Wednesday, December 24, 2008

Tarikan Pantai Bagan Lalang

TIDAK dinafikan penstrukturan semula harga minyak dirasai semua pihak. Bagaimanapun, ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk tidak keluar bercuti dan merehatkan fikiran sambil menikmati keindahan negara sendiri.

Tanpa memerlukan belanja yang banyak, marilah kita berkunjung ke Pantai Bagan Lalang, Sepang, Selangor yang hanya terletak kira-kira 40 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

Perjalanan menaiki kereta lebih sejam dari ibu kota melalui Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) memasuki Nilai menghala ke Salak dan seterusnya ke Sepang tentunya tidak membosankan kerana pemandangan kiri kanan jalan yang dipenuhi ladang kelapa sawit terbentang luas, dusun buah-buahan, sesekali melalui kawasan kampung yang damai.

Lebih menarik, jika singgah seketika membeli buah pitaya (buah naga) yang banyak di jual sepanjang perjalanan ke Pantai Bagan Lalang berikutan terdapat ladang di kiri kanan jalan terutama apabila memasuki daerah Sepang.

Malah, jika musim buah-buahan, pelancong juga berpeluang membeli buahbuahan tempatan yang segar seperti durian, rambutan dan manggis dari dusun kampung sepanjang perjalanan ke pantai itu.

Selain itu, pengunjung boleh mengambil jalan singkat ke Litar Formula Satu Sepang, melintasi beberapa ladang kelapa sawit, sebelum mencari jalan ke pekan Sungai Pelek.Pantai terbabit berdekatan dengan pekan yang popular dengan produk kuih tradisional masyarakat Melayu Jawa.

Nama saja Sungai Pelek, tetapi jangan terkejut sekiranya anda tidak menemui sungai di sini. Menurut cerita masyarakat setempat, pekan ini mendapat nama daripada sungai yang tidak mempunyai hulu atau muara.

Sebaik tiba di pantai itu, pengunjung pasti terpegun dengan keindahannya dengan pasir memutih dan hembusan angin yang mendamaikan.

Dengan pelbagai kemudahan yang disediakan di sepanjang pantai seperti deretan kedai makan, tandas awam dan tempat letak kenderaan, membuatkan pengunjung rasa selesa berada di kawasan itu.

Bagi mereka yang gemar memasak secara barbeku, hembusan angin lembut tanpa henti pastinya memudahkan pengunjung menghidupkan api serta memasak bekalan yang dibawa.

Selepas penat bermandi manda di laut, bagi yang membawa anak-anak tentunya tidak mahu melepaskan peluang bermain layang-layang atau menaiki kuda padi yang boleh disewa di kawasan berhampiran. Pantai Bagan Lalang turut menjadi pilihan kepada kaki pancing untuk mencuba nasib.

Sebelum giat dipromosikan sebagai destinasi pelancongan pada awal 1990-an, pantai bersempadan paya bakau ini sudah lama meniti populariti dengan keenakan makanan laut.

Jika berpeluang menginap di resort dan chalet di sepanjang pantai itu, pengunjung boleh menikmati keenakan masakan makanan laut yang segar di restoran dan gerai makan di sepanjang pantai itu di sebelah malam.

Dalam perjalanan pulang, singgahlah ke House of Kerepek, galeri seni yang mempamerkan hasil kerja pelukis tempatan. Gerai sama turut menjual pelbagai makanan tradisi buatan masyarakat setempat.

Kira-kira 25 kilometer dari Pantai Bagan Lalang pula, pengunjung berpeluang melihat dengan lebih dekat perkampungan tradisional nelayan Cina. Selain itu, pengunjung boleh melihat sendiri nelayan menaikkan ikan yang baru ditangkap di jeti di pekan kecil itu.

Puas meronda di kawasan Tanjung Sepat, pelancong boleh meneruskan perjalanan ke Morib yang terletak kira-kira 20 kilometer dari pekan kecil itu.

Pantai perkelahan yang terkenal itu, turut mempunyai pelbagai kemudahan seperti hotel, padang golf, rumah rehat, tandas awam, gerai makanan dan kemudahan asas lain.

Nah, apa lagi, tanpa memerlukan belanja yang besar, terokailah keindahan pantai di Selangor.

> Info Zoom

Bagaimana ke sana? GUNAKAN Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) memasuki Nilai menghala ke Salak-Sepang-Sungai Pelek-Bagan Lalang. Atau laluan Putrajaya-Dengkil-Salak-Sepang-Sungai Pelek-Bagan Lalang atau menggunakan laluan ke Banting-Morib-Tangjung Sepat-Bagan Lalang.

No comments: