Friday, March 6, 2009

Ikan bakar menu popular di Melaka


TIDAK lengkap kunjungan anda ke Melaka sekiranya tidak menikmati ikan bakar, yang terkenal sebagai juadah makan malam popular, khususnya di kalangan pelancong tempatan dan luar negara.
Ini kerana, ikan bakar segar yang lazimnya dimakan bersama nasi lemak panas oleh penduduk Melaka sudah pasti meninggalkan kenangan manis, apa lagi jika juadah ini dinikmati bersama ahli keluarga dan sahabat handai di premis yang kebanyakannya dibina berhadapan Selat Melaka.
Pada masa ini terdapat banyak tempat disediakan kerajaan negeri Melaka termasuk menerusi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) serta swasta, semata-mata untuk memastikan pengunjung ke negeri bersejarah itu tidak kecewa.
Antara paling popular adalah Medan Ikan Bakar Serkam yang mula diwujudkan sejak tahun 50-an hingga ke Perkampungan Ikan Bakar Terapung (PIBT) di Umbai Baru - siap dibina pada 2004, pengunjung kini mampu menikmati makanan laut yang segar dengan harga berpatutan.
Sebenarnya, di Melaka, ada berpuluh gerai dan restoran yang menyediakan hidangan ikan bakar dan antara yang paling popular ialah Medan Ikan Bakar Serkam, Medan Ikan Bakar Umbai, Medan Ikan Bakar Anjung Batu, Medan Ikan Bakar Pengkalan Balak, Medan Ikan Bakar Muara Sungai Duyong, Medan Ikan Bakar Alai dan terbaru di PIBT.
Pelbagai menu masakan makanan laut yang menyelerakan sentiasa menggamit pengunjung di semua medan ikan bakar berkenaan, antaranya ikan bakar berlada, ikan masak tiga rasa, ikan kukus, sotong goreng tepung, kupang masam manis dan kerang rebus sambil dimakan bersama nasi lemak yang dibungkus dengan daun pisang.
Gabungan pelbagai masakan tradisional dan moden itu menyebabkan medan ikan bakar berkenaan sentiasa menjadi pilihan bukan saja penduduk tempatan, malah pengunjung dari luar Melaka termasuk golongan korporat dan orang kenamaan.
PIBT yang diuruskan anak syarikat kerajaan negeri, Perbadanan Melaka Holdings (PMH) adalah paling ramai dikunjungi pengunjung khususnya pada hujung minggu dan cuti umum kerana selain mempunyai pelbagai juadah menarik, lokasinya strategik dan kecekapan pihak pengurusan menyediakan pesanan pelanggan.
Letaknya dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, perkampungan ini yang dibina berhampiran pantai nelayan, menyediakan pelbagai jenis juadah makanan laut seperti ikan, ketam, udang, kupang, kerang dan sotong untuk dimakan dengan nasi lemak.
Pengunjung pasti tertawan dengan kelazatan hidangan ikan bakar bersama sos istimewa tiga rasa yang cukup terkenal di kalangan penduduk tempatan selain menikmati makanan tradisional seperti lempeng kelapa, lempeng tepung jagung, lempeng pisang dan ikan pekasam.
Dibuka dari jam 4 petang hingga 12 tengah malam setiap hari, PIBT yang mempunyai 24 gerai semuanya turut menyediakan satu lagi makanan tradisional Melaka iaitu masakan asam pedas.
Di DUN Serkam saja setakat ini ada empat kawasan ikan bakar. Selain PIBT, tiga lagi adalah Medan Ikan Bakar Anjung Batu, Medan Ikan Umbai dan Medan Ikan Bakar Serkam. Satu lagi kawasan yang berpotensi dibangunkan sebagai medan ikan bakar ialah Pantai Siring di Kampung Pulai.
Bagi pengunjung yang gemar dengan konsep dalam taman pula, mereka boleh mengunjungi Restoran Anjung Muara, Permatang Pasir yang letaknya di Muara Sungai Duyong.
Restoran ini berkonsepkan taman Tropika dan alam semula jadi dengan pokok bunga cempaka, kesidang, kenanga dan tanjung yang sudah lama ditanam menghasilkan haruman asli terutama pada sebelah malam. Pokok kelapa dan buluh menjadi penyeri dan air terjun tiruan menceriakan pengunjung.
Pokok yang bermandikan cahaya lampu serta seni binaan warisan Melaka memberi suasana tenang kepada pengunjung di restoran berkenaan. Suasana yang jauh berbeza dengan restoran lain, menjadikan Anjung Muara mesra alam yang biasanya berfungsi menyegarkan fikiran ketika menikmati makanan lazat.
Jadi sekiranya berkunjung ke Melaka, jangan lepaskan peluang untuk menikmati keenakan ikan bakar yang tiada tandingannya.

No comments: