Wednesday, December 24, 2008

Persinggahan burung hijrah

MEMPUNYAI 166 spesies burung dengan 48 daripadanya adalah burung hijrah serta dikelilingi persekitaran menghijau suasana mata memandang sudah cukup menjadikan Santuari Burung Kuala Gula antara destinasi terbaik bagi pencinta hidupan alam semula jadi.

Kuala Gula terletak di Bagan Serai, Perak, memiliki persekitaran cukup damai dan menyajikan pemandangan indah hutan paya bakau, muara sungai dan selain burung.

Jaringan jalan raya baik serta berada dalam kawasan perkampungan nelayan yang memiliki pelbagai kemudahan termasuk penginapan menjadi elemen penting menarik kunjungan pelancong ke kawasan ini yang terletak di utara Hutan Simpan Paya Bakau Larut-Matang, Kerian.

Bagi pengunjung bertuah, mereka berpeluang menyaksikan kelibat ikan lumbalumba yang turut menghuni perairan sungai air payau.

Santuari Burung Kuala Gula ialah kawasan perlindungan burung terpenting di rantau ini dan pengunjung pasti tertarik dan terpesona dengan panorama flora dan fauna terutama kicauan burung pelbagai jenis, rupa, bentuk dan warna.

Kawasan itu juga menjadi tempat kitar hidup lebih 60 spesies burung air terdiri daripada bangau, pucung, upeh, sintar dan camar.

Kawasan itu juga menjadi habitat atau lokasi pembiakan burung `Black-crowned Night-Heron' atau lebih dikenali Pucung Kuak, iaitu terbesar di Malaysia.

Setiap tahun lebih 20,000 burung daripada pelbagai spesies singgah di Santuari Burung Kuala Gula termasuk burung persisiran migran yang mudah ditemui ketika musim sejuk di Hemisfera Utara.

Sesetengah burung pemangsa dan pekaka turut bergantung kepada kewujudan kawasan tanah lembap Kuala Gula itu dan peminat hidupan itu boleh menyaksikan beberapa spesies burung hantu pada sebelah malam.

Bagi pelancong berminat meneroka kawasan ekopelancongan, mereka boleh mendapatkan maklumat daripada Persatuan Keindahan Alam Laut Aktiviti Manusia (Kalam).

Pengunjung turut diberi peluang menikmati serta merasai sendiri kebudayaan perkampungan nelayan di situ.

Pemandu pelancong berpengalaman akan membawa pengunjung menjelajah kawasan tanah lembap di Kuala Gula dan menyediakan perkhidmatan penginapan dan makanan ala kampung yang menyelerakan.

Antara aktiviti ekopelancongan ditawarkan termasuk lawatan harian atau bermalam, kem kesedaran alam sekitar dan `homestay'.

Selain itu, pakej ekopelancongan lain turut disediakan ialah lawatan menaiki bot ke kawasan ternakan ikan dalam sangkar, menjelajah hutan bakau dan dataran lumpur untuk memerhatikan burung air dan laut.

Tidak ketinggalan disediakan aktiviti memancing di persisiran pantai bagi kaki pancing, lawatan ke kilang arang dan kelapa sawit serta lawatan ke kawasan peninggalan sejarah Sungai Buloh di Pulau Kelumpang.

> Info Zoom

* Kuala Gula boleh dikunjungi dari Pulau Pinang melalui Parit Buntar, Bagan Serai dan Kuala Kurau atau Taiping melalui Simpang Empat atau Selinsing.

* Destinasi itu juga boleh dilawati dari Lebuh Raya Utara-Selatan selepas menyusur keluar dari Bukit Merah atau Taiping Utara/ Kamunting.

No comments: