Wednesday, December 24, 2008

Batu Feringghi tumpuan ramai

KATA orang, tidak lengkap percutian ke Pulau Pinang jika tidak singgah ke Batu Feringghi.

Tidak hairanlah bagi mereka berhasrat menginap di Batu Feringghi ketika musim cuti panjang seperti sepanjang Disember, perlu membuat tempahan seawal dua atau tiga bulan bagi mengelak kempunan.

Ini kerana pada musim itu adalah sukar mendapatkan hotel yang menjadi idaman anda sekiranya lewat membuat tempahan meskipun anda mempunyai wang bertimbun kerana kebiasaannya sudah habis ditempah.

Apakah sebenarnya keistimewaan Batu Feringghi? Yang pasti, istimewanya Batu Feringghi bukan saja kerana memiliki banyak pantai percutian memikat seperti Pantai Miami tetapi juga menjadi `syurga' beli-belah yang menyeronokkan.

Di sebalik kejadian tsunami pada Disember 2004 yang melanda sebahagian kecil kawasan Batu Feringghi, laut di kawasan ini adalah paling selamat dan cukup indah.

Ini kerana pantai di Batu Feringghi berbentuk rata dengan pelbagai jenis pasir daripada pasir halus yang cukup `memanjakan' kaki sehinggalah berbentuk kerikil kecil yang indah untuk dijadikan hiasan.

Bagi mereka yang ke Batu Feringghi juga tidak pernah sunyi apabila pada pagi dan siang, anda dapat melihat begitu ramai pelancong dalam dan luar negara berjalan dan mandi laut.

Bagi peminat sukan air pula, banyak aktiviti sedemikian ditawarkan di kawasan tertentu di sepanjang Batu Feringghi seperti jet ski, bot laju, permainan air dan berkuda.

Pada sebelah malam pula, anda tidak perlu risau akan berasa bosan kerana terlalu banyak aktiviti ditawarkan di sepanjang Batu Feringghi daripada membeli-belah, makanan dan juga pusat hiburan.

Malah, ramai beranggapan kawasan Batu Feringghi adalah yang paling meriah daripada kawasan lain di Pulau Pinang seolah-olah berlangsung pesta pada setiap malam.

Di sinilah kita dapat melihat aneka barangan `berjenama' dijual dan tugas anda adalah perlu pandai tawar menawar.

Pengunjung juga boleh mendapatkan pelbagai kraftangan tempatan, fabrik batik, selipar, topi, barangan perhiasan rumah seperti lampu serta dan pelekat bermagnet yang bercirikan Pulau Pinang.

Mengenai harga pula, janganlah segan untuk tawarmenawar.

Sudah menjadi adat di mana-mana kawasan pelancongan di dunia, jangan mudah terkejut untuk melihat tanda harga.

Walaupun tanda harga diletakkan mungkin tinggi, beranikan diri meminta diskaun daripada penjualnya atau `ugut' untuk beredar sekiranya dia tidak ingin menurunkan kepada harga yang diminta.

Apabila kaki penat berjalan di sepanjang deretan gerai, kedai dan bazar, apa kata anda menaiki beca roda tiga.

Tidak kurang daripada 20 beca disediakan di sekitar kawasan ini yang mengenakan bayaran berpatutan.

Perkhidmatan bas dan teksi juga turut disediakan untuk anda melawat kawasan sekitar di pantai peranginan yang tidak pernah `tidur' itu.

Berbalik kepada subjek penginapan, ia bukannya satu masalah besar kerana di sepanjang Batu Feringghi terdapat banyak hotel bertaraf antarabangsa.

Jika bajet anda tidak mengizinkan untuk mendiami hotel bertaraf bintang, banyak chalet dan kawasan penginapan murah turut beroperasi di sepanjang Batu Feringghi untuk menjadi pilihan anda.

No comments: