Wednesday, December 24, 2008

Kolam rawatan terapeutik

PEMANDANGAN hijau dikelilingi bukit-bukau menggamit hati pengunjung untuk singgah di Taman Rekreasi Air Panas (TRAP) di Felda Sungai Klah, Sungkai, Perak.

Kawasan pelancongan yang dibuka pada akhir 2003 merangkumi kawasan persinggahan dan perkelahan seluas 6.5 hektar itu semakin mendapat tempat di hati pengunjung sebagai destinasi pelancongan perlu disinggahi di negeri ini.

Taman rekreasi yang dibangunkan dengan kos melebihi RM6 juta oleh Felda Plantation Resort Sdn Bhd (FPRSB) itu menarik kunjungan ratusan ribu pelancong dari dalam dan luar negara setiap tahun.

Tarikan utama pelancong TRAP adalah kolam air panas bertaraf dunia yang dibangunkan di taman rekreasi itu. Sumber alam itu diperoleh daripada aliran air panas dari perut bumi dan air sejuk dari banjaran gunung berdekatan.

Kolam air panas utama dibangunkan sebagai lembah sungai di kelilingi taman dan pancuran air buatan manusia selain beberapa kolam khusus untuk rawatan terapeutik dengan suhu dikawal antara 30 hingga 43 darjah selsius.

Sebaik menjejakkan kaki ke taman rekreasi ini, pengunjung berpeluang meneroka aliran air panas melalui laluan pejalan kaki yang disediakan di samping merasai suasana sauna semula jadi di sekelilingnya.

Satu lagi aktiviti popular di kalangan pengunjung adalah merebus telur di satu kawasan disediakan khas dengan suhu air setinggi 102 darjah selsius serta menikmati telur rebus tidak sampai lima minit sambil berkelah.

Bagi pengunjung yang ingin bersantai bersama keluarga atau rakan, mereka boleh berehat di pondok yang disediakan di sekitar taman rekreasi ini.

Pondok rehat dilengkapi tempat duduk dan restoran ala gua batu memberi kemudahan kepada pengunjung bersantai, selain menara bagi meninjau keselamatan pengunjung yang mandi-manda.

Pengunjung juga berpeluang melihat tanaman herba dan pokok buah-buahan di sekeliling kawasan taman rekreasi antaranya Tongkat Ali, duku, langsat, manggis dan durian.

Selain itu, pengunjung yang mahu bersendirian, boleh menggunakan lima jakuzi panas dengan sewa RM25 dan RM50 sejam manakala perkhidmatan urut disediakan pada hujung minggu dan cuti umum dengan bayaran RM20 hingga RM45 sejam.

Kini taman itu menjadi antara tempat kunjungan popular masyarakat tempatan dan pelancong luar negara menikmati air panas semula jadi yang baik untuk kesihatan dan minda.

Kemudahan penginapan juga disediakan oleh Trolak Country Resort bagi mereka yang ingin menginap di kawasan taman rekreasi berkenaan dan bagi mereka yang suka menjalankan aktiviti perkhemahan, pihak FPRSB juga menyediakan pakej perkhemahan, ekspedisi sungai dan merentas hutan.

Terbaru, TRAP membuka kolam air mata gunung yang dialirkan dari Banjaran Titiwangsa.

Air gunung yang dingin itu dialirkan terus ke kolam sejauh dua kilometer dari banjaran berkenaan sebelum melalui proses penapisan.

Kolam berkenaan yang mempunyai kedalaman sehingga 1.3 meter itu dengan lantai landai seakan-akan ombak laut yang menjanjikan keseronokan kepada pengunjung terutama kanak-kanak.

Jika pengunjung mahukan kelainan, mereka boleh singgah ke perkampungan Orang Asli di Kampung Tesong untuk mempelajari budaya dan cara hidup kaum itu dengan lebih mendalam.

> Info Zoom

* Dibuka jam 7 pagi hingga 10 malam setiap hari.

* Bayaran masuk RM3 untuk dewasa dan RM 1.50 untuk kanak-kanak dari Isnin hingga Jumaat.

Hujung minggu RM5 (dewasa) dan RM1.50 (kanak-kanak).

No comments: