Wednesday, December 24, 2008

Tarikan nasi kandar Pulau Pinang 24 jam

PULAU Pinang bukan saja dikenali sebagai destinasi pelancongan menarik dan pusat belibelah, tetapi turut dikenali sebagai syurga pelbagai jenis makanan yang enak dan lazat.

Sebut saja apa jenis makanan dan minuman yang anda inginkan pastinya akan diperoleh bermula dari Georgetown hingga ke Balik Pulau, Teluk Bahang dan Batu Feringghi mahupun Seberang Prai.

Kepelbagaian restoran yang tumbuh bak cendawan memperlihatkan pelbagai pilihan boleh dilakukan orang ramai disebabkan Pulau Pinang atau lebih sinonim dengan panggilan Pulau Mutiara adalah pusat pertembungan ramai bangsa.

Budaya dan tradisi sejak ratusan tahun lalu ketika Kapten Francis Light mengubah pulau yang dipenuhi pokok bakau, berembang, api-api dan nipah menjadi bandar pelabuhan terkenal.

Selain nasi kandar yang begitu terkenal kerana adunan rempah kari pekat dan lazat, terdapat juga nasi dalca, nasi beriani dan nasi ayam tandoori yang menawarkan cita rasa tersendiri.

Oleh kerana makanan ini begitu popular, ada beberapa restoran dan gerai nasi kandar di Georgetown mahupun Seberang Prai beroperasi 24 jam dengan pengunjung yang tidak pernah putus sehingga dinihari.

Lauk-pauk juga pelbagai, malah ada yang mempunyai nama pelik seperti ayam goreng negro yang kelihatan hitam seperti terbakar hangus kerana bersalut kicap, tetapi enak apabila dimakan.

Jenama nasi kandar ini bermula antara 1950 hingga 1960-an berikutan kewujudan restoran India Muslim seperti Dawood di Lebuh Queen, Hameediah (Lebuh Campbell), Kapitan (Lebuh Chulia) dan Kassim Mustapha (Lebuh Pantai) malah tidak lupa restoran Line Clear di Jalan Penang.

Bagi yang pertama kali datang ke Pulau Pinang pastinya tidak akan melepas peluang menikmati nasi kandar Line Clear yang cukup popular dan dikira sebagai `champion' dari segala restoran nasi kandar yang ada.

Untuk yang ingin bersarapan pastinya akan tercari-cari mana letaknya kedai roti canai Jalan Argyll dan sekiranya ingin membuat pesanan roti telur dengan daging atau ayam pedas pastinya melazatkan.

Walaupun kedainya di tepi jalan, tempat ini sentiasa penuh pada waktu pagi termasuk tumpuan golongan orang kenamaan dan artis terkenal yang tidak pernah melepaskan peluang berkunjung ke sini.

Untuk juadah makan tengah hari pula pelbagai pilihan boleh dilakukan pengunjung sama ada juadah nasi kandar atau nasi padang Sumatera dan nasi campur di Jalan Perak.

Suasana malam pastinya akan meriah apabila orang ramai menikmati sup Hameed di Jalan Penang dan sebut saja jenis sup termasuk torpedo, ayam, daging, perut, urat dan kambing.

Bagi yang inginkan makan malam yang lebih teratur dengan masakan kari kepala ikan atau masakan ala Thai bolehlah mengunjungi Restoran Pen Mutiara di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Batu Maung.

Untuk penggemar laksa Pulau Pinang, pastinya boleh didapati di Persiaran Gurney atau Laksa Buyung di Balik Pulau mahupun di Batu Feringghi selain keenakan ikan bakar pula bolehlah mengunjungi restoran di Teluk Tempoyak.

No comments: