My Followers

Gurney Drive syurga makanan

KEINDAHAN percutian di Pulau Pinang atau lebih dikenali sebagai Pulau Mutiara pastinya tidak akan lengkap jika tidak berkunjung ke Persiaran Gurney atau lebih sinonim dipanggil Gurney Drive.

Dengan tarikan tersendiri ruang bersiar-siar di tepi pantai dengan kehijauan pokok dan deretan batu menjadikan kawasannya cukup indah dan sering menjadi tumpuan pelbagai lapisan masyarakat.

Biarpun dikunjungi ramai, ada yang tidak tahu asal usul tempat ini yang diambil sempena nama Persuruhjaya Tinggi British, Sir Henry Gurney.

Hari ini, Gurney Drive menjadi tarikan pelancongan utama di Pulau Pinang baik untuk makanan dan minuman, penginapan dan pastinya tidak lupa suasana kemeriahan hiburan pada waktu malam.

Kemeriahan jelas dilihat terutama ketika hujung minggu apabila Gurney Drive dikunjungi seawal jam 3 petang hingga lewat pagi untuk mengalami sendiri pengalaman sukar diterjemah melalui kata-kata.

Bermula dengan rangkaian restoran makanan laut yang mewah terletak di kawasan pesisiran pantai, orang ramai dapat merasai kenikmatan pelbagai jenis hidangan makan malam mengikut cita rasa dengan harga yang cukup berpatutan.

Bagi mereka yang lebih menyukai suasana santai dan riadah, suasana di gerai terbuka pastinya mengamit kedatangan orang ramai dengan pelbagai hidangan yang murah dan sebut sahaja menu makanan yang diinginkan semuanya ada.

Gerai yang dibuka setiap hari dari jam 6 petang hingga 1 pagi itu mempunyai pelbagai keistimewaan menu makanan yang lazat seperti kelazatan assam laksa, char kuey teow, mi hokkien, pasembor, sate, mi rebus mahupun rojak.

Lebih menarik lagi kenikmatan serta kemanisan air tebu yang asli dan bagi yang inginkan makanan segera, terdapat restoran makanan segera.

Bukan itu sahaja, orang ramai turut berpeluang untuk membeli- belah dengan kemegahan Plaza Gurney yang dilengkapi pelbagai premis perniagaan termasuk pawagam 12 layar skrin besar.

Sejak dibuka pada 2001, Plaza Gurney antara pasar raya popular di kalangan pelancong tempatan dan luar negeri disebabkan kepelbagaian ruang niaga, makanan serta hiburan.

Lebih menarik lagi, setiap pengunjung turut berkesempatan menikmati pelbagai juadah chef yang disediakan di sepanjang jalan termasuk di beberapa rangkaian hotel bertaraf empat dan lima bintang.

Itu kelebihan yang sebenarnya ada di Gurney Drive termasuk berpeluang untuk melawat kuil Wat Chaiyamangkalaram yang mempunyai patung Buddha sepanjang 33 meter.

Info Zoom

Untuk ke Gurney Drive tidaklah begitu payah kerana pelbagai kemudahan boleh digunakan sama ada dengan bas, teksi mahupun kenderaan sendiri serta hanya berjalan.

Post a Comment