan seluas 438 kilometer persegi itu membangkitkan rasa nyaman sambil dihiburkan dengan bunyi-bunyian semula jadi unggas yang menjadi penghuni kawasan itu pasti meninggalkan seribu satu kenangan manis yang tidak dapat dilupakan.
Mengikut risalah yang dikeluarkan Kumpulan Yayasan Sabah, DVFC menyediakan kemudahan untuk penyelidikan, pendidikan alam semula jadi dan rekreasi hutan tanah pamah yang belum terusik.
Ia dikendalikan Kumpulan Yayasan Sabah di bawah naungan Jawatankuasa Pengurusan yang terdiri daripada Jabatan Perhutanan Sabah, Kementerian Pelancongan, Budaya dan Alam Sekitar, Universiti Malaysia Sabah dan agensi lain.
Bertempat di tepi Sungai Segama, sungai yang membentuk sempadan kawasan pemuliharaan terletak 61 kilometer ke arah barat daya Lahad Datu di lokasi yang benar-benar terpencil.
Lembah Danum adalah kawasan tadahan luas yang juga habitat kepada badak sumbu Sumatra, gajah Asia, harimau dahan, kera bangkatan, Orang Utan, ungka, kancil, serta harimau bintang. Ada sebanyak 300 spesis burung yang direkodkan di kawasan ini.
Hutan di sekeliling DVFC di dominasi pokok diteroka dengan ketinggian kanopi setinggi 70 meter di kawasan tertentu. Kira-kira 90 peratus kawasan pemuliharaan diklasifikasi sebagai hutan pamah diteroka manakala selebihnya hutan separa pergunungan bersilara rendah Gunung Danum.
Aktiviti di Lembah Danum pastinya tidak lengkap jika tidak mencuba berjalan di atas titi gantung sepanjang 100 meter di atas pokok yang mencecah ketinggian 40 meter di hutan itu. Bagi yang gayat, pastinya pemandangan dari atas titi gantung mampu melupakan seketika kerisauan berada di tempat tinggi.
Perjalanan di titi gantung itu bermula pada ketinggian 35 meter merentasi Sungai Danum pada jarak 50 meter pertama dan ketinggian titi gantung itu meningkat kepada 40 meter pada laluan 50 meter kedua yang membolehkan pengunjung melihat dengan lebih dekat Hutan Simpan Segama Malua.
Lebih menarik di pertengahan laluan, pengunjung terpaksa mendaki pokok balak yang dikatakan berusia lebih 100 tahun yang dilengkapi tangga besi setinggi lima meter, sebelum meneruskan perjalanan di titi gantung itu.
Pengunjung tidak perlu bimbang ketika melangkah di atas titi itu kerana ia menepati ciri keselamatan ditetapkan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.
Lazimnya, pengembaraan di atas titi itu mengambil masa antara 10 hingga 15 minit, bagaimanapun masa yang lebih diperlukan jika anda mahu merakamkan gambar keindahan alam semula jadi persekitaran destinasi menawan itu.
Pengunjung boleh mendapatkan maklumat mengenai flora dan fauna Hutan Simpan Ulu Segama Malua, termasuk spesies Badak Sumatera yang berhadapan dengan kepupusan yang menjadikan hutan berkenaan sebagai habitatnya.
Lembah Danum mempunyai sebuah ekoresort yang pertama di Sabah iaitu Borneo Rainforest Lodge (BRL). Antara aktiviti yang ditawarkan di sini ialah menjejaki laluan trek dalam hutan, bermandi di sungai, memerhati burung dan meninjau hutan pada waktu malam.
BRL Lembah Danum menyediakan penginapan dalam rimba yang menjanjikan ketenangan kepada pengunjung, termasuk mereka yang memilih untuk meniti di atas titian berkenaan.
Bagaimana ke sana
* Pengunjung boleh menaiki pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) atau Airasia ke Lapangan Terbang Tawau, seterusnya menaiki kenderaan pacuan empat roda ke Lembah Danum, Lahad Datu pada jarak 228 kilometer (km).
* Ada penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Lapangan Terbang Lahad Datu menggunakan pesawat Fokker MasWing atau dari KKIA ke Lapangan Terbang Tawau.
* Bagi mereka yang memilih menggunakan kenderaan pacuan empat roda dari Kota Kinabalu, perjalanan sejauh 500 kilometer mengambil masa kirakira 10 jam.
Tarikan
* Bunga Rafflesia, kolam badak, katak terbang Wallace yang jarang ditemui, labi-labi, cicak hutan, ular kapak, lebih 40 spesies ikan dan lebih 120 spesies mamalia termasuk 10 spesies primat.

No comments: