Wednesday, December 24, 2008

Teroka laluan Terowong Angin

KEINDAHAN dan keunikan Gua Tempurung di Lembah Tempurung, Gopeng kira-kira 25 kilometer (km) dari Ipoh tidak perlu disangkal lagi kerana keunikan stalaktit dan stalagmit setanding gua di Taman Negara Mulu, Sarawak.

Gua Tempurung setinggi 497 meter adalah satu rangkaian gua batu kapur dan marmar sepanjang dua kilometer dan ia antara gua tertua di dunia dipercayai berusia lebih 400 juta tahun.

Menerokai keindahan gua ini, pengunjung akan disajikan dengan pelbagai `arca' menarik dan unik seperti menyerupai bentuk haiwan hasil pembentukan aliran air semula jadi atau bahasa saintifi knya disebut stalaktit dan stalagmit.

Menariknya, terdapat juga sungai dikenali Sungai Gua Tempurung mengalir deras bawah tanah sepanjang 1.6km dan untuk melaluinya pengunjung perlu melepasi banyak gua kecil dan terowong dipenuhi air dan stalaktit yang tercacak ke bawah hingga terpaksa merangkak dan meniarap.

Gua yang juga dikenali sebagai Gua Perah penduduk tempatan ini mempunyai lima kubah besar yang setiap satu mempunyai siling menyerupai tempurung kelapa yang berbeza di segi stalagmit dan stalaktit, suhu dan kandungan marmarnya.

Lima kubah itu dikenali sebagai Dewan Aliran Batu Emas (Golden Flowstone), Dewan Gergasi (Giant), Dewan Bijih Timah (Tin Mine), Dewan Alam (Universe) serta gabungan Dewan Pahlawan Tumpas (Fallen Warrior) dan Medan Perang (Battlefi eld) dengan ruang kubahnya tidak ubah seperti lobi hotel dengan siling tinggi.

Berdasarkan sejarah, gua ini mula dikenal pasti dalam peta Semenanjung Tanah Melayu- Perak yang dilakar pada 1887 dengan ejaan sebagai `Gunong Tempoo Rong'.

Antara keistimewaan gunung ini adalah terdapat pula kawasan dikenali sebagai Terowong Angin yang membuatkan pengunjung seolah-olah berada di puncak gunung di mana keadaan itu berlaku apabila pertembungan udara panas di luar gua dan udara sejuk dalam gua sehingga menghasilkan wap air.

Bagi pengunjung ingin melihat pemandangan sebahagian gua ini, lokasi diberi nama `Top of the World' pastinya memberi kepuasan kepada mereka menghayati keindahan dan keunikan gua ini.

Selain menyimpan khazanah alam, gua ini turut tercatat dalam sejarah Malaysia yang mana gua ini menjadi tempat persembunyian pengganas komunis pada masa dahulu daripada 1950 hingga 1960.

Kesannya dapat dilihat menerusi lakaran dan tulisan pada dinding gua dipercayai dilakukan anggota komunis selain ada slogan serta lirik lagu yang menyatakan kebencian terhadap tentera Jepun.

Sebelum 1935, aktiviti perlombongan bijih timah dalam skala kecil pernah dilakukan penduduk tempatan dalam gua berkenaan.

Pada 1994, Kerajaan Perak menjalankan kajian kesesuaian dan setahun kemudian melakukan kerja menjadikan gua berkenaan sebagai destinasi pelancongan dengan pembukaan rasminya pada 1997.

Ekspedisi meneroka keindahan Gua Tempurung mengambil masa tiga jam setengah iaitu merentasi perjalanan sejauh empat kilometer dan terbahagi kepada empat jenis ekspedisi iaitu Golden Flowstone (tempat kering), Top Of The World (tempat kering), Top Of The World and Short River Adventure (kawasan basah) dan Grand Tour (kawasan basah).

> Info Zoom

JIKA menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan, keluar melalui Plaza Tol Gopeng dan belok ke kiri menghala ke Kampar.

Kira-kira lima kilometer dari plaza tol berkenaan, akan menemui simpang dan papan tanda menuju ke Gua Tempurung di sebelah kiri.

Jarak dari simpang berkenaan ke gua berkenaan kira-kira dua kilometer.

Kemudahan disediakan

1. Tempat meletak kenderaan yang luas berhampiran pintu gua.

2. Gerai makanan.

3. Kedai serbaneka.

4. Gerai menjual kraftangan dan cenderahati.

5. Tandas dan bilik persalinan.

6. Surau.

7. Kaunter tiket dan penerangan.

* Bagi perjalanan catwalk (perjalanan kering di pelantar), ia membabitkan lawatan di lorong pejalan kaki yang mengambil masa 40 minit dengan bayaran RM6 bagi dewasa, RM2.50 (kanak-kanak), RM3 (warga emas).

* Pakej lawatan Top of The World ialah lawatan selama satu jam 45 minit menjelajah bahagian menarik dalam gua dengan perjalanan mulai pintu masuk gua sehingga ke stesen pelantar lima (Dewan Gergasi) dengan bayaran RM9 (dewasa), RM4.50 (kanak-kanak) dan RM3 (warga emas) yang membabitkan perjalanan catwalk & menyusuri sungai bawah tanah (perjalanan basah).

* Pakej lawatan Top of The World & Short River Adventure pula adalah aktiviti berkumpulan yang mencabar dalam perjalanan sejauh dua jam 30 minit yang meliputi perjalanan sejauh 2.4 kilometer menjelajah pelbagai laluan berliku, termasuk menyusuri anak sungai dengan bayaran dikenakan ialah RM11 (dewasa), RM6 (kanak-kanak), RM6 (warga emas).

* Pakej lawatan Grand Tour adalah ekspedisi berkumpulan paling mencabar dengan perjalanan berjalan kaki sejauh 3.8 km sehingga ke pelantar 10 sebelum cabaran diteruskan dengan aktiviti menyusuri anak sungai yang mengambil masa selama tiga jam 30 minit dengan bayaran RM22 (dewasa), RM11 (kanak-kanak), RM6 (warga emas).

No comments: