Wednesday, December 24, 2008

Taman Negara Bako unik

PEMILIHAN Taman Negara Bako sebagai garisan penamat program realiti televisyen Amazing Race Asia 1 pada Februari tahun lalu membuktikan keunikan dan kelebihan taman negara tertua di Sarawak itu.

Taman Negara Bako menggabungkan laut, pantai, paya, hutan dan tanah tinggi serta kepelbagaian fauna dan flora menjadikannya tidak stereotaip dan menarik.

Mula diwartakan sebagai taman perlindungan pada 1957 yang mempunyai keluasan seluas 2,727 hektar di hujung tanjung Muara Tebas dan antara taman negara terkecil di negeri ini.

Sedekad lalu, kawasan itu tempat penduduk asli di Kampung Bako berkebun dan menanam buah-buahan seperti cempedak dan rambutan, selain kawasan berkenaan dikenali sebagai lubuk menangkap ikan.

Taman Negara Bako semakin popular menerima kunjungan kira-kira 30,000 pelancong setiap tahun dengan 70 peratus pelancong asing.

Taman Negara Bako diliputi ekosistem hutan terdiri hutan bakau, paya, kerengas, hutan campuran diptrocap, hutan paya gambut dan rumput dengan mengandungi semua jenis spesies tumbuhan yang terdapat di Borneo.

Terdapat 600 spesies tanaman bunga, termasuk 49 spesies orkid, 267 spesies haiwan, termasuk 30 spesies mamalia, 34 spesies kelawar, 24 spesies reptilia dan 16 amfi bia, selain 196 spesies burung, termasuk jenis migratory dari Siberia dan China.

Bako sebuah taman rakan pelawat yang lengkap dengan pelbagai kemudahan menarik dengan reka bentuk unik bagi membolehkan pengunjung menikmati sepenuhnya keindahan alam semula jadi.

Keistimewaan taman negara ini memiliki 18 denai yang dikod warna menawarkan pilihan pengembaraan mudah dan sukar, bermula dari pejabat taman negara di Telok Assam.

Denai berkenaan ialah Tanjung Sapi, Telok Paku, Ulu Assam, Telok Delima, Telok Pandan Besar, Telok Pandan Kecil, Serait, Lintang, Tajor, Tanjung Rhu, Bukit Keruing, Paya Jelutong, Bukit Gondol, Ulu Serait, Telok Sibur, Telok Limau, Telok Keruin dan Pa'Amit.

Bagi mereka ingin menikmati kehijauan alam semula jadi boleh melaluinya sendiri dengan denai paling dekat iaitu Tanjung Sapi, Telok Paku, Ulu Assam yang mengambil masa antara setengah jam hingga satu jam setengah perjalanan.

Apa yang menarik sebaik sahaja menyusuri laluan pejalan kaki di sepanjang denai berkenaan, kelibat monyet Proboscis yang dikenali `Orang Belanda' yang jinak, namun sudah biasa dengan kehadiran manusia.

Bagaimanapun, bagi pengunjung suka cabaran dan gemar pengalaman melakukan ekspedisi boleh meneroka alam semula jadi yang penuh halangan dengan menjejaki Telok Limau yang jaraknya 5.75 kilometer, mengambil masa tujuh jam berjalan kaki.

Penerokaan denai ini menjanjikan pengalaman penuh cabaran dengan pendakian hutan hujan curam, licin dan laluan yang sukar. Namun apabila berada di puncak, kepuasan akan dirasai apabila menyaksikan tanah lapang dipenuhi batu kapur ditumbuhi pokok rendah dan menatap keindahan Muara Tebas dari puncak.

Bagi yang memilih untuk bermalam, mereka berpeluang menyaksikan pelbagai hidupan pada lewat senja dan malam termasuk pelanduk, tenggiling, tupai terbang, babi hutan, musang, kelawar dan kera.

Di kawasan taman ini juga disediakan satu ruang khas bagi tujuan perkhemahan.

Banyak pemandangan indah dan menarik boleh dinikmati di taman ini dengan garisan pantai tohor dilitupi teluk serta struktur batu kapur dan batu pasir turut menjadi tumpuan dengan keunikan keindahan pantai seperti Telok Pandan Kecik seakan-akan landskap di Australia.

> Cara ke sana

* Menaiki bas Petra Jaya nombor 6 iaitu kira-kira 37 kilometer dari Kuching dengan tambang RM2 (sehala) dan berhenti di perkampungan nelayan Bako.

* Mengambil masa kira-kira 40 minit.

* Menumpang bot dari Kampung Bako ke Taman Negara Bako memakan masa 30 minit.

* Seorang hingga lima orang (sehala) dikenakan tambang RM47 dan RM94 untuk pergibalik. Jika lebih lima orang (sehala) dikenakan tambang RM9 seorang, dan pergi balik RM19 seorang.

Bayaran Masuk

* Dewasa (seorang) RM10

* Pelajar/warga emas/ orang kurang upaya RM5

* Kanak-kanak percuma Penginapan

* Rumah rehat antara RM78 hingga RM158

* Asrama RM42

* Khemah (18 tapak) - RM5 seorang

Kemudahan am

* Tempat rekreasi/perkelahan, tandas awam, pondok rehat, denai hutan, kawasan ibu pejabat taman dibekalkan dengan kemudahan elektrik 24 jam, rumah rehat, chalet, asrama dan kantin, pusat pendidikan, bilik video dan pusat penerangan.

No comments: