Friday, March 6, 2009

Keistimewaan Kuala Perlis


SAJIAN ikan bakar mungkin dianggap biasa di sesetengah tempat. Namun bagi Kuala Perlis, sajian berkenaan dianggap suatu yang unik apatah lagi ia menjadi imej serta tarikan utama pelancong ke kawasan terbabit sejak sekian lama.
Malah, kunjungan ke Perlis dianggap tidak lengkap jika tidak merasai sendiri keenakan menu makanan laut Kuala Perlis, terutama ikan bakar di kawasan medan selera yang dibina khas di pesisir pantai Kuala Perlis, dikenali sebagai Laman Brasmana.
Pendek kata, anda pasti teruja menikmati sajian hasil laut segar yang disediakan, sambil ditemani tiupan angin laut serta deruan ombak yang menenangkan. Tambahan pula, harga bagi setiap hidangan juga berpatutan.
Bagi mereka yang mementingkan kesempurnaan dan suasana romantis, waktu petang sebelum senja dianggap paling sesuai kerana anda berpeluang menikmati keindahan panorama pantai Kuala Perlis yang berlatarbelakangkan pemandangan matahari terbenam.
Tambahan pula, Laman Brasmana ketika ini sedikit lengang dan tidak begitu sesak kerana pengunjung kebiasaannya lebih tertumpu pada waktu malam, terutama bagi mereka yang bercuti bersama keluarga.
Namun, suasana malam tidak kurang hebatnya, kerana tiupan bayu yang dingin akan membangkitkan lagi aroma ikan bakar serta menu sajian lain. Selain itu, gabungan kedinginan malam serta kehangatan sajian laut, pasti meninggalkan kenangan manis pada diri anda.
Bagaimanapun, anda tidak perlu risau dengan jumlah pengunjung yang ramai kerana Laman Brasmana menyediakan pilihan yang mencukupi dengan deretan 20 gerai yang menyediakan pelbagai menu masakan laut dengan citarasa yang berbeza.
Bagi mereka yang inginkan kelainan, menu sampingan turut disediakan di semua 20 gerai terbabit untuk memenuhi permintaan selera pelanggan. Ini termasuk laksa Kuala Perlis yang tidak kurang enaknya, pasembur, mee udang serta masakan panas lain dengan harga berpatutan.
Laman Brasmana terletak betul-betul di hadapan Hotel Putra Brasmana atau kira-kira 50 meter daripada Terminal Feri Kuala Perlis. Ia bukan saja menyediakan pilihan gerai makanan laut, malah turut menempatkan kedai cenderahati serta taman permainan kanak-kanak.
Ruang pejalan kaki turut disediakan di pinggir pantai yang ditambak dan sering menjadi tumpuan kaki pancing. Malah, ia turut menarik minat pelancong untuk menyaksikan panorama indah ketika nelayan keluar mencari siput gayam dan siput kretek di benteng pasir terutama pada waktu pagi dan petang.
Selain sajian makanan laut terutama menu ikan bakar, Kuala Perlis juga terkenal dengan imej perkampungan nelayan, apatah lagi kegiatan berkenaan menjadi antara sumber pendapatan paling utama penduduk kawasan berkenaan.
Ia secara tidak langsung memberikan peluang kepada pelancong untuk bersiar-siar sambil melihat perkampungan nelayan di pinggir pantai, selain melawat Pusat Rekreasi Bukit Kubu yang terkenal di negeri ini.
Malah, kewujudan Terminal Feri sejak 1995 lalu, turut meningkatkan lagi populariti Kuala Perlis, sehinggakan pekan terbabit dianggap sebagai transit paling utama bagi pelancong untuk ke Langkawi.
Ini kerana Kuala Perlis mempunyai kelebihan jarak yang lebih dekat iaitu hanya mengambil masa 45 minit untuk ke Langkawi, berbanding satu jam 15 minit melalui Terminal Feri Kuala Kedah. Selain itu, kedudukan laluannya juga lebih selamat daripada angin kencang dan ombak besar berbanding dari Kuala Kedah, kerana terlindung di sebalik beberapa pulau termasuk Pulau Brasmana, Pulau Panjang dan Pulau Karat di wilayah Thailand.
Cara ke sana
* Dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim terus memasuki Lebuh Raya Utara-Selatan dan menyusuri laluan Lebuh Raya Changlun ke Kuala Perlis yang mengambil masa hanya 45 minit perjalanan.
* Dari bandar Alor Star - masuk Jalan Alor Star-Kangar dan memasuki persimpangan Kuala Perlis kira-kira tujuh kilometer dari Kangar. Perjalanan itu mengambil masa satu jam dengan jarak 50 kilometer.
* Dari stesen teksi dan bas di Kangar ke Kuala Perlis, jarak kilometer.

No comments: