Friday, March 6, 2009

Keindahan pantai pukau pengunjung ke Kudat


BERDIRI di tempat paling hujung di barat laut tanah Borneo sambil menghirup udara laut dengan pemandangan indah pasti satu pengalaman tidak dapat dilupa bagi sesiapa saja yang berkunjung di Tanjung Simpang Mengayau, Kudat.
Lebih dikenali sebagai Tip of Borneo, tanjung yang paling hujung dalam peta Sabah itu terletak kira-kira 200 kilometer dari Kota Kinabalu.
Perjalanan kira-kira tiga jam dari Kota Kinabalu itu pastinya tidak membosankan kerana pengunjung boleh menikmati keindahan panorama dan kejernihan Pantai Kelambu dan Pantai Kalampunian dalam perjalanan menuju ke Tanjung Simpang Mengayau.
Setiba di tanjung itu, pengunjung pastinya terpukau dengan pemandangan yang cukup mempesonakan dengan pecahan batuan pasir yang membentuk pusaran dan bertingkat sesuai untuk diabadikan dalam gambar.
Pengunjung bolehmelihat rumah api di Pulau Kalampunian yang pantainya yang tercantik di Kudat.
Menarik mengenai lokasi itu ialah ia adalah tempat pertemuan Laut China Selatan dan Laut Sulu yang pernah satu ketika dulu menjadi laluan kepada pedagang dari China untuk ke sebelah sini menggunakan tongkang. Difahamkan, banyak tongkang yang karam di dalam laut itu menjadikannya tukun tempat habitat hidupan laut yang menarik dan indah.
Dalam bahasa kaum Rungus, Kudat, Tanjung Simpang Mengayau dikenali dengan nama `Tanjung Sampang Mangazo'. `Tanjung' bermaksud hujung, `Sampang' adalah simpang dan `Mangazo' pula bermakna peperangan.
Bagi kaum Rungus, tempat ini mempunyai makna dan menyimpan sejarah penting buat mereka. Menurut sejarah kaum itu, kawasan ini adalah tapak pertempuran pahlawan Rungus dengan lanun yang sering menyerang perkampungan mereka sekitar abad ke-18 dan 19.
Justeru, mereka menggunakan tanjung ini sebagai kawasan untuk mempertahankan perkampungan mereka dan berjaga-jaga, selain tempat pengawasan kapal-kapal asing yang melalui atau mendarat di kawasan ini.
Sebelum ini, tidak ramai yang mengenali tempat ini, termasuk penduduk Kudat sendiri kerana kedudukannya jauh di pedalaman ditambah dengan ketiadaan kemudahan perhubungan seperti jalan raya ke situ.
Kenderaan pacuan empat roda atau bas diperlukan untuk memasuki Tanjung Simpang Mengayau ini berikutan keadaan jalan rayanya yang masih belum bertar dan kedudukannya terletak dalam kawasan perkampungan terpencil di daerah Kudat iaitu Kampung Loro, Kampung Longgom Kecil dan Kampung Tajau.
Bagaimanapun, kini pengunjung tidak lagi perlu bimbang kerana kerajaan Sabah sudah membina kemudahan infrastruktur di kawasan itu antaranya ruang yang direka khas untuk pejalan kaki, tempat menyaksikan pemandangan, ruang meletak kereta, gerai makanan dan minuman serta tandas awam.
Lebih menarik terdapat kawasan pancang bendera raksasa dan replika bumi (globe) dibina bagi membolehkan pengunjung merakamkan gambar kenangan tetapi kenderaan tidak dibenarkan masuk ke kawasan ini.
Walaupun terpaksa berjalan kaki, tetapi segala tenaga yang digunakan pastinya berbaloi kerana keindahan yang memukau yang pastinya mengamit setiap mata yang memandang.
Selain berkunjung ke Tanjung Simpang Mengayau, pelancong juga boleh singgah di ladang madu lebah di Kampung Gombizau, kilang gong di Kampung Sumangkap dan melawat rumah panjang kaum Rungus.
Nah, apa lagi, jika berkesempatan melawat negeri bawah bayu ini, jangan lupa luangkan masa ke Tanjung Simpang Mengayau kerana keistimewaannya pasti memukau setiap yang berkunjung.
INFO
Tarikan di Kudat
* Perkampungan masyarakat Rungus Kampung Bavanggazo berhampiran Tinangol, Kudat menempatkan rumah panjang masyarakat Rungus yang dibina menggunakan bahan tradisional. Pelancong berpeluang menyelami budaya masyarakat Rungus dan kehidupan seharian mereka.
* Kampung Gombizau
Konsep `satu daerah satu produk' yang diusahakan di pekan Kudat menjadikan Kampung Gombizau sebagai sebuah kampung pengeluar madu. Di sini anda boleh menyaksikan penduduk kampung mengasap lebah-lebah, memungut hasil madu dan menyediakannya untuk dijual.
* Kampung Sumangkap
Terletak kira-kira satu kilometer dari Kampung Gombizau, tempat pengeluaran alat muzik tradisional, gong yang menjadi alat penting dalam semua perayaan etnik Sabah.
* Masa operasi: Setiap hari 8.30 pagi hingga 5.30 petang
* Sumber Sabah Tourism Board Gambar ihsan Sabah Tourism Board

No comments: