Friday, March 6, 2009

Asyik melihat kerenah burung di Kuala Gula


DIKELILINGI suasana kehijauan, kicauan burung dan unggas menjadikan Kuala Gula di Bagan Serai, Perak antara destinasi terbaik buat pencinta hidupan alam selain menjanjikan pelbagai keistimewaan yang mungkin sukar dialami di tempat lain.
Bersesuaian dengan kawasan yang lebih dikenali sebagai `Santuari Burung Kuala Gula' pengunjung boleh menikmati panorama hutan paya bakau, muara sungai dan pelbagai spesies haiwan yang menghuni habitat tanah lembap.
Malah, mungkin ada yang sukar mempercayai apabila berpeluang untuk melihat `kelibat' ikan lumba-lumba yang turut menghuni perairan sungai air payau itu.
Terletak di lokasi paling utara Hutan Simpan Payau Bakau LarutMatang, Kerian di Perak dengan pelbagai kemudahan termasuk penginapan serta jaringan jalan raya yang baik menjadikan Kuala Gula mudah dikunjungi.
Keistimewaan destinasi itu kerana ia adalah kawasan perlindungan burung terpenting di rantau ini selain dikenali sebagai perkampungan nelayan.
Menjejakkan kaki ke sana membuatkan pengunjung pasti terhibur dengan panorama flora dan fauna terutama kicauan burung dari beraneka jenis, rupa, bentuk dan warna.
Di situ, ada 166 spesies burung dengan 48 daripadanya terdiri daripada spesies burung migran. Kawasan itu juga menjadi tempat kitar hidup harian kepada lebih 60 spesies burung air terdiri daripada Bangau, Pucung, Upeh, Sintar serta burung persisiran Camar.
Malah, di Kuala Gula juga adalah tapak atau lokasi pembiakan burung Pucung Kuak atau turut dikenali `Black-crowned Night-Heron', terbesar di Malaysia. Spesies berkenaan adalah haiwan dilindungi dan memerlukan lesen untuk memburunya.
Apa yang menarik, setiap tahun, lebih 20,000 burung singgah di kawasan perhentian itu termasuk burung persisiran migran yang mudah dijumpai ketika musim sejuk di Hemisfera Utara.
Sesetengah burung pemangsa dan pekaka turut bergantung kepada kewujudan kawasan tanah lembap Kuala Gula itu dan peminat hidupan itu boleh menyaksikan beberapa spesies burung hantu pada waktu malam.
Bagi pengunjung yang berminat untuk meneroka kawasan ekopelancongan di kawasan berkenaan, Persatuan Keindahan Alam Laut Aktiviti Manusia (Kalam) sentiasa bersedia membantu memberi maklumat berhubung keistimewaan Kuala Gula.
Bagaimanapun, pengunjung tidak perlu bimbang kerana ahli Kalam terdiri daripada penduduk tempatan yang sememangnya `pakar' mengenai keindahan serta keunikan penempatan mereka.
Apa yang penting, selain menikmati keunikan mengenali pelbagai spesies burung, melihat keindahan panorama mengasyikkan, pengunjung turut diberi peluang menikmati serta merasai sendiri tradisi kebudayaan perkampungan nelayan di situ.
Pemandu pelancong terlatih serta berpengalaman akan membawa anda menjelajah kawasan tanah lembap di Kuala Gula dan sudi menyediakan perkhidmatan penginapan dan makanan ala kampung yang pasti memuaskan.
Antara aktiviti eko-pelancongan yang ditawarkan di kawasan itu termasuklah lawatan harian atau bermalam, kem kesedaran alam sekitar dan `homestay'.
Turut disediakan pakej istimewa kepada pengunjung, antaranya lawatan berpandu menaiki bot ke kawasan ternakan ikan dalam sangkar, menjelajah hutan bakau dan dataran lumpur untuk memerhatikan burung air dan laut.
Tidak ketinggalan disediakan aktiviti lawatan memancing di persisiran pantai bagi kaki pancing, lawatan ke kilang arang dan kelapa sawit serta lawatan ke kawasan peninggalan sejarah Sungai Buloh, di Pulau Kelumpang.
Apa yang pasti, Kuala Gula antara destinasi pelancongan Malaysia khususnya Perak yang mampu menyajikan pelbagai keindahan flora dan fauna selain menambahkan pengetahuan kepada pengunjung terutama pencinta hidupan spesies vertebrata.
Bagaimana ke sana
* Kuala Gula boleh dikunjungi dari Pulau Pinang melalui Parit Buntar, Bagan Serai dan Kuala Kurau atau Taiping melalui Simpang Empat atau Selinsing.
* Destinasi itu juga boleh dilawati dari Lebuh Raya Utara-Selatan selepas menyusur keluar dari Bukit Merah atau Taiping Utara/Kamunting.

No comments: