Wednesday, December 24, 2008

Jejaki khazanah Pulau Jerejak

APABILA disebut Alcatraz Malaysia, pasti ramai antara kita dapat membayangkan Pulau Jerejak di Pulau Pinang yang cukup sinonim dengan jolokan itu.

Ini kerana pada satu masa dulu pulau itu pernah menjadi pusat tahanan penjenayah tegar selain tempat kuarantin pesakit tibi dan kusta.

Bagaimanapun, peredaran masa menyaksikan Pulau Jerejak kini bukannya destinasi yang perlu ditakuti atau dihindari sebaliknya berfungsi sebagai pulau peranginan.

Walaupun tidak sehebat Pulau Alcatraz di Amerika Syarikat yang menjadi destinasi pelancongan terkenal di dunia termasuk lokasi filem hebat The Rock, namun Pulau Jerejak mempunyai keistimewaan tersendiri.

Selain menjadi tumpuan kaki pancing Pulau Jerejak sebenarnya mempunyai banyak lagi keistimewaan yang jarang diterokai orang ramai terutama dari luar Pulau Pinang.

Mungkin disebabkan Pulau Jerejak boleh dianggap sebagai `adik bongsu' dalam industri pelancongan di Pulau Pinang berbanding dengan Batu Feringghi atau Georgetown.

Bagaimanapun, sebagai tip kepada mereka inginkan pelancongan dikelilingi laut dan dipenuhi flora dan fauna yang cukup indah selain bebas daripada kesibukan kota, Pulau Jejerak boleh dijadikan lokasi pilihan.

Sebagai `bonus', Pulau Jerejak masih kaya dengan kesan sejarah sebagai pusat tahanan penjenayah tegar.

Untuk mengunjungi pulau yang berkeluasan 362 hektar, pengunjung tidak perlu risau kerana sebuah resort yang tersergam indah sedia menanti kedatangan mereka.

Dikhabarkan, pulau itu mempunyai pelbagai jenis flora dan fauna termasuk pokok tongkat ali,meranti,mersawa, keruing dan bintangor serta helang laut perut putih, kera serta pelbagai jenis reptilia.

Bosan dengan hanya melihat alam sekitar dan ketenangan, anda boleh mencuba pelbagai aktiviti menarik lain yang ditawarkan di pulau kecil berkenaan seperti perkhidmatan urut ala Bali.

Bagi pengunjung yang mahu meninjau ke penjara lama dan pusat kuarantin pesakit tibi serta kusta,mereka berpeluang melihatnya serta diberi penerangan oleh petugas.

Info Zoom

DARI Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang, anda boleh menaiki teksi untuk ke Jeti Sungai Nibong yang terletak hanya kirakira 10 minit perjalanan.

Dari Georgetown pula, anda boleh menaiki teksi terus ke Jeti Sungai Nibong dengan bayaran antara RM15 hingga RM20.

Selain itu, banyak bas RapidPenang turut bergerak ke Jeti Sungai Nibong seperti bas bernombor 302, 307 dan 401.

Dari jeti berkenaan, anda perlu menaiki bot selama 15 minit untuk ke Pulau Jerjak.

Perkhidmatan bot dari Jeti Sungai Nibong ke Pulau Jerejak bermula dari jam 6.30 pagi hingga 10 malam dengan setiap Jumaat dan Sabtu pula sehingga 12.30 tengah malam.

Bagi perkhidmatan ke Pulau Pinang bermula jam 7.30 pagi hingga jam 11.30 malam dengan setiap Jumaat dan Sabtu sehingga 1.30 pagi.

Pelancong yang menginap di resort dikenakan tambang RM10 sehala manakala yang tidak menginap pula RM20 sehala.

No comments: